Kumpulan Pejuang Hak Asasi Bimbang Tentang Undang-undang 'Berita Palsu' Lebih Ketat di Asia Tenggara

Roni Toldanes
2018.03.30
Washington DC
180329-fake_news-620.jpg Seorang pengguna komuter Malaysia membaca daripada telefon bimbitnya di sebelah iklan mengenai langkah mengekang penyebaran berita palsu di sebuah stesen keretapi di Kuala Lumpur, 29 Mac, 2018.
AP

Kumpulan-kumpulan hak asasi membangkitkan kebimbangan mengenai beberapa langkah perundangan di seluruh Asia Tenggara, di mana penggubal undang-undang memperluaskan peraturan sedia ada untuk mengekang penyebaran  berita palsu dalam talian dengan memperkenalkan undang-undang lebih ketat, yang menurut pengkritik, mungkin berpotensi menghalang kebebasan bersuara.

Di Malaysia, penggubal undang-undang membahaskan rang undang-undang antiberita tidak benar yang dibentangkan di Parlimen pada Isnin dan dijangka diluluskan dengan mudah pada minggu depan, menjelangnya pilihan raya umum di mana isu Perdana Menteri Najib Razak dikaitkan dengan skandal pelaburan berjuta-juta dolar adalah antara beberapa isu utama.

Para penggubal undang-undang di Indonesia, Singapura dan Filipina juga sedang menyediakan undang-undang untuk menangani berita palsu, yang rang undang-undang Malaysia takrifkan sebagai mana-mana berita, maklumat, data atau laporan yang "sepenuhnya atau sebahagiannya tidak benar."

Para pengkritik menyatakan undang-undang baru itu boleh digunakan oleh pemimpin autoritarian untuk menghukum saluran berita sah yang sering mengkritik pentadbiran mereka.

"Pada kebanyakan masa, definisi berita palsu adalah sangat samar, jadi ia membawa kepada potensi besar untuk disalahgunakan oleh kerajaan,” kata Steve Butler, penyelaras program Asia bagi Jawatankuasa untuk Melindungi Wartawan, kepada BeritaBenar dalam temu bual telefon pada Khamis .

"Bagi wartawan, ia membawa bahaya besar. Apakah ada yang akan dimasukkan ke dalam penjara kerana membuat kesilapan yang jarang-jarang berlaku di mana hampir setiap wartawan melakukannya? "

Azalina Othman, menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal undang-undang, memberitahu Parlimen di Kuala Lumpur pada Khamis bahawa kerajaan telah memutuskan untuk mengurangkan tempoh penjara yang dicadangkan bagi mereka yang disabitkan mengikut rang undang-undang antiberita tidak benar kepada enam tahun daripada 10 tahun selepas mengambil kira cadangan daripada beberapa pihak termasuk penggubal undang-undang.

Tetapi, pada Khamis, Human Rights Watch (HRW) yang berpejabat di New York mendesak Kuala Lumpur untuk menarik balik rang undang-undang itu.

"Rang undang-undang antiberita tidak benar Malaysia merupakan cubaan jelas  kerajaan untuk mengekang sebarang berita yang ia tidak suka, sama ada mengenai rasuah atau pilihan raya," kata Brad Adams, pengarah HRW di Asia."Undang-undang yang dicadangkan itu menggunakan hukuman denda dan bahasa meluas dalam satu usaha berani dan tidak pernah berlaku sebelum ini untuk mengawal perbincangan mengenai Malaysia di seluruh dunia."

Sasaran jelas undang-undang ini adalah perbincangan mengenai dana negara yang terpalit isu rasuah iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang diasaskan oleh Perdana Menteri Najib, kata HRW. Najib telah menafikan sebarang salah laku yang berkaitan dengan 1MDB.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nasional Malaysia pada Khamis menolak untuk menyokong rang undang-undang antiberita tidak benar, dan sebaliknya menggesa sebuah jawatankuasa Parlimen ditubuhkan untuk menimbang langkah-langkah yang dapat mengekang percambahan laporan palsu.

"Rang undang-undang itu dalam bentuknya sekarang mempunyai kesan yang meluas kerana undang-undang itu boleh digunakan untuk melaksanakan kawalan kerajaan terhadap media," kata pengerusi suruhanjaya itu Razali Ismail dalam satu kenyataan.

Rang undang-undang Malaysia itu akan menghendaki individu, syarikat dan laman web "segera" supaya mengeluarkan kandungan berita itu daripada laman web jika mereka mempunyai "alasan munasabah untuk mempercayai bahawa ia mengandungi berita palsu." Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan pesalah dihukum denda sehingga RM100,000  (AS$26,000) .

Di Indonesia, aktivis dan kumpulan bukan kerajaan memfailkan tuntutan di mahkamah minggu lepas bagi mencabar penggubalan undang-undang baru di Jakarta yang membolehkan orang ramai dipenjarakan kerana mengkritik ahli politik negara.

Undang-undang Dewan Perwakilan yang dikaji semula, yang turut dikenali sebagai undang-undang MD3, mula berkuat kuasa bulan ini setelah penggubal undang-undang meluluskannya pada Februari walaupun adanya peringatan daripada kalangan kumpulan perundangan dan media bahawa ia dapat menjejaskan kebebasan bersuara.

Mengikut undang-undang yang dipinda itu, penggubal undang-undang boleh mengemukakan tuduhan terhadap orang yang "memandang rendah  terhadap kehormatan dirinya atau ahli-ahli kumpulannya" dengan membenarkan penggubal undang-undang menahan seseorang selama lebih daripada 30 hari, kata pengkritik.

Tetapi, Bambang Soesatyo, speaker baru Dewan Perwakilan Indonesia, memberitahu pemberita bahawa pindaan itu tidak akan membersihkan  kritikan awam terhadap para penggubal undang-undang.

Di Singapura, jawatankuasa parlimen mengkaji langkah-langkah yang mungkin diambil bagi mengekang "daripada membincangkan kepalsuan dalam talian yang dilakukan secara sengaja."

Lebih 70 peratus penduduk Singapura yang memberi respons dalam tinjauan pendapat mendapati bahawa ada berita dalam talian yang mereka anggap "tidak tepat sepenuhnya," menurut unit maklum balas kerajaan minggu ini.

"Penyebaran berita palsu dan mudahnya ia disebarkan secara dalam talian memberikan cabaran yang serius kepada masyarakat kita, bukan hanya kerana ia boleh merosakkan fabrik sosial kita malah memberi kesan kepada kehidupan sebenar dalam beberapa kes," kata Menteri Sam Tan yang dipetik sebagai berkata demikian.

Singapura menduduki tempat ke- 151 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders, sebuah kumpulan bukan kerajaan yang menggalakkan kebebasan maklumat.

Sahkan identiti pengguna, kata speaker Dewan Perwakilan Rakyat Filipina

Di Filipina, negara majoriti penduduk yang beragama Katolik Roman, Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Pantaleon Alvarez telah memfailkan rang undang-undang yang mewajibkan syarikat media sosial untuk mengesahkan identiti pengguna sebelum mendaftarkannya di rangkaian mereka.

Beliau berkata, ia boleh menghalang penghasilan akaun-akaun palsu dan penyebaran berita palsu.

Satu kajian baru-baru ini yang dikeluarkan oleh Universal McCann, sebuah agensi pengiklanan yang berpangkalan di New York, menyifatkan Filipina sebagai "modal jaringan sosial dunia" dengan hampir 83 peratus daripada 103 juta orang Filipina mendakwa mempunyai akaun media sosial.

Sejak mengambil alih kuasa pada Jun 2016, Duterte telah menjadikan platform media sosial seperti Facebook sebagai alat, di mana pengendali media sosial yang disokong ramai penyokong dan pengikutnya, mempertahankan pemimpin berusia 74 tahun yang popular itu.

The "trolls" telah menjadi sangat berkesan hinggakan mereka yang mengkritik presiden atau mempunyai  pandangan berbez akan  menjadi sasaran ancaman ganas dalam talian, kata penganalisis media.

Duterte mempertahankan tindakan seorang pengawal selia korporat untuk membatalkan lesen Rappler, sebuah laman web berita yang mengkritik perang anti-dadah kejam yang dilakukan kerajaannya. Beliau juga telah melarang wartawan Rappler daripada membuat liputan di istana Presiden dengan menggambarkan laman web itu sebagai "saluran berita palsu."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.