Program B4G: 110,000 Pekerja Asing Daftar Mahu Pulang Ke Negara Asal

Nisha David & Noah Lee
2019.12.05
Kuala Lumpur, Malaysia
191205-MY-Immigration620.jpg Pekerja asing berbaris untuk mendapatkan nombor giliran kerana mahu berurusan dengan Jabatan Imigresen berhubung program pengampunan B4G di Ibupejabat Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya, 1 Ogos, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia berkata lebih 110,000 pekerja tanpa izin dengan sukarelanya menyerah diri kepada Jabatan Imigresen Malaysia [JIM] dan bersetuju untuk meninggalkan negara itu dengan tidak kembali lagi melalui program pengampunan B4G [Back For Good], yang diperkenalkan oleh pentadbiran Putrajaya pada Ogos lepas.

Menurut jabatan itu, seramai 111,736 pendatang tanpa izin telah didaftarkan di bawah program pengampunan BG4 yang bermula pada 1 Ogos sehingga 28 November lalu, dengan 61,432 daripadanya tinggal lebih masa daripada yang dibenarkan visa, manakala 50,304 lagi tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Angka tersebut adalah yang terkini dan kesemua mereka berjaya memenuhi syarat-syarat seperti yang telah ditetapkan," kata seorang pegawai media yang tidak mahu namanya disiarkan kepada BeritaBenar kerana tidak mempunyai kebenaraan untuk bercakap mengenai program tersebut sambil menambah "Pecahan data mengikut negara dan butiran lain akan dikeluarkan pada tarikh akhir program."

Bilangan peserta terbesar adalah dari Indonesia (42,279), diikuti oleh Bangladesh (30,098), India (19,997), Pakistan (5,755) dan Myanmar (5,332). Yang lain pula adalah dari Nepal, Nigeria, Sri Lanka, Filipina dan China.

"Salah satu syarat yang ditetapkan untuk mengambil bahagian dalam program ini ialah mereka mesti membeli tiket kapal terbang untuk pulang ke negara asal," seorang pegawai kanan jabatan yang enggan namanya disiarkan memberitahu BeritaBenar.

Beliau berkata para peserta tidak akan dibenarkan mendaftarkan diri tanpa mengemukakan tiket dan mesti kembali ke negara asalnya dalam tempoh sebulan.

Di samping itu, peserta juga perlu membayar denda sebanyak RM700 (AS$167) untuk melayakkan diri. Apabila mereka kembali ke negara asal mereka, mereka akan disenaraihitamkan daripada kembali semula ke Malaysia.

Pengiraan yang dibuat oleh BeritaBenar, Malaysia telah mengumpul kira-kira RM78.2 juta (AS$18.75 juta) daripada mereka yang mendaftar dalam program tersebut.

Imigresen beri amaran tegas

Di Bangladesh, kerajaan mengarahkan Biman, syarikat penerbangan nasional negara itu untuk menambah 16 penerbangan ke Kuala Lumpur untuk membawa pulang pendatang yang mendaftar melalui program pengampunan berkenaan, demikian menurut laporan media tempatan negara itu.

"Biman akan mengendalikan penerbangan tambahan atas tanggungjawabnya untuk berkhidmat dengan lebih baik demi kepentingan negara dan rakyatnya," kata Menteri Penerbangan dan Pelancongan Awam Negara itu, M. Mahbub Ali dalam satu kenyataan.

Sementara itu seorang rakyat Bangladeshi, Majibul Rahman, 42 yang merupakan salah seorang daripada mereka yang dapat meninggalkan Malaysia melalui program pengampunan itu berkata, ‘Saya sudah mempunyai tiket dan penerbangan saya dijadualkan esok,”

"Saya akan kembali dengan dua rakan saya yang berada di sini bersama saya. Alhamdulillah, kerajaan Malaysia memberi peluang untuk pulang semula ke negara kami," katanya kepada BeritaBenar pada Ogos lepas.

Seorang lagi pekerja asing warga Indonesia yang hanya dikenali sebagai Dewi, 19, yang turut mengambil peluang untuk pulang pada Ogos lepas.

"Saya telah berada di Malaysia selama tiga bulan dan datang sebagai pelawat tetapi tinggal lebih masa, sekarang saya mahu kembali," katanya kepada BeritaBenar, sambil menambah, "Saya tahu mengenai program ini daripada seorang kawan."

Pihak berkuasa Imigresen Malaysia telah memberi amaran tegas bahawa sebaik sahaja program itu berakhir, jabatan berkenaan dijangka mengadakan operasi besar-besaran terhadap pendatang tanpa izin yang enggan meninggalkan negara secara sukarela. Mereka yang ditahan boleh dikenakan denda minimum RM5,000 (AS$1,198) dan boleh dikenakan hukuman sehingga 12 bulan jika disabitkan kesalahan.

"Program pengampunan B4G [Back for Good] akan berakhir pada 31 Dis ini, dan kami akan memastikan bahawa pada 1 Januari kami akan meneruskan usaha penguatkuasaan secara besar-besaran," kata Ketua Pengarah jabatan itu, Khairul Dzaimee Daud. "Tidak akan ada kompromi untuk pendatang tanpa izin yang ditangkap selepas program ini.”

Sebelum ini, Ketua Pengarah berkata matlamat program itu adalah untuk mengurangkan kemasukan pendatang dan membendung masalah sosial termasuk jenayah, katanya seperti dilaporkan oleh portal berita Malay Mail pada Julai lepas.

Para pegawai Malaysia telah memanggil program tersebut sebagai program pengampunan terakhir. Sebelum itu, satu lagi program pengampunan telah bermula pada 2014 yang membawa kepada seramai 840,000 pendatang meninggalkan negara itu selepas mereka membayar kira-kira RM400 juta (AS$95.9 juta) denda.

Pekerjaan 3D

Walau bagaimanapun, penganalisa ekonomi dan pegawai hak asasi manusia memberi amaran bahawa penghijrahan pekerja asing boleh menjejaskan ekonomi, khususnya dalam sektor pembangunan dan pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar).

Tenaga kerja asing merupakan bahagian penting bagi ekonomi Malaysia, terutamanya dalam sektor 3D kerana sifat kerja dan gaji rendah, kata Barjoyai Bardai, seorang ahli ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak.

"Pekerja asing sanggup bekerja dengan bayaran gaji sebanyak RM1,100 (AS$263) sebulan untuk memenuhi keperluan," kata Barjoyai kepada BeritaBenar.

"Mereka datang ke Malaysia untuk bekerja dengan keras sebolehnya, menyimpan dan menghantar kembali wang ke negara mereka. Sebab itu, mereka boleh menyesuaikan diri dengan pendapatan yang tidak seberapa, dan jika mereka tidak berada di sini, akan ada jurang besar dalam mengisi sektor pekerjaan 3D," katanya sambil menambah Malaysia akan menghadapi kekurangan pekerja dalam sektor pembinaan.

Tenaganita, sebuah NGO hak asasi manusia tempatan yang menangani masalah pekerja asing, menunjukkan bahawa pekerja asing yang telah disebut sebagai "pendatang tanpa izin" oleh pegawai kerajaan memainkan peranan besar dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das berkata industri tempatan memerlukan pekerja asing bagi tahun-tahun mendatang. Beliau menggesa kerajaan untuk melayan mereka seperti manusia.

“Kerajaan mesti memainkan peranan yang lebih aktif dalam mendidik rakyat Malaysia bahawa pekerja asing bukan musuh mereka atau penyebab kepada masalah kewangan atau pekerjaan mereka sendiri," katanya kepada BeritaBenar.

Das berkata usaha berskala besar untuk menangkap pendatang tanpa izin secara konsisten "gagal menghasilkan sebarang keputusan yang bermanfaat, kecuali pegawai penguatkuasa yang kurang sopan dan agen yang tidak beretika."

Aminah Farid dan Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.





Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.