Malaysia Bakal Rekrut Pekerja Bangladesh Selepas Tiga Tahun Hentikan Pengambilan

Kuala Lumpur berhenti membawa masuk pekerja dari negara itu susulan dakwaan berlaku penyelewengan dan kos pengambilan yang tinggi.
Ray Sherman & Nisha David
2021.12.19
Kuala Lumpur
Malaysia Bakal Rekrut Pekerja Bangladesh Selepas Tiga Tahun Hentikan Pengambilan Imran Ahmed, Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh (kiri) berjabat tangan dengan M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia Malaysia, selepas menandatangani satu memorandum persefahaman di Kuala Lumpur, 19 Dis 2021.
[Ihsan Kementeria Sumber Manusia Malaysia]

KEMASKINI pada 2.30 petang waktu tempatan ETS - 2021-12-19

Malaysia pada Ahad memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Bangladesh untuk merekrut pekerja dari negara itu bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di negara ini selepas usaha serupa dihentikan pada 2018.

Memorandum itu ditandatangani di Kuala Lumpur oleh M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia Malaysia, dan Imran Ahmed, Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh namun tidak diuar-uarkan kepada umum, yang merisaukan aktivis hak asasi pekerja asing.

“MoU baharu ini akan berkuat kuasa selama lima tahun sehingga Disember 2026,” menurut Saravanan dalam satu kenyataan. “MoU ini, antara lain, menggariskan tanggungjawab kerajaan Malaysia dan Bangladesh serta pekerja dan majikan selain agensi pekerjaan swasta dari kedua-dua negara.”

Saravanan berkata MoU itu akan dikawal selia oleh satu kumpulan kerja bersama yang dianggotai kedua-dua negara.

Pada 10 Dis lepas, Kabinet Malaysia memutuskan untuk membuka semula pengambilan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor termasuk perladangan, pengeluaran, pertanian, perlombongan, pembinaan dan perkhidmatan domestik.

“Pemeteraian MoU ini dijangka dapat menampung keperluan mendesak untuk guna tenaga asing termasuk di sektor perladangan yang telah pun diluluskan oleh Jemaah Menteri sebanyak 32,000 orang secara pengecualian khas,” kata Saravanan. “Hal ini kerana terdapatnya kekangan bagi kemasukan pekerja warga Indonesia bagi sektor perladangan sehinggalah MoU berhubung Pekhidmat Domestik Indonesia dimeterai.”

Saravanan berkata sehingga 30 Nov lepas, sejumlah 326,669 pekerja Bangladesh yang memiliki dokumen bekerja di Malaysia dengan majoritinya dalam sektor pembinaan (136,897 orang) diikuti sektor pembuatan (111,694 orang).

Tiada media hadir pada majlis pemeteraian MoU itu dan pegawai komunikasi Kementerian Sumber Manusia Malaysia tidak memberikan maklum balas kepada permintaan BenarNews untuk mendapatkan komen.

Malaysia telah menghentikan pengambilan pekerja Bangladesh pada 2018 susulan dakwaan berlaku penyelewengan dalam proses itu termasuk kos tinggi yang ditanggung oleh pekerja asing untuk mendapatkan pekerjaan.

Pada Jun 2018, M. Kulasegaran yang menjadi Menteri Sumber Manusia ketika itu berkata beberapa pihak telah mengambil kesempatan terhadap pekerja Bangladesh, demikian menurut laporan akhbar harian berbahasa Inggeris di Malaysia iaitu The Star.

“Penggantungan (pengambilan pekerja) ini akan berlanjutan sehinggalah siasatan penuh berhubung dakwaaan itu bahawa terdapa satu sindiket yang menjalankan operasi membabitkan skim penyeludupan manusia dengan tujuan mengeksploit kesemua pekerja ini selesai,” katanya pada ketika itu.

Andy Hall, seorang aktivis bebas berhubung hak-hak pekerja asing, mengesali kekurangan butiran MoU itu yang diberikan kepada media.

“Butiran lanjut mengenai aktiviti hari ini dan perkara yang berkaitan dengan kenyataan akhbar umum mengenai apa yang sebenarnya dipersetujui dalam rundingan MoU antara kedua-dua menteri serta kandungan sebenar MoU yang telah dimuktamad dan protokol berkaitan tidak ada,” kata Hall kepada BenarNews.

“Ketiadaan ketelusan seperti ini menimbulkan kebimbangan kembalinya aktiviti sindiket pengambilan pekerja yang boleh menjurus kepada ikatan hutan dan buruh paksa yang sistematik terhadap pekerja Bangladesh yang baru dibawa ke Malaysia di bawah perjanjian baharu.”

Pada Julai lepas, Malaysia jatuh ke Tahap 3, yang paling rendah, dalam Laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan Orang Jabatan Negara AS berdasarkan kebimbangan berlakunya buruh paksa di negara itu.

Isu perumahan atau penginapan

Saravanan mengingatkan majikan yang ingin menggajikan pekerja asing bahawa mereka perlu menyediakan kemudahan perumahan atau penginapan sepertimana yang terkandung dalam Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Ini bagi menangani elemen buruh paksa yang berkaitan dengan kemudahan penginapan atau perumahan pekerja,” katanya.

Saravanan juga berkata prosedur operasi standard bagi kemasukan pekerja asing ke semua sektor telah diperkemas dan ditambah baik yang merangkumi empat fasa iaitu prapelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan, tempoh kuarantin dan pasca kuarantin perlu dipatuhi.

Fasa prapelepasan termasuklah aspek keperluan vaksinasi lengkap COVID-19 di negara sumber dan ujian saringan RT-PCR diakukan dua hari sebelum pelepasan. Fasa ketibaan menghendaki pekerja Bangladesh memasuki Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Selepas ketibaan, pekerja asing akan ditempatkan di pusat kuarantin di Lembah Klang selama tujuh hari di mana ujian saringan akan dibuat pada hari kedua dan kelima tempoh kuarantin,” katanya.

“Dalam fasa pasca kuarantin pula, pekerja asing akan dibawa ke tempat kerja masing-masing dan akan menjalani pemeriksaan kesihatan oleh Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing,” kata Saravanan.

Pada 2020, Kulasegaran berkata Malaysia mengemukakan cadangan mengenai perjanjian pengambilan pekerja asing dari Bangladesh tanpa kos. Majikan perlu menanggung bayaran perkhidmatan pengambilan serta tambang tiket pergi balik, fi visa, pemeriksaan kesihatan dan saringan keselamatan bagi pekerja asing.

Para pegawai tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada semua syarat ini dimasukkan ke dalam MoU yang dimeterai pada Ahad.

‘Terlalu banyak yang dipertaruhkan’

Hall menggesa kedua-dua negara mengumumkan butiran perjanjian itu.

“[Hal ini kerana] terlalu banyak yang dipertaruh dan terdapat begitu banyak keraguan serta masih wujud kecurigaan mengenai integriti proses pengambilan pekerja,” katanya.

Alex Ong, penyelaras kumpulan hak asasi manusia Migrant Care mempersoal MoU itu dan berkata ia mungkin mendatangkan kesan negatif ke atas pelan serupa yang sedang dirangka dengan Indonesia.

“MoU ini menunjukkan bahawa keazaman politik Malaysia amat rendah ke arah mencapai standard buruh lebih tinggi,” kata Ong kepada BenarNews sambil menambah bahawa pihaknya bimbang akan berlaku trend peningkatan dalam penderaan buruh dan migrasi tidak teratur.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.