Follow us

BERSIH Hantar Memorandum Kepada SUHAKAM

Hata Wahari
Kuala Lumpur
2017-06-08
E-mel
Komen
Share
Maria Chin Abdullah menyerahkan memorandum kepada Pesuruhjaya SUHAKAM Lok Yim Pheng sambil diperhatikan oleh pegawai BERSIH dan SUHAKAM, di Kuala Lumpur, 8 Jun 2017.
Maria Chin Abdullah menyerahkan memorandum kepada Pesuruhjaya SUHAKAM Lok Yim Pheng sambil diperhatikan oleh pegawai BERSIH dan SUHAKAM, di Kuala Lumpur, 8 Jun 2017.
[Ihsan Suhakam]

BERSIH pada Khamis meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menjalankan siasatan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana  secara berterusan membuli serta menahan anggota dan penyokong badan pemantau pilihan raya bersih dan adil.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Maria Chin Abdullah menyerahkan memorandum mengenai dakwaan itu yang dipercayai berlaku sejak Oktober 2010 sehingga kini di mana 119 tangkapan dan siasatan telah dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia terhadap penyokong BERSIH di serata negara.

“Tindakan membuli dengan menangkap dan menyiasat anggota dan penyokong BERSIH ini bertentangan dengan Pengisytiharaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan dengan Hak Asasi Manusia,” katanya ketika dihubungi BeritaBenar pada Khamis.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar ketika dihubungi bagaimanapun meminta persoalan mengenai perkara itu ditanya semasa beliau membuat sidang media yang dijadualkan pada Jumaat.

BERSIH, yang dilancarkan secara rasmi pada 23 November 2006, merupakan sebuah platform yang mendesak Kerajaan Malaysia supaya mengamalkan sistem pemerintahan lebih demokratik, saksama dan tidak berat sebelah, selain menuntut pembaharuan di dalam pilihan raya sebagai agenda nasionalnya.

Pendengaran awam

Maria dalam memorandumnya itu meminta SUHAKAM menyiasat dan mengadakan pendengaran awam terhadap tindakan membuli yang didakwanya dilakukan oleh polis Malaysia di atas arahan Khalid.

Beliau juga meminta SUHAKAM untuk membuat penilaian terhadap beberapa undang-udang kerana penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pihak polis.

“Undang-undang yang diminta untuk dinilai semula oleh BERSIH ialah Akta Perhimpunan Aman, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Hasutan,” kata Maria.

BERSIH pada 1 Jun lepas memberitahu badan itu hanya dapat bertahan tujuh bulan lagi sekiranya tiada dana membiayai operasinya dalam meneruskan usaha kempen yang mahukan pilihan raya bebas dan adil di Malaysia.

BERSIH juga berkata kos anggaran sebanyak RM100,000  terpaksa digunakan untuk membayar kos undang-undang melibatkan 120 siasatan terhadap wakil BERSIH atau sukarelawannya.

Sehubungan itu, BERSIH melancarkan kempen mengumpul dana sebanyak RM500,000 selama tiga bulan iaitu dari Jun sehingga September ini.

BERSIH, telah menganjurkan enam perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur, dengan yang pertama diadakan pada November 2007.

Protes jalanan terakhir yang dianjurkan oleh gabungan itu ialah BERSIH 5.0 pada bulan November tahun lepas dengan secara aman tanpa sebarang gangguan daripada pihak polis. Perhimpunan yang sama juga diadakan di beberapa buah bandaraya di seluruh dunia.

Namun Maria telah ditangkap sehari sebelum perhimpunan itu dan ditahan selama 10 hari di bawah undang-undang keselamatan negara kerana didakwa terlibat dengan aktiviti yang “menjejaskan demokrasi berparlimen.”

Beliau bagaimanapun dibebaskan pada malam sebelum perbicaraan, dijadualkan berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang mempertimbangkan writ Habeas Corpus difailkan oleh para peguam Maria bagi memohon pembebasannya.

Lihat Laman Penuh