Bersih tuntut Perdana Menteri segera laksana reformasi
2024.02.27
Kuala Lumpur

Lebih seratus peserta himpunan berkumpul berhampiran Tugu Negara Malaysia pada Selasa sambil melaungkan tuntutan meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberikan garis masa jelas menunaikan janji-janji kempen berkaitan reformasi perundangan dan institusi.
Semasa menjadi pembangkang, Anwar turut menyertai perarakan serupa anjuran badan bukan kerajaan dan pemerhati pilihan raya, Bersih ke Parlimen, kata kumpulan hak asasi manusia dengan peserta perhimpunan pada Selasaa tidak dibenarkan berarak menuju ke pintu pagar bangunan Parlimen.
Para pengkritik mendakwa Anwar, 78, gagal menunjukkan kemajuan terhadap pelaksanaan janji semasa kempen pilihan raya dengan reformasi institusi utama masih tergantung sejak dipilih mengetuai kerajaan selepas 24 November 2022.
"Ini merupakan langkah pertama Bersih untuk memberikan peringatan kepada kerajaan dan Ahli Parlimen yang berkempen bersama manifesto Anwar bagi melaksanakan agenda reformasi negara.
“Pada masa ini, kami belum menerima tempoh masa atau hala tuju tepat agenda reformasi. Satu-satunya perkara yang kerajaan nyatakan ialah kajian, penyelidikan dan janji yang akan mereka laksanakan,” kata pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz kepada BenarNews semasa perhimpunan tersebut.
Aktivis pemantau pilihan raya dan reformasi Bersih berarak seawal pukul 8 pagi dari Plaza Tugu Negara menghala bangunan Parlimen dengan berpakaian hitam dan kuning, warna gerakan masa yang telah mencetuskan perhimpunan besar-besaran menuntut sebuah kerajaan bebas rasuah dan mempunyai tadbir utus yang baik sebelum Pilihan Raya Umum 2018.
Mereka membawa sepanduk bertulis 'Reformasi 100 peratus, Tolak Dua Darjat, Jangan Rasa Selesa dan Malu Apa Madani dan Kerajaan Bersih dan Adil' berarak kira-kira setengah kilometer menghala ke bangunan Parlimen sambil diawasi sekitar 50 anggota polis bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.
Para aktivis tersebut turut dipantau oleh 10 pemerhati.
Aktivis Bersih mengangkat sepanduk mendesak dilaksanakan reformasi 100 peratus ketika berarak menuju ke bangunan Parlimen di Kuala Lumupur, 27 Februari 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Tidak berdiam diri
Perhimpunan Bersih itu diadakan bertujuan untuk mengemukakan memorandum kepada kerajaan dan Ahli Parlimen bagi menuntut ketetapan mengehadkan penggal pemerintahan Perdana Menteri, perlindungan lebih kukuh terhadap pemberi maklumat dan kajian terhadap Akta Hasutan.
Memorandum itu juga menggesa dihentikan keputusan lepas tanpa dibebaskan (DNAA) membabitkan pendakwaan terhadap kepada ahli politik di mahkamah dan penghapusan dwi-standard dalam permohonan undang-undang dan meluahkan kebimbangan terhadap proses pengampunan Najib Razak, bekas Perdana Menteri yang sedang menjalani hukuman penjara.
"Rakyat tidak akan berdiam diri, sebaliknya terus memberikan tekanan agar dilaksana agenda reformasi pilihan raya dan institusi.
"Kami perlu tahu berapa lama kajian akan mengambil masa dan bila dapat dilaksanakan. Ia perlu jelas bagi masyarakat awam, " tegas Faisal lagi.
Memorandum tersebut diterima oleh Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) antaranya Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), Hassan Karim (PH-Johor Bahru), Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) dan William Leong (PH-Selayang).
Pembangkang pula diwakili Syed Saddiq Abdul Rahman (MUDA-Muar) dan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).
Anwar yang merupakan seorang reformis berpengalaman pernah bersama Bersih pada suatu ketika turun ke jalan raya bagi mendesak usaha membanteras rasuah dan membawa pelbagai agenda reformasi dengan menolak UMNO, parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang dicemari skandal ketika ia berkuasa pada masa itu.
Kemudian dalam keputusan bersejarah pada Pilihan Raya Umum 2018 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah selama hampir 60 tahun.
Bagaimanapun, setelah menduduki jawatan Perdana Menteri sejak November 2022, dan bekerjasama dengan UMNO dan dua blok parti dari Sabah dan Sarawak ekoran Parlimen tergantung, pengkritik mendakwa kempen reformasi yang dibawa oleh Anwar masih gagal dilaksanakan meskipun beliau berterusan lantang memerangi rasuah.
Muak
Ahmad Fadhli yang merupakan wakil rakyat pembangkang dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berkata sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena apabila Bersih mengadakan perhimpunan menentang pentadbiran Anwar.
"Kita semua tahu bahawa Bersih mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin kerajaan sekarang secara peribadi dan juga sebelum pilihan raya.
"Apabila Bersih terpaksa mengambil tindakan sedemikian untuk membuat tuntutan ini kepada kerajaan, sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena dalam pelaksanaan reformasi oleh kerajaan semasa," katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum itu.
Josef Benedict dari CIVICUS Asia Pasifik, sebuah gabungan pertubuhan masyarakat sivil berkata, pentadbiran Anwar mendakwa gabungannya dengan UMNO-Barisan Nasional sebagai penghalang kepada pelaksanaan reformasi.
“Ini adalah hujah yang lemah dan benar-benar mencerminkan kurangnya kemahuan politik oleh kerajaan dalam membawa perubahan yang bermakna.
“Sebaliknya, kita telah melihat bagaimana kerajaan semasa terus menggunakan undang-undang sekatan termasuk Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia dan Perhimpunan Aman untuk menghalang perbezaan pendapat dan menjenayahkan aktivis serta pengkritik," katanya kepada BenarNews.
Rakyat berasa marah dan muak dengan dasar "hanya bercakap, tiada tindakan, urusan seperti biasa" oleh pentadbiran Anwar, kata Phil Robertson, timbalan pengarah Asia Human Rights Watch.
“Sungguh memalukan bagaimana Anwar pada dasarnya menghumban janji reformasinya ke luar tingkap ketika melihat tanda-tanda awal berlaku penentangan politik.
“Memburu dan mengekalkan kuasa tanpa sebarang matlamat untuk memperbaiki kehidupan rakyat membuatkan rakyat Malaysia sinis terhadap pemimpin mereka,” katanya lagi kepada BenarNews.
Robertson berkata, rakyat Malaysia sangat letih dengan keadaan sekarang dan menuntut perubahan bagi memelihara hak asasi manusia dan dukungan bagi menentang rasuah.