Malaysia ambil langkah intervensi atasi masalah ketiadaan stok beras putih tempatan
2023.10.02
Kuala Lumpur

Malaysia pada Isnin telah melancarkan empat langkah intervensi dalam mengatasi isu bekalan beras, termasuk operasi penguatkuasaan terhadap pihak yang mengambil kesempatan menyorok stok bekalan di saat negara sedang berhadapan dengan krisis kekurangan beras putih tempatan dan kenaikan harga beras import secara mendadak.
Satu daripada inisiatif tersebut adalah pemberian subsidi kepada negeri Sabah dan Sarawak bagi mempertahankan harga pasaran beras kepada pengguna dan meningkatkan pengedaran beras putih tempatan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Beras merupakan makanan ruji utama di Malaysia dengan 65 peratus daripadanya merupakan keluaran tempatan dan selebihnya adalah beras putih yang import daripada pelbagai variasi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu memberitahu media yang keempat-empat langkah intervensi itu telah dipersetujui Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa satu sesi pertemuan di Putrajaya sebelum itu.
“Perdana Menteri telah bersetuju untuk melaksanakan empat langkah intervensi dengan meningkatkan pengedaran beras putih di kawasan luar bandar termasuk ke kedai-kedai runcit. Oleh kerana margin jualan barang tempatan, hanya 50 sen bagi kampit 10 gram, maka kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada pihak FAMA.
“Turut dipersetujui adalah subsidi berjumlah RM950 (A.S $201.40) yang akan diperuntukkan bagi satu tan beras putih import di Sabah dan Sarawak, sekaligus membolehkan pengguna di negeri berkenaan mendapatkan bekalan beras tersebut dengan harga runcit RM31 (AS $6.50) bagi setiap pek 10 kilogram,” kata Mohamad.
Langkah intervensi seterusnya adalah memberikan keutamaan kepada beras putih import berbanding beras putih tempatan bagi perolehan pembekalan beras putih di bawah kontrak kerajaan.
Menurut Mohamad, pembekal kini boleh membeli beras putih import dengan harga RM3,200 (AS$678) bagi setiap kampit 50 kilogram beras tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan.
Langkah terakhir ialah penubuhan pasukan khas yang akan menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan berkaitan rantaian bekalan beras putih tempatan di setiap peringkat, terutama yang menyorok bekalan beras.
"Sampel beras juga akan diambil di semua kilang beras di gudang-gudang pemborong dan juga di pasaraya untuk tujuan analisis kimia bagi memastikan tiada unsur manipulasi dilakukan keatas komoditi itu,” tambahnya lagi.
Sejak September, Malaysia berhadapan dengan konflik kenaikan ketara harga beras putih import ekoran masalah bekalan beras yang dihadapi global berpunca daripada cabaran perubahan iklim, ditambah pula dengan sekatan eksport yang dikenakan oleh negara pengeksport padi utama seperti India.
Kerajaan Malaysia dalam laporan akhbar sebelum ini berkata perbincangan sedang dilakukan dengan India bagi memastikan bekalan beras putih import dari negara itu tidak terputus.
Meskipun Malaysia merupakan negara pengeluar padi dan menghasilkan sebanyak 70 peratus dari bekalan berasnya untuk kegunaan domestik, namun beras putih tempatan sukar didapati di pasaran sejak kebelakangan ini, sekaligus menyebabkan pelbagai pihak mempersoalkan dan menyuarakan kegusaran berkenaan situasi tersebut.
Harga siling bagi beras putih tempatan di negara itu adalah RM2.60 (AS$0.55) sekilogram, menjadikannya sebagai beras termurah di rantau Asia Tenggara, menurut data dikeluarkan di Putrajaya.
Permintaan mendadak
Menurut Mohamad, kesukaran untuk mendapatkan beras putih tempatan adalah kerana peningkatan permintaan yang mendadak ekoran kenaikan harga beras import.
“Tiada isu kekurangan bekalan… Pembeli telah menukar pilihan daripada beras import kepada beras tempatan susulan harga beras import naik secara mendadak.
“Ini telah menyebabkan pengeluaran beras tempatan terpaksa dilakukan dengan segera bagi memenuhi kehendak pembeli…. secara umumnya, bekalan beras mencukupi,” tambah Menteri itu lagi.
Padiberas Nasional Bhd, atau lebih dikenali sebagai BERNAS, yang merupakan pengimport beras tunggal di Malaysia, telah menyaksikan peralihan permintaan ke beras tempatan di kalangan pengguna berikutan kenaikan lebih 35 peratus harga beras import yang diumumkan pada awal September.
Seorang jurucakap BERNAS berkata, sebahagian besar penetapan harga baru menyaksikan peningkatan ketara sebanyak 40 hingga 90 sen sekilogram dalam kos penghasilan beras di Malaysia berbanding tahun lalu, yang berpunca dari nilai tukaran matawang asing.
“Bekalan import masih boleh didapati, cuma harga yang dikenakan pihak pengeksport adalah lebih mahal berbanding sebelum ini. Peningkatan harga yang ketara ini antaranya disebabkan oleh nilai tukaran matawang asing, terutama sekali dari Ringgit Malaysia kepada Dolar Amerika Syarikat,” kata jurucakap berkenaan kepada BenarNews.
Menurut BERNAS, bekalan beras import di Malaysia adalah dari negara seperti Thailand, Vietnam, Pakistan, India, Kemboja dan Myanmar.
Dari Januari hingga Ogos 2023, BERNAS telah mengimport 630,000 tan metrik beras putih.
Lebih awal
Rashidah Ruslan, Ketua Jabatan Agroteknologi, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Teknologi, Universiti Malaysia Perlis memberitahu BenarNews tindakan intervensi yang diumumkan kerajaan sepatutnya dilakukan lebih awal.
“Saya bersetuju dengan tindakan Kerajaan untuk turun ke kilang pemprosesan beras tempatan, tetapi ia sepatutnya dibuat lebih awal lagi.
“Pemeriksaan ini sangat penting supaya tidak berlaku isu sorok beras, dan Kerajaan juga perlu mencari punca di mana hilangnya beras tempatan melalui semakan di dalam rantaian bekalan,” kata Rashidah.
Perdana Menteri pada lewat Isnin telah memberi amaran kepada pihak yang didapati menyorok beras di negara itu di mana tidak teragak-agak untuk mengheret mereka ke mahkamah.
“Saya sudah beritahu (Menteri) Mohamad Sabu supaya beri arahan yang jelas kepada badan penguatkuasa, kalau ada yang berani buat perangai buruk dalam keadaan orang susah cari beras, kamu sorok, kamu jaga, kami akan cari kamu dan saman dan bawa ke mahkamah,” kata Anwar pada satu majlis ceramah di Pahang.
Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad dan pemilik bersama rangkaian pasaraya terkemuka di Malaysia, menyuarakan kebimbangannya terhadap kekurangan bekalan beras tempatan yang disifatkan sebagai meruncing, dengan mendakwa ‘kehilangannya’ di pasaran berkemungkinan adanya ketirisan.
“Proses penuaian (padi) yang sedang berjalan mungkin mampu meningkatkan bekalan beras putih tempatan tetapi ianya tidak menjamin bekalan akan sampai ke pengguna domestik memandangkan terdapat kemungkinan berlakunya ‘ketirisan’ berlaku.
“Bekalan tersebut mungkin diseludup keluar ke negara jiran yang menjual keperluan asas tersebut dengan harga yang tinggi berbanding Malaysia,” dakwa beliau semasa dihubungi BenarNews di mana rangkaian hypermarketnya hanya menerima 300 kampit, jumlah yang terlalu sedikit berbanding keperluan mingguan sebanyak 17,000 kampit.
Ameer turut mengesyaki bahawa bekalan beras ‘yang hilang’ itu ada kaitan dengan ‘tukar baju’ (manipulasi pembungkusan), di mana bungkusan beras tempatan ditukar ganti dengan bungkusan beras import yang harganya lebih mahal berbanding harga kawalan beras tempatan.
Persatuan Usahawan Beras Bumiputra Malaysia memberitahu BenarNews bahawa ianya adalah sesuatu yang tidak masuk akal bagi bekalan beras tempatan untuk hilang begitu sahaja.