Bersih: Perjanjian parti pemerintah dan pembangkang mungkin berlaku jamin kestabilan

Perkara tersebut mungkin berlaku jika parti yang memenangi PRU ke-15 menang dengan majoriti tipis.
Iman Muttaqin Yusof & Iskandar Zulkarnain
2022.09.29
Kuala Lumpur
Bersih: Perjanjian parti pemerintah dan pembangkang mungkin berlaku jamin kestabilan Seorang pengundi menunjukkan nombor saluran mengundinya sebelum membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-14, di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda di Kuala Lumpur 4 September, 2018.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bakal menyaksikan persaingan sengit manakala parti yang membentuk kerajaan mungkin akan memperoleh majoriti yang tipis di Parlimen, demikian jangkaan sebuah badan pemerhati pilihan raya utama pada Khamis tatkala spekulasi berkenaan pilihan raya umum mengejut akan diadakan pada tahun ini.

Menurut Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ketidakstabilan politik itu akan sekaligus bermakna kerajaan baharu yang bakal dibentuk mungkin terpaksa mewujudkan kerjasama dengan pihak pembangkang bagi memastikan kelancaran pentadbiran.

“Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) yang telah ditandatangani itu agak bersejarah dan kami menjangka ia berlaku sekali lagi selepas pilihan raya umum akan datang,” kata pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann selepas pelancaran Laporan Tahunan Bersih 2.0 2021 secara dalam talian di Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurutnya terdapat juga kemungkinan MoU yang ditandatangani juga akan bertambah jika Parlimen tergantung bagi mewujudkan kestabilan politik untuk mentadbir negara.

Bulan ini genap setahun Perdana Menteri kesembilan, Ismail Sabri Yaakob - dari parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti terbesar kaum Melayu, menandatangani perjanjian Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dengan blok utama pembangkang, Pakatan Harapan.

Perjanjian bersejarah yang dimeterai pada 13 September 2021 itu - pertama kali di antara kerajaan pemerintah dan pembangkang di Malaysia, bertujuan memastikan kestabilan pentadbiran pemerintah.

Antara intipati utama MoU itu adalah Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai 2022 itu membolehkan Ismail Sabri untuk kekal berkuasa sehingga hari ini, disebalik tekanan kuat dari kepimpinan partinya sendiri untuk membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.

Perjanjian itu telah dimeterai sebulan selepas Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera dilantik sebagai perdana menteri selepas peralihan kerajaan kali ketiga dalam tempoh tiga tahun, sejak PRU-14 pada Mei 2018.

Meterai perjanjian jika majoriti tipis

Dalam pada itu, para penganalisis berpandangan mana-mana blok parti yang berjaya membentuk kerajaan akan sedaya upaya mengelakkan dari menandatangani sebarang perjanjian kerjasama dengan pihak pembangkang selepas PRU ke-15 akan datang.

Jeniri Amir, felo Majlis Professor Negara berkata kemungkinan kerajaan akan datang perlu memeterai perjanjian dengan pembangkang akan bergantung sepenuhnya kepada keputusan PRU-15.

“Semuanya akan bergantung kepada bilangan kerusi yang diperolehi oleh parti yang berjaya memenangi PRU akan datang.

“Sebagai contoh, andainya Barisan Nasional berjaya menang dengan bilangan kerusi yang meyakinkan, dengan sokongan parti-parti dari Sabah dan Sarawak berjaya memperolehi lebih daripada 125 kerusi, saya tidak fikir parti yang menang mahu memeterai MoU,” ujarnya kepada BenarNews.

Menurutnya ini adalah kerana MoU yang sedang berkuatkuasa kini dimeterai disebabkan margin sokongan yang kecil serta majoriti yang begitu tipis, selain bertujuan mengelakkan berlaku insiden lompat parti.

“Lagi pun, saya fikir dengan adanya Undang-undang Anti-Lompat Parti, saya tidak fikir MoU masih diperlukan.

“Hanya sekiranya margin majoriti yang diperolehi terlalu kecil, kemungkinan besar mereka perlu memeterai MoU agar dapat memastikan kestabilan politil serta melancarkan urusan kerajaan dalam mentadbir negara,” tambah Jeniri lagi.

Awang Azman Awang Pawi, penganalisis dari Universiti Malaya turut senada.

“Ia bergantung kepada keputusan PRU-15. Mana-mana blok parti yang menguasai kerajaan dengan majoriti yang selesa pastinya tidak akan memeterai perjanjian SCA dan MoU kerana mereka menentukan semua keputusan dalam Dewan Rakyat.

“Lagipun, Undang-undang Anti-Lompat Parti telah diluluskan dan insiden wakil rakyat melompat parti tidak akan berulang lagi,” katanya kepada BenarNews.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya kerajaan dibentuk dengan majoriti terlalu tipis, maka mereka terpaksa memeterai perjanjian dengan pembangkang untuk memastikan kestabilan politik.

“Dengan ini, semua keputusan kerajaan akan dibincangkan dengan menyeluruh serta memberi manfaat kepada semua pihak,” ujarnya lagi.

Terus desak

Dalam perkembangan berkaitan, Thomas berkata Bersih akan terus mendesak kerajaan untuk melaksanakan reformasi sistem pilihan raya negara itu.
“Kami gembira selepas Undang-undang Anti-Lompat Parti telah pun diluluskan, tetapi ia masih belum sempurna sepenuhnya.

“Masih ada kekurangan. Sebagai contoh mana-mana Ahli Parlimen yang dipecat tidak perlu mengosongkan kerusi mereka dan parti yang meninggalkan gabungan mereka tidak akan dihukum, malah mereka masih boleh mengekalkan kerusi masing-masing,” ujar Thomas.

“Menteri Undang-undang memberi isyarat bahawa akan ada fasa kedua dan ketiga bagi memperkasakan lagi Undang-undang Anti-Lompat Parti,” ujarnya lagi.

Thomas berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu melakukan reformasi melibatkan dua juta pengundi yang tinggal di luar negara.

“Permudahkan urusan pendaftaran sebagai pengundi pos dan kami mendesak supaya permohonan ini dibuka segera memandangkan spekulasi PRU akan diadakan dalam masa terdekat atau tahun hadapan,” katanya lagi.

Menurut Thomas lagi, Bersih turut mendesak supaya Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Dana Politik dibentang dan diluluskan pada sidang Parlimen akan datang.

Pada 24 Sept, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata Bacaan Pertama RUU berkenaan dijangka akan dibuat pada awal November. Ia akan disusuli Bacaan Kedua pada hujung bulan depan.

Menurut beliau, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) telah menyediakan skop serta parameter dasar digariskan dalam RUU tersebut.

“Ia telah dipanjangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti sebelum dimuktamadkan,” ujarnya kepada media pada Ahad lalu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.