Bersatu mahu guna saluran perundangan cabar keputusan speaker Dewan Rakyat

Speaker Johari Abdul memutuskan tidak berlaku kekosongan enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu yang kini menyokong kepimpinan Perdana Menteri.
Noah Lee & Iman Muttaqin Yusof
2024.07.10
Kuala Lumpur
Bersatu mahu guna saluran perundangan cabar keputusan speaker Dewan Rakyat Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, 26 Februari 2024.
[Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia]

Parti pembangkang Bersatu pada Rabu berkata ia akan menggunakan saluran perundangan bagi mencabar keputusan speaker Dewan Rakyat Malaysia yang memutuskan bahawa enam ahli parlimen parti itu kekal memegang kerusi mereka walaupun selepas menyatakan sokongan kepada perdana menteri, satu tindakan yang dikatakan telah melanggar Akta Anti-Lompat Parti (AALP).

Menurut akta tersebut yang baru berkuatkuasa selepas ia diluluskan Parlimen pada 2022, mana-mana ahli Dewan Rakyat yang melompat ke parti lain atau bertindak keluar dari parti selepas memenangi kerusi dalam pilihan raya, akan kehilangan kerusi tersebut secara automatik.

Bagaimanapun, speaker Johari Abdul pada minggu ini memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi dalam kes enam ahli Parlimen Bersatu tersebut, yang mengalihkan sokongan mereka kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sejak tahun lepas sekaligus membantu kerajaan membentuk majoriti dua pertiga di dalam Dewan Rakyat.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata keputusan berkenaan amat mengecewakan mereka kerana enam wakil rakyat terbabit jelas telah berhenti menjadi ahli parti itu, dan mendakwa kata putus Johari adalah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Keputusan YB Speaker adalah bercanggah dengan peruntukkan undang-undang dan telah bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang. Hanya mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan.

"Sehubungan itu, Bersatu memutuskan untuk mengambil langkah-langkah susulan dengan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Parti Bersatu," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pengerusi gabungan pembangkang Perikatan Nasional itu turut mengkritik alasan-alasan yang dinyatakan oleh speaker Johari dalam keputusannya menolak pengosongan enam kerusi, dan menggesa semua ahli Dewan Rakyat supaya mencela tindakan speaker kerana "mencemar peruntukan lompat parti" yang diluluskan oleh mereka secara sebulat suara.

Enam ahli Parlimen terbabit mula beralih arah sejak Oktober tahun lalu dengan menyatakan bahawa mereka membuat keputusan untuk menyokong kepimpinan perdana menteri Anwar atas pelbagai sebab, tetapi masing-masing menegaskan bahawa mereka masih kekal sebagai ahli Bersatu.

Mereka adalah Zahari Kechik, Ahli Parlimen Jeli, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Menurut laporan media tempatan, parti pembangkang itu kemudiannya bertindak mengambil tindakan disiplin terhadap keenam-enam wakil rakyat tersebut namun tidak memecat mereka dari parti.

Bersatu kemudiannya telah mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa pada 2 Mac lepas, di mana para perwakilan telah meluluskan satu pindaan kepada perlembagaan parti yang bertujuan untuk menghalang wakil rakyatnya daripada berpaling tadah pada masa hadapan.

Muhyiddin pada masa itu dilaporkan berkata bahawa pindaan itu akan menyebabkan mana-mana wakil rakyat Bersatu yang bertindak sedemikian akan terbatal keahlian mereka dalam parti itu serta merta.

Susulan daripada itu, kepimpinan Bersatu telah menghantar surat rasmi kepada enam ahli Parlimen berkenaan pada Mei lalu mengarahkan supaya menyatakan sokongan mereka dengan jelas, dan kegagalan untuk menjawab surat berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan terhentinya keahlian mereka di dalam Bersatu.

Parti itu kemudiannya telah mengisytiharkan bahawa keahlian kesemua enam wakil rakyat tersebut telah terhenti sebelum menghantar notis kepada speaker Dewan Rakyat untuk mengumumkan kekosongan enam kerusi berkenaan.

Bertentangan perlembagaan

Menurut surat jawapan kepada Bersatu yang dilihat oleh BenarNews, speaker Dewan Rakyat menyatakan bahawa arahan-arahan yang dikeluarkan dibawah peruntukan perlembagaan parti Bersatu kepada lima ahli Parlimennya adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (KeistimewaandanKuasa) 1952 yang menjamin keistimewaan, kebebasan bercakap, berbahas dan mengundi kepada ahli-ahli Dewan Rakyat.

Manakala dalam kes Suhaili pula, Johari memetik kes mahkamah yang dibawa Ahli Parlimen Labuan itu terhadap Bersatu dan menyatakan bahawa beliau "tidak mahu merosakkan kepentingan pihak yang berbicara dalam kes mahkamah tersebut".

"Justeru itu, saya mendapati dan memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan," kata beliau.

Sementara itu, beberapa penganalisis politik yang dihubungi BenarNews berkongsi pandangan serupa di mana mereka bersetuju bahawa speaker Dewan Rakyat mempunyai kuasa prerogatif dalam membuat keputusan sama ada berlaku kekosongan terhadap sesebuah kerusi parlimen.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata apa yang berlaku dalam kes Bersatu bukan satu bentuk krisis perlembagaan, tetapi parti itu tidak mempunyai cara lain selain daripada mencabar keputusan Johari di mahkamah.

"Ini bukanlah krisis perlembagaan, tetapi apa yang jelas adalah bahawa speaker mempunyai prerogatif untuk membuat keputusan. Jadi sekarang satu-satunya pilihan untuk Bersatu adalah membuat semakan kehakiman untuk mengkaji tindakan speaker berhubung dengan pindaan perlembagaan yang dibuat oleh parti," kata beliau kepada BenarNews.

Azmi Hassan, felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, pula menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan dan AALP telah menyatakan dengan jelas bahawa seseorang ahli parlimen yang dipecat oleh parti tidak akan kehilangan kerusi mereka.

"Ini sangat jelas di bawah Perkara 49A undang-undang anti-lompat parti. Saya tidak nampak sebarang sebab ini boleh menjadi krisis perlembagaan atau bahawa speaker bertindak tidak mengikut perlembagaan kerana ia sangat jelas di sini.

"Di bawah undang-undang, mereka yang telah dipecat oleh parti dan tidak menyertai mana-mana parti politik lain boleh mengekalkan kerusi mereka. Speaker membuat keputusan berdasarkan peruntukan tersebut," kata beliau.

"Ya saya bersetuju dengan speaker dalam hal ini. Parlimen boleh memutuskan dan ia adalah prerogatif speaker untuk berbuat demikian," kata pakar perlembagaan Wan Ahmad Fauzi dari Universiti Malaysia Pahang.

Penganalisis dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawei pula berkata keputusan speaker Dewan Rakyat adalah lebih tinggi daripada perlembagaan parti Bersatu.

"Apabila dirujuk Dewan paling tinggi dalam demokrasi ialah Dewan Rakyat dan bukannya parti politik.

"Speaker bertindak mengikut perlembagaan sesuai dengan kuasa yang ada pada dirinya sebagai Speaker Dewan Rakyat," kata beliau kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.