Mahkamah Gantung Notis Pembubaran Sementara RoS Terhadap Bersatu

Hata Wahari
2018.04.23
Kuala Lumpur
180423-my-bersatu-court620.jpg Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhyiddin Yassin mengadakan sidang media mengenai keputusan mahkamah yang menarik balik keputusan pengantungan Pejabat Pendaftar Pertubuhan [RoS] pada 5 April lepas, di Petaling Jaya, Selangor, 23 April 2018.
[Hata Wahari/BeritaBenar]

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menggantung notis pembubaran sementara yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan(RoS) ke atas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga permohonan semakan kehakiman parti itu diputuskan.

Hakim Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Bersatu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan RoS pada 5 April lepas.

Dalam penghakimannya, hakim berkenaan berkata kes itu mempunyai kepentingan awam, dan Bersatu, sebagai sebuah parti politik yang berhasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), tidak boleh dihalang untuk menegakkan keadilan.

“Sekiranya penggantungan tidak diberikan dan Bersatu kekal dibubarkan sementara , ia akan menyebabkan kerosakan yang tidak boleh dibaiki kepada parti itu dalam usahanya untuk memberikan pilihan kepada pengundi,” katanya dalam penghakiman bertulis.

Azizah membuat keputusan itu dalam kamar selepas mendengar hujah kedua-dua pihak. Beliau turut menolak bantahan awal Jabatan Peguam Negara yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsol Bolhassan. Bersatu diwakili peguam Rosli Dahlan.

Kata hakim itu, selepas mempertimbang fakta dan hujah kedua-dua pihak, mahkamah mendapati ada fakta yang memerlukan penjelasan daripada RoS.

Susulan keputusan itu, merit penuh cabaran semakan kehakiman oleh Bersatu termasuk membatalkan sebarang keputusan oleh RoS untuk membubarkan parti itu kini boleh didengar oleh mahkamah.

Pada 5 April lepas, RoS telah mengumumkan penggantungan sementara Bersatu mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 kerana gagal menyerahkan sepenuhnya dokumen yang diperintahkan dalam tempoh yang diberikan sebelum ini. Bersatu diberi tempoh 30 hari untuk menyerahkan segala dokumen yang diminta oleh RoS. Jika gagal, parti itu akan dibatalkan sepenuhnya.

Pengumuman itu dibuat sehari sebelum Perdana Menteri Malaysia Najib Razak mengisytiharkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU 14 yang perlu diadakan sebelum Ogos mengikut peruntukan di bawah Perlembagaan Malaysia.

Sementara itu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya, pada Isnin melahirkan rasa gembira sambil menegaskan bahawa parti berkenaan kini bebas untuk meneruskan perjuangan melakukan perubahan pada PRU 14 serta tiada lagi halangan untuk berfungsi sebagai sebuah parti politik yang sah.

“Apa yang lebih penting ialah status kita kini (kesah-an parti) tidak tergugat dengan keputusan terbaru mahkamah,” kata Muhyiddin.

Azizah, dalam penghakimannya, turut memutuskan bahawa Bersatu tidak perlu mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 18 Akta Pertubuhan.

Sementara itu, peguam Bersatu Rosli Dahalan berkata, “Hakim memutuskan bahawa pilihan yang sepatutnya ialah dengan (mengemukakan) semakan kehakiman dan bukan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri.”

Azizah turut menetapkan 7 Mei untuk pengurusan kes bagi semakan kehakiman berhubung perkara itu.

Dalam permohonan yang difailkan pada 13 April, Bersatu memohon supaya Surat RoS bertarikh 2 April diisytihar sebagai tidak berasas kerana menyalahgunakan seksyen berkaitan untuk menghalang parti berkenaan bertanding pada PRU 14.

Pengerusi Bersatu, Mahathir Mohamad, sebelum ini turut menyifatkan tindakan RoS sebagai satu penyalahgunaan kuasa.

Keputusan mahkamah adil dan tepat


Peguam Hak Asasi Manusia, Syahredzan Johan, berkata keputusan Hakim itu adalah tepat kerana setiap parti politik mempunyai hak untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Sekiranya sesebuah parti dihalang daripada bertanding, maka tidak ada keperluan ia ditubuhkan dan akhirnya, masyarakat ataupun pengundi yang rugi kerana tidak mempunyai pilihan dalam pilihan raya,” katanya kepada BeritaBenar

Penganalisis politik, Wong Chin Huat, dari Institut Pulau Pinang menyuarakan pendapat yang sama dan berkata keputusan mahkamah telah memberikan hak kepada sesebuah parti politik terutama kepada ahli untuk bergerak secara bebas tanpa halangan undang-undang.

“Keputusan mahkamah ini membuatkan ahli-ahli Bersatu tidak perlu gusar untuk memakai baju yang mempunyai lambang parti itu, bermesyuarat dan menjalankan aktiviti terutama dalam tempoh pilihan raya yang akan diadakan pada 9 Mei nanti,” katanya.

Dalam pilihan raya di Malaysia, gabungan parti yang memperoleh majoriti mudah akan membentuk kerajaan. Pada pilihan raya 2013, parti pembangkang telah meraih 52 peratus undi popular namun Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib dan rakan sekutunya terus mengekalkan kuasa apabila memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Najib terpalit dengan skandal membabitkan kehilangan dana berbilion ringgit yang didakwa diseleweng daripada syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad sejak tiga tahun lepas. Beliau bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.