Mahathir Dipecat Daripada Parti Yang Diasaskannya

Hadi Azmi
2020.05.28
Kuala Lumpur, Malaysia
200528-MY-MM1000.jpg Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia pada satu sidang media di Kuala Lumpur, 1 Mac 2020.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Khamis dipecat daripada parti yang ditubuhkannya pada 2016, yang menjadi satu-satunya pakatan politik yang berjaya merubah kerajaan dalam sejarah Malaysia pada 2018 dan terus bergolak di tengah-tengah pertempuran politik yang getir.

Mantan pemimpin berusia 94 tahun itu dilucutkan keahliannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersama-sama anaknya Mukhriz - yang merupakan bekas Menteri Besar Kedah – serta tiga lagi pemimpin kanan parti itu, demikian menurut surat rasmi pemecatan bertarikh 28 Mei yang dilihat oleh BeritaBenar.

Presiden parti itu yang juga pengasas bersama, Muhyiddin Yassin, mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri Malaysia yang tidak dipilih rakyat pada awal Mac setelah Mahathir mengundurkan diri daripada jawatan itu dan kerajaan pimpinannya tumbang apabila Muhyiddin serta beberapa anggota parlimen lain mengisytiharkan keluar daripada gabungan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan baharu dengan beberapa parti pembangkang.

Dimaklumkan bahawa menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), keahlian YB Tun dalam BERSATU adalah terhenti serta-merta," demikian menurut surat yang ditandatangani oleh Muhammad Suhaimi Yahya, setiausaha kerja parti itu yang dipecat daripada jawatannya beberapa jam kemudian pada Khamis.

Kedua-dua klausa menyatakan bahawa ahli parti secara automatik hilang keahlian mereka jika mengisytiharkan akan keluar daripada parti, atau jika mereka telah bergabung atau menjadi ahli parti politik lain.

Tiga lagi yang dipecat bersama-sama Mahathir dan anaknya ialah dua bekas menteri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Maszlee Malik, serta Amiruddin Hamzah, pemimpin politik dari Kedah.

Pada lewat Khamis, kelima-lima anggota Parlimen itu menolak pemecatan mereka dan telah mengeluarkan satu kenyataan media bersama.

“Amat dangkal dan tidak munasabah untuk mengatakan kami telah keluar parti sedangkan kami hanya melaksanakan apa yang dibenarkan oleh undang-undang dan hak kami di bawah  Perlembagaan Persekutuan selaku Ahli Parlimen yang sah,” kata mereka dalam kenyataan tersebut.

Selain duduk berasingan daripada rakan separti semasa sidang parlimen sehari yang berlangsung pada 18 Mei lalu, Mahathir melalui sepucuk surat kepada Speaker Dewan Rakyat telah memaklumkan mengenai hasratnya untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dalam sesi itu.

Bagaimanapun, sesi itu hanya terbatas kepada titah ucapan Yang di-Pertuan Agong yang telah melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Semasa titah ucapan di parlimen, baginda telah meminta anggota parlimen mengamalkan "budaya politik yang bersih" dan "menunjukkan kematangan dalam politik."

“Kami juga menyatakan di sini bahawa tindakan sebelah pihak (unilateral) oleh Presiden BERSATU dalam memecat kami tanpa sebab adalah kerana kegusaran beliau untuk menghadapi pemilihan parti serta posisi beliau yang tidak selamat selaku Perdana Menteri yang paling tidak stabil dalam sejarah pentadbiran negara kita,” menurut kenyataan Mahathir bersama empat lagi ahli parti yang dipecat itu.

Muhammad Suhaimi, pegawai yang menandatangani surat pemecatan mereka, kemudian dipecat daripada jawatan setiausaha kerja kerana didakwa melanggar etika, menurut surat yang dikeluarkan oleh Marzuki Yahya, setiausaha agung BERSATU yang memihak kepada Mahathir. Marzuki mendakwa Muhammad Suhaimi telah menghantar surat pemecatan itu tanpa pengetahuan dan persetujuannya.

Pada 16 Mei lepas, Mukhriz kehilangan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah setelah dua ADUN yang bersekutu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu rakan dalam gabungan Pakatan Harapan, berpaling tadah dan menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin, menyebabkan Timbalan Presiden BERSATU itu kehilangan sokongan majoriti dalam dewan undangan negeri berkenaan.

Bekas sekutu

Pada 2016, Mahathir dan Muhdyiddin telah bergabung untuk menubuhkan BERSATU sebagai parti baharu dalam usaha mereka untuk menyingkirkan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak daripada jawatannya.

Mereka telah mengkritik Najib berhubung skandal rasuah melibatkan dana negara 1MDB yang mencemarkan nama baik Najib dan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang menguasai politik Malaysia sejak penubuhan negara pada 1957.

Mahathir dan Muhyiddin merupakan bekas ahli parti itu, bagaimanapun UMNO yang digulingkan daripada kekuasaan pada pilihan raya umum 2018, kini merupakan anggota utama blok Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Muhyiddin.

Sejak gabungan parti pemerintah Pakatan Harapan pimpinan Mahathir tumbang pada akhir Februari, BERSATU telah berpecah kepada dua kem dengan satu kumpulan setia kepada gabungan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin manakala satu lagi bersama Mahathir, dan kedua-duanya menegaskan bahawa mereka mempunyai kuasa terhadap keseluruhan parti.

Langkah untuk memecat Mahathir, anaknya serta tiga yang lain dari parti itu sememangnya telah dijangka memandangkan wujud permusuhan antara negarawan veteran dalam politik Malaysia itu dengan pemimpin yang menggantikannya sebagai Perdana Menteri, kata seorang pakar politik.

"Muhyiddin melihat masanya sebagai amat sesuai kerana beliau kini dapat menyingkirkan Mukhriz yang akan bertanding untuk menentangnya bagi jawatan presiden parti itu, dan juga Mahathir yang menang tanpa bertanding sebagai pengerusi parti," kata Awang Azman Awang Pawi, seorang penganalisis dari Universiti Malaya, kepada BeritaBenar.

Langkah itu mungkin kemenangan jangka pendek bagi Muhyiddin namun ia boleh membawa kepada lebih pertelingkahan dalaman yang berpihak, katanya.

"Nampaknya Muhyiddin Yassin seperti sedang memutuskan silaturahim dengan Mahathir kerana beliau merancang untuk mendaftarkan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan politik yang rasmi. Mulai sekarang, ia adalah satu pertempuran,” kata James Chin, pakar politik Malaysia dari Universiti Tasmania, kepada BeritaBenar.



Noah Lee dan Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.