Azam Baki sahkan SPRM beku beberapa akaun parti Bersatu

Boleh semak penyata akuan Bersatu yang telah dijadikan akaun awam bagi yang tidak berpuas hati, kata bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin.
Iskandar Zulkarnain & Nisha David
2023.02.01
Kuala Lumpur
Azam Baki sahkan SPRM beku beberapa akaun parti Bersatu Presiden parti Pribumi Bersatu Malaysia Muhyiddin Yassin berjabat tangan dengan ahli parti itu semasa menghadiri sebuah majlis di Shah Alam, Selangor, 1 Julai, 2022.
[Ihsan Parti Pribumi Bersatu Malaysia]

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu mengesahkan agensi berkenaan telah membekukan beberapa akaun parti pembangkang, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, yang mengetuai parti itu, sebelum ini telah menafikan dakwaan yang kerajaan diterajuinya telah menyeleweng RM92.5 bilion sewaktu beliau memegang jawatan tertinggi kerajaan sambil menegaskan beliau yakin SPRM akan membersihkan nama serta parti dari sebarang salahlaku pentadbiran Perikatan Nasional.

“Beberapa akaun dibekukan dan siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kepada BenarNews.

Difahamkan tindakan itu mempunyai hubung kait dengan siasatan ke atas dakwaan penyelewengan dana berbilion-bilion ringgit untuk pakej rangsangan ekonomi sewaktu pandemik COVID-19 semasa Muhyiddin menerajui kerajaan.

Pada 6 Disember lalu, Azam mengesahkan SPRM telah membuka kertas siasatan ke atas Bersatu berhubung dakwaan berkenaan.

Media turut melaporkan SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang telah dibelanjakan kerajaan pimpinan Muhyiddin berhubung pengurusan pandemik sepanjang tahun 2020 hingga 2021.

Butiran telah disalurkan oleh Kementerian Kewangan, yang kini diterajui oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10, Anwar Ibrahim.

Menerusi kenyataan tersebut, SPRM berkata fokus siasatan pihaknya adalah menjurus kepada RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada keseluruhan nilai dakwaan penyelewangan perbelanjaan negara itu yang dianggar berjumlah hampir RM600 bilion.

Bagaimanapun, beberapa laporan media melaporkan siasatan SPRM adalah menjurus kepada dakwaan Bersatu telah menerima dana politik lebih RM300 juta dari 10 kontraktor yang telah dianugerahkan pelbagai projek semasa pentadbiran Muhyiddin.

Dakwaan itu timbul susulan penahanan seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta oleh SPRM baru-baru ini.

Media tempatan melaporkan individu berkenaan, yang dikaitkan sebagai ketua bahagian Bersatu, disyaki menjadi orang tengah dalam pengagihan projek kerajaan di bawah pakej rangsangan ekonomi antara tahun 2020 dan 2022.

Alat politik

Dalam reaksi kepada langkah pembekuan akaun oleh SPRM, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata, parti itu sedia memberi kerjasama penuh kepada kepada agensi berkenaan.

“Bersatu menerima alasan bahawa langkah yang diambil SPRM itu adalah sebahagian daripada proses siasatan mereka terhadap fitnah yang dilemparkan kepada Bersatu.

“Bersatu akan terus memberi kerjasama dalam siasatan ini agar fitnah jahat ke atas Bersatu dapat dihentikan segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya lagi: “Para pemimpin dan pegawai parti Bersatu yang diminta memberi keterangan kepada SPRM juga telah diarahkan agar memberi kerjasama sepenuhnya.”

Bagaimanapun, Hamzah yang juga ketua pembangkang dalam Dewan Rakyat berkata, Bersatu kesal terhadap tindak-tanduk kerajaan PH-BN (Pakatan Harapan dan Barisan Nasional) yang dakwa parti itu, dan menjadikan agensi kerajaan sebagai alat untuk mencapai matlamat politik mereka bagi membunuh kredibiliti Bersatu dan Perikatan Nasional.

“Kami yakin, rakyat sentiasa sedar mengenai strategi jelek PH-BN yang mahu memesong perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan serta amalan nepotisme kerajaan mereka.

“Bersatu sentiasa tegas dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik. Semua ahli-ahli Bersatu dan pemimpin semua peringkat diminta bersabar dan terus beristiqamah dalam menghadapi ujian dan fitnah ini,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, timbalan presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berharap kedaulatan undang-undang akan ditegakkan susulan tindakan SPRM membekukan akaun parti itu.

Mantan menteri belia dan sukan itu mengesahkan para pegawai SPRM telah menjalankan siasatan di Ibupejabat Bersatu.

“Para pegawai SPRM telah melawat ibupejabat parti dan telah menjalankan proses siasatan.

“Pembekuan akaun dibuat sebagai sebahagian dari proses siasatan. Parti telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM berhubung perkara ini dan kami berharap kedaulatan undang-undang akan ditegakkan,” ujarnya kepada portal berita tempatan, The Malay Mail.

Semak akaun

Pada Selasa, Marzuki Mohamad, mantan ketua setiausaha sulit Muhyiddin semasa menjawat jawatan perdana menteri meminta mereka yang tidak berpuas hati supaya menyemak penyata akaun Bersatu bagi tahun 2020 dan 2021 yang telah diaudit dan dibentangkan semasa perhimpunan agung tahunan parti itu.

“Bagi yang tuduh Bersatu terima RM4 bilion dari RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi boleh lihat penyata akaun parti tahun 2020 dan 2021 yang telah diaudit,” katanya dalam satu kenyataan di laman web rasmi Bersatu.

Menurutnya akaun yang diaudit itu telah dibentangkan dalam perhimpunan agung tahunan Bersatu dan telah difailkan di Pendaftar Pertubuhan (RoS), sekaligus menjadikannya dokumen awam.

Marzuki turut menafikan dakwaan yang Bersatu telah menerima dana RM4 bilion dari dana Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM92.5 bilion yang telah diluluskan oleh pentadbiran Muhyiddin semasa menjawat jawatan perdana menteri.

“Sebagaimana amalan biasa, penyata kewangan Bersatu 2022 akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan pada Mac nanti. Bolehlah sama-sama kita lihat ada tidak RM4 bilion tu,” ujarnya lagi.

Marzuki turut menyeru supaya siasatan turut dijalankan ke atas dana politik yang diterima oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpin oleh perdana menteri Anwar serta Parti Tindakan Demoktratik (DAP), rakan sekutu PKR dalam Pakatan Harapan.

Kecurangan keterlaluan

Anwar pada awal Disember lalu mendakwa menemui banyak penyelewengan peruntukan antara RM580 juta hingga RM600 billion di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini.

Perdana Menteri itu yang turut memegang portfolio menteri kewangan – jawatan yang disandangnya sebelum dipecat dari kerajaan Mahathir Mohamad pada tahun 1998, turut mendakwa penyelewengan perbelanjaan itu turut ‘membabitkan keluarga’.

“Namun, ada beberapa puluh bilion yang lain yang menunjukkan ada pelanggaran peraturan. Justeru, kepada Tan Sri Muhyiddin, jangan cabar kerajaan kerana ada beberapa peraturan dan prosedur yang tidak dipatuhi serta ada beberapa syarikat berkepentingan membabitkan keluarga turut terpalit," katanya dalam satu sidang media pada 6 Disember lalu.

Sebelum itu, Anwar turut dilaporkan memberi bayangan mendakwa dana pilihan raya Perikatan Nasional telah disumbangkan oleh syarikat perjudian - dakwaan yang dipertikaikan oleh para pemimpin Perikatan Nasional.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.