Tuntutan kerusi Timbalan Perdana Menteri boleh gugat kestabilan, kata pemimpin UMNO

Noah Lee & Ray Sherman
Kuala Lumpur
Tuntutan kerusi Timbalan Perdana Menteri boleh gugat kestabilan, kata pemimpin UMNO Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhyiddin Yassin berjalan keluar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Bersatu di Hotel Everly, Putrajaya, 4 Mac 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Pentadbiran kerajaan Malaysia kini berada dalam keadaan terancam disebabkan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang memimpin salah sebuah parti pendokong kerajaan dikatakan cuba menekan Perdana Menteri supaya memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada parti pimpinannya, menurut seorang pemimpin kanan sebuah lagi parti utama dalam gabungan pemerintah.

Kedudukan gabungan parti pemerintah tersebut sudah sedia goyah selepas seorang pemimpin parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) membuka rahsia parti berkenaan kepada umum melalui satu sidang media pada minggu lalu, di mana beliau meminta presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan kerana dikatakan telah menjadi beban disebabkan Ahmad Zahid mempunyai banyak kes rasuah di mahkamah.

Dan tindakan Muhyiddin dikatakan boleh ‘mengeruhkan lagi suasana’, ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Puad Zarkashi berkata pada Isnin merujuk kepada tuntutan bekas perdana menteri itu kepada Ismail Sabri untuk melantik timbalan perdana menteri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

"Akhirnya Muhyiddin dapat jumpa Perdana Menteri. Sudah tentu Muhyiddin menuntut jawatan TPM dan mendesak tempat Zuraida diisi segera oleh calon dari BERSATU," kata Puad.

 Beliau merujuk kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin yang keluar dari parti BERSATU baru-baru ini untuk menerajui sebuah parti politik baharu. Susulan itu, BERSATU telah mendesak Perdana Menteri supaya memecat Zuraida dari kabinet dan memberikan pejabat Zuraida kepada pemimpin lain dari parti mereka.

 "Tindakan Muhyiddin (menekan kerajaan) akan menyebabkan politik negara semakin tidak stabil. Jika permintaan itu tidak dipenuhi PM akan terus diugut dan ditekan.

 Antara bentuk ugutan yang boleh berlaku ialah, tarik sokongan, Menteri BERSATU tidak beri kerjasama dalam Kabinet, tidak ikut arahan atau buat keputusan bercanggah dengan PM," tambah Puad dalam status Facebooknya.

 Sejak dilantik menjadi Perdana Menteri pada Ogos 2021, Ismail Sabri tidak pernah melantik Timbalan Perdana Menteri, tetapi sebaliknya meneruskan amalan Muhyiddin sebelum itu dengan melantik empat orang Menteri Kanan yang mempunyai kedudukan setaraf dengan Timbalan Perdana Menteri.

Tindakan berkenaan dipercayai sebagai satu usaha mengekalkan kestabilan antara parti-parti utama serta pemimpin utama dalam gabungan pemerintah. 

Mnurut Puad, Muhyiddin yang merupakan presiden BERSATU mahukan timbalannya Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. 

Beliau juga mendakwa bahawa Muhyiddin tidak mahu jawatan berkenaan diberikan kepada seorang lagi pemimpin BERSATU Mohamed Azmin Ali, yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2020 untuk menyertai Muhyiddin. Azmin telah dilantik sebagai Menteri Kanan Ekonomi dalam kabinet Muhyiddin, dan kemudiannya dikekalkan oleh Ismail Sabri selepas mengambil alih pemerintahan.

"Azmin mesti marah. Politik bertambah tidak stabil," kata Puad.

 Muhyiddin pada Sabtu lalu telah mengesahkan bahawa pertemuannya dengan Ismail Sabri adalah bertujuan untuk berbincang mengenai isu lantikan politik, termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Kelangsungan politik

Spekulasi oleh Puad itu dibuat ketika kerajaan pimpinan Ismail Sabri menghampiri tarikh akhir dalam perjanjian persefahamannya dengan blok pembangkang untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022, yang bertujuan untuk mewujudkan kestabilan politik ketika negara bergelut dengan pandemik COVID-19.

Sebagai balasan kepada janji berkenaan, di samping beberapa syarat lain termasuk reformasi sistem, blok pembangkang pimpinan Anwar Ibrahim bersetuju untuk tidak menyokong sebarang usaha menjatuhkan kerajaan Ismail Sabri.

Beberapa hari sebelum itu, seorang bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Tajuddin Abdul Rahman telah mendesak supaya presiden parti Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatannya, dan menyifatkan pemimpin tersebut sebagai "liabiliti" kepada parti disebabkan kes rasuah yang dihadapinya.

Tajuddin, yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak, berkata demikian dalam satu sidang media pada 27 Jun lalu, hanya beberapa hari selepas beliau dipecat daripada Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Dalam sidang itu, Tajuddin turut mendedahkan, antara lain, mengenai dirinya dipaksa oleh Zahid supaya menandatangani satu deklarasi menyokong Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, seorang penganalisis politik berpandangan bahawa isu melantik Timbalan Perdana Menteri bukan sesuatu yang patut dirisaukan oleh Ismail Sabri, malah boleh melemahkan kedudukan beliau sekiranya Perdana Menteri itu berbuat demikian.

Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata Perdana Menteri berada dalam keadaan selamat kerana beliau mempunyai jaminan dalam bentuk persefahaman dengan gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan. 

"Sekiranya Ismail melantik seseorang daripada BERSATU sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau akan dilihat sebagai Perdana Menteri yang lemah yang menerima arahan daripada Muhyiddin.

"Sebarang lantikan ke jawatan berkenaan akan melemahkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Sentiasa akan ada pimpinan dari UMNO dan BERSATU yang akan tidak berpuas hati terhadap sebarang lantikan," kata ahli akademik itu kepada BenarNews.

Tetapi, seorang lagi penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia pula berpendapat bahawa permintaan Muhyiddin itu adalah satu tawaran kekuatan kepada Ismail Sabri.

Mazlan Ali, seorang pensyarah kanan di universiti berkenaan, berkata Muhyiddin mungkin melihat lantikan Timbalan Perdana Menteri dari parti BERSATU dapat membantu Ismail Sabri dalam melawan tentangan dari dalam UMNO sendiri.

"Saya melihat langkah ini cuba menawarkan kekuatan kepada Ismail sabri. Sekarang Ismail Sabri adakah dia akan akur kepada tuntutan kumpulan Ahmad Zahid Hamidi untuk bubar Parlimen?

"Sekiranya Ismail Sabri mengambil keputusan untuk menentang gesaan ini, dia memerlukan sokongan daripada rakan-rakan lain. Saya fikir jika dia memenuhi permintaan Muhyiddin ini, dia tidak akan melemahkan kerajaan kerana Ismail Sabri mempunyai sokongan daripada Pakatan Harapan melalui perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani.

 "Saya fikir mungkin apabila Muhyiddin membuat tuntutan ini, jika Ismail Sabri membuat keputusan untuk memenuhi tuntutan ini, ia menunjukkan beliau secara terang bersedia untuk menentang kumpulan Zahid," kata Mazlan.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.