BERSIH 4.0 Tetap Berhimpun Manakala Kerajaan Tingkatkan Usaha Mencegah

Oleh staf BeritaBenar
2015.08.27
150827-MY-BERSIH620 Seorang peserta BERSIH 3.0 menjerit semasa perhimpunan besar-besaran menuntut pembaharuan dalam pilihan raya di Kuala Lumpur. 28 April 2012
AFP

Pergerakan reformasi BERSIH 4.0 masih tidak berganjak dengan keputusan mahu mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur dan di beberapa bandaraya lain pada hujung minggu ini walaupun kerajaan sedang meningkatkan usaha untuk mencegahnya, dengan pihak tentera turut memberi amaran mungkin terlibat.

Dalam usaha memastikan kestabilan di Malaysia tidak diganggu-gugat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak menyekat laman sesawang yang mempromosi, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai menyertai perhimpunan Bersih 4.0 yang akan diadakan di beberapa lokasi di negara ini dan dunia pada hujung minggu ini.

SKMM, agensi yang mengawal selia Internet di Malaysia, berkata pihaknya mengambil tindakan sedemikian susulan kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini bahawa perhimpunan BERSIH 4.0 bergiat secara tidak sah.

KDN juga mendapati BERSIH 4.0 mencetuskan kegelisahan serta membangkitkan kebimbangan orang ramai khususnya rakyat pelbagai kaum, agama dan keturunan di negara ini.

Menurut kenyataan akhbar SKMM yang diedarkan kepada media dan dipaparkan di laman sesawang agensi itu hari ini, KDN mendapati BERSIH 4.0 menyebarkan propaganda untuk menghasut rakyat bagi tujuan negatif terhadap kerajaan dengan mengedarkan risalah-risalah tertentu yang boleh mendatangkan keburukan.

Selain itu, KDN mendapati pelbagai kegiatan BERSIH 4.0 telah memberi kesan buruk kepada imej negara serta boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi serta kedaulatan negara selain menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Sehubungan itu, SKMM mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam berkongsi maklumat di laman-laman sesawang dan media sosial terutama kandungan yang boleh menyalahi mana-mana undang-undang.

SKMM juga meminta orang ramai membuat aduan jika mempunyai maklumat mengenai laman sesawang dan media sosial yang menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan kestabilan negara, ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi.

Dalam pada itu, akhbar The Star melaporkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Jailani Johari berkata, laman sesawang termasuk portal media tidak akan terkecuali daripada disekat oleh SKMM sekiranya didapati mempromosi, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai untuk menyertai perhimpunan BERSIH 4.0.

Beliau berkata, keputusan itu diambil kerana perhimpunan berkenaan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

"Jadi sekiranya mana-mana pengguna laman sesawang di luar sana yang cuba 'posting' apa-apa untuk menarik pelayar internet menghadiri perhimpunan itu, SKMM tidak teragak-agak untuk menutup (laman sesawang) dan PDRM juga tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan," katanya pada Khamis.

Kumpulan pejuang reformasi di Malaysia menganjurkan BERSIH 4.0 dengan matlamat mendesak Perdana Menteri Najib Razak meletakkan jawatannya selain menuntut pilihanraya yang bersih, kerajaan bebas rasuah, hak untuk membantah, mengukuhkan demokrasi parlimen dan menyelamatkan ekonomi

Kumpulan itu merancang mengadakan protes jalanan di seluruh Malaysia dan di 50 buah bandar di seluruh dunia termasuk di New York, Washington, San Francisco, Montreal, London, Paris, Geneva, Auckland, Melbourne, Shanghai, dan Hong Kong.

Pengerusi perhimpunan, Maria Chin Abdullah berkata, mereka tetap mahu menjadikan Dataran Merdeka sebagai tapak perhimpunan BERSIH 4.0 yang dijadualkan berlangsung selama 34 jam bermula pada 2 petang 29 Ogos dan berakhir pada 11.59 malam, 30 Ogos.

Hak Perlembagaan

Semasa mengulas mengenai tindakan SKMM itu, Maria berkata, keputusan SKMM itu begitu mengejutkan dan bertentangan dengan hak perlembagaan

Katanya, BERSIH 2.0 akan bertindak untuk menyaman SKMM melainkan ia menarik balik sekatan laman sesawang yang menyebarkan maklumat mengenai perhimpunan BERSIH 4.0.

"Ia bertentangan dengan hak untuk mendapatkan maklumat, dan kita bercakap mengenai melaksanakan akta terhadap hak untuk mendapatkan maklumat," katanya sambil menambah bahawa tujuan penubuhan SKMM adalah memastikan saluran maklumat yang bebas.

Tarikh itu bersamaan dengan perancangan kerajaan mengadakan upacara sambutan ulang tahun Kemerdekaan Ke-58 Malaysia di Dataran Merdeka pada 31 Ogos, yang bakal disertai ribuan orang dan dihadiri para pemimpin negara dan orang kenamaan.

Pada Selasa, Ketua Polis Kuala Lumpur Tajudin Md Isa menegaskan pihaknya tidak pernah memberi kebenaran kepada penganjur BERSIH 4.0 untuk mengadakan perhimpunan itu di Kuala Lumpur atau kawasan sekitarnya pada tarikh berkenaan.

"Polis Kuala Lumpur menegaskan perhimpunan itu menyalahi undang-undang kerana pihak penganjur tidak mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur seperti mana yang disyaratkan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736)," katanya.

Tajudin berkata pada perjumpaan antara Ketua Polis Daerah Dang Wangi dan penganjur perhimpunan itu baru-baru ini, polis menasihatkan mereka tidak mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya kerana pada 26 hingga 30 Ogos ini berlangsungnya persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2015.

Katanya, polis Kuala Lumpur bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan orang ramai dan ketenteraman awam di bandar raya ini terjamin.

"Orang ramai dinasihatkan supaya memberi kerjasama dengan tidak memasuki kawasan Dataran Merdeka bagi menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang di sepanjang tempoh tersebut," katanya.

Tentera masuk campur

Dalam pada itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata sayap pertahanan negara itu akan masuk campur dalam menangani Perhimpunan BERSIH 4.0 jika kerajaan mengisytiharkan darurat.

Panglima ATM Jeneral Zulkifeli Mohd Zin dipetik sebagai berkata di dalam akhbar The Star, setakat ini pihaknya tidak terlibat dalam mengawal perhimpunan itu kerana situasi masih belum mencapai tahap kritikal.

“ATM hanya akan masuk campur jika kerajaan mengisytiharkan darurat. Jika situasinya dikategorikan sebagai ancaman kepada orang awam, kami akan ambil alih peranan polis untuk mengawal keadaan,” katanya di Kementerian Pertahanan pada Khamis.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Mohd Salleh Said Keruak meminta penganjur perhimpunan BERSIH 4.0 supaya menghormati penganjuran sambutan Hari Kebangsaan 2015 pada 31 Ogos di Dataran Merdeka.

Beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah membuat keputusan tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan kerana bertindih dengan raptai sambutan peringkat kebangsaan.

"Polis sudah mengisytiharkan perhimpunan itu haram dan pemilik (tempat penganjuran perhimpunan iaitu DBKL) tidak memberikan permit...dan apabila tidak ada permit, perhimpunan atau demonstrasi itu sendiri dianggap tidak sah.

Dalam pada itu, Mohd Salleh berkata mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan boleh meluahkan pandangan mereka tetapi ia perlu dilakukan secara rasional.

Beliau menegaskan kerajaan akan terus memastikan keharmonian kaum dan agama di negara ini terpelihara, dan akan bertindak terhadap ancaman pelampau dan pengganas.

Sementara itu, Gerakan Anak Muda Harapan Baru telah menghantar jemputan untuk menyertai perhimpunan BERSIH 4.0 kepada bekas timbalan perdana menteri, Muhyiddin Yassin, di kediamannya pada Rabu lalu.

"Kita berharap Tan Sri Muhyiddin akan menyertai orang ramai dalam perhimpunan yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos ini," kata penyelaras Gerakan Anak Muda Harapan Baru, Sany Hamzan.

Menurut Gerakan tersebut, pada masa ini, Muhyiddin merupakan satu-satunya pemimpin Umno yang diberikan jemputan rasmi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.