BERSIH 4.0 Tetap Dengan Pendirian Tidak Mahu Tunda Tarikh dan Tempat

Oleh Hata Wahari
2015.08.18
150818-MY-BERSIH620 Penyokong perhimpunan BERSIH 3.0 memegang sepanduk menggesa pembaharuan dalam pilihanraya Malaysia di Kuala Lumpur. 28 April 2013
AFP

Perhimpunan BERSIH 4.0 tetap akan diadakan seperti dirancang walaupun tanpa permit daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, ketika negara sedang sibuk membuat persiapan menyambut Hari Kemerdekaan pada esoknya.

BERSIH, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berkata, mereka tetap akan meneruskan perhimpunan untuk menuntut perletakan jawatan Perdana Menteri Najib Razak seperti yang dirancang di Dataran Merdeka pada hujung minggu 29 dan 30 Ogos ini walaupun permohonan untuk mendapatkan permit ditolak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah pada Selasa berkata, pihaknya, menolak cadangan DBKL untuk menunda serta menukar lokasi perhimpunan  pada hujung minggu 5 dan 6 September.

Perhimpunan BERSIH 4.0 yang bakal diadakan itu merupakan antara siri perhimpunan yang telah diadakan oleh badan bukan kerajaan itu, sejak tahun 2007, diikuti BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 dan BERSIH 3.0 pada 28 April 2012.

Perhimpunan tersebut dijangka akan menuntut refomasi dalam pilihanraya, kerajaan bebas daripada rasuah selain menuntut hak untuk membantah dan menyelamatkan ekonomi Malaysia.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mohd Amin Nordin berkata, kedua-dua lokasi yang dipohon penganjur telah ditempah lebih awal untuk acara lain termasuk persiapan sambutan Hari Kebangsaan ke-58.

"Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya akan terlibat dengan persiapan perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan pada hujung minggu 29 dan 30 Ogos itu.

"Manakala Padang Merbok akan digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai lokasi penyimpanan logistik dan penempatan kandang kuda bagi tujuan perbarisan," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Maria di Kuala Lumpur pada Selasa.

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar berkata, perhimpunan BERSIH 4.0 yang menyasarkan kehadiran 100,000 peserta itu adalah lebih sesuai diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Saya harap penganjur BERSIH 4.0 lebih praktikal dan rasional dalam mereka membuat keputusan pemilihan tempat,” katanya,

Katanya, kedua-dua lokasi yang diminta iaitu Dataran Merdeka dan Padang Merbok tidak sesuai dijadikan lokasi perhimpunan memandangkan kerja-kerja persiapan menyambut Hari Kemerdekaan sedang giat dijalankan.

"Saban tahun kita menyambut Hari Kemerdekaan di situ, kenapa nak beria-ria nak buat di situ pada 29 dan 30 Ogos, tak ada tempat lain…, nak di situ juga. Macam Malaysia ini tak ada tempat lain.

"Stadium besar, khabarnya 100,000 (orang) akan datang, jadi Stadium Bukit Jalil yang paling baik untuk menempatkan 100,000 orang, takkan hendak letak 100,000 orang dekat Dataran Merdeka itu,’’ katanya.

Dalam pada itu, Maria berkata, mereka tetap akan berkumpul di sekitar Dataran Merdeka dan berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menggunakan gas pemedih mata seperti Perhimpunan Bersih 3.0 sebelum ini

Pada perhimpunan Bersih 3.0, yang turut dikenali sebagai perhimpunan ‘duduk bantah’, telah berlaku insiden kekecohan sehingga menyebabkan polis menembak air dan melepaskan gas pemedih mata dalam usaha meleraikan peserta apabila mereka cuba memecahkan penghalang jalan.

Marina menambah “Pengalaman lalu telah dibangkitkan semasa pertemuan dengan pihak polis pada 14 Ogos lepas. Kami berharap perhimpunan yang akan berlangsung nanti berjalan dengan aman tanpa sebarang gangguan dari pihak berkuasa ataupun daripada kumpulan-kumpulan yang anti-BERSIH 4.0.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.