Biden Tawar Indo-Pasifik Bebas, Terbuka Kepada Pemimpin ASEAN

Isu ekonomi, Myanmar dan Ukraine akhiri agenda Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN.
Staf Radio Free Asia
2022.05.13
Washington
Biden Tawar Indo-Pasifik Bebas, Terbuka Kepada Pemimpin ASEAN Presiden Joe Biden mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN yang berlangsung di Jabatan Negara AS di Washington DC pada 13 Mei 2022.
[AFP]

Presiden AS Joe Biden pada Jumaat mengisytiharkan kepada pemimpin ASEAN bahawa “hubungan kami dengan anda adalah masa depan dunia" semasa beliau menggulung sidang kemuncak dengan blok negara ASEAN yang bertujuan memperkukuh hubungan trans-Pasifik dan menentang pengaruh kuat China di rantau itu.

Kenyataan Biden kepada Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara itu menyusuli kenyataan Naib Presiden AS Kamala Harris yang menawarkan bantuan dari segi keselamatan maritim kepada negara ASEAN bagi menangani “ancaman terhadap peraturan dan norma antarabangsa” dan Setiausaha Negara Antony Blinken yangmengadakan rundingan dengan Indonesia serta Vietnam.

"Kebanyakan sejarah dunia kita dalam tempoh 50 akan datang akan ditulis di negara-negara ASEAN dan hubungan kami dengan anda adalah masa depan dalam tahun serta dekad seterusnya," kata Biden pada hari terakhir Sidang Kemuncak AS-ASEAN yang berlangsung selama dua hari.

“Kepaksian ASEAN adalah intipati strategi pentadbiran saya dalam mengejar masa depan yang kita semua ingin saksikan. Rantau Indo-Pasifik adalah sebuah rantau yang bebas dan terbuka, stabil, makmur, berdaya tahan serta selamat. Inilah yang kita semua mahukan," kata Presiden AS itu.

Pakar menyifatkan "kepaksian ASEAN" adalah konsep yang didukung oleh 10 negara anggota blok itu sebagai pemacu dan arkitek pembinaan institusi serta hubungan sesama sendiri dan dalam kalangan pemain di luar rantau Asia Pasifik.

"Kami komited untuk menuju ke arah masa depan di mana peraturan dan norma yang memungkinkan begitu banyak pertumbuhan, kemakmuran dan kestabilan dicapai di Indo-Pasifik terus didukung serta diperkukuh, termasuk menghormati kedaulatan undang-undang serta hak asasi manusia," kata Biden.

Dalam tindakan yang dilihat sebagai signifikan di rantau yang sering beranggapan diabaikan oleh Washington meskipun ketika meminta langkah untuk mengimbang balas pengaruh besar China, beliau telah mencalonkam penasihat yang rapat dengannya iaitu Yohannes Abraham sebagai Duta AS ke ASEAN, menyandang jawatan itu di Indonesia yang sebelum ini kosong lebih lima tahun.

"Beliau akan menjadi wakil yang dipercayai mampu meneruskan langkah mempererat kerjasama kritikal ini sesama kita," kata Biden mengenai Abraham, yang berkhidmat sebagai Ketua Turus dan Setiausaha Eksekutif di Majlis Keselamatan Negara serta merupakan pembantu kanan dalam pentadbiran Barack Obama.

ASEAN terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Rantau itu mempunyai jumlah penduduk lebih 662 juta dan KDNK digabung sebanyak $3.2 trilion.

220513-Biden-Inside.jpeg

Presiden Joe Biden mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN yang berlangsung di Jabatan Negara AS di Washington DC, 13 Mei 2022  [AP].

Terdahulu, semasa menghoskan makan tengah hari kepada pemimpin ASEAN, Harris menzahirkan kebimbangan dari segi keselamatan yang dikongsi oleh kebanyakan negara berhubung tindakan agresif China di Laut China Selatan di mana beberapa anggota daripada 10 negara ASEAN mempunyai pertikaian tuntutan wilayah dengan Beijing.

“Pentadbiran kami mengiktiraf kepentingan strategik yang utama rantau anda, satu peranan yang akan berkembang seiring dengan waktu. Dan kami mengiktiraf kepaksian ASEAN dalam seni bina rantau ini,” katanya pada majlis yang berlangsung di Jabatan Negara AS di Washington.

“Sebagai sebuah negara Indo-Pasifik, Amerika Syarikat akan terus menghadirkan diri dan terlibat di Asia Tnggara untuk beberapa generasi akan datang,” kata Harris sambil menambah wawasan bersama bagi rantau itu ialah “bersama-sama kita akan menjaga dan melindungi daripada ancaman terhadap peraturan serta norma antarabangsa.”

“Kami berdiri bersama sekutu dan rakan kongsi kami dalam mempertahan perintah berdasarkan peraturan maritim yang termasuk kebebasan navigasi serta undang-undang antarabangsa,” katanya tanpa menyebut nama China.

Bagi menggariskan komitmen AS, Harris berkata AS akan menyediakan $60 juta sebagai bantuan keselamatan maritim serantau yang baharu yang diterajui oleh Pengawal Pantai AS, dan akan menggerakkan a cutter sebagai satu platform latihan dan menghantar pakar teknikal bagi membantu membina kapasiti di rantau itu.

Tawaran itu menyusuli komitmen Biden pada majlis makan malam sempena pembukaan sidang kemuncak itu pad Khamis untuk membelanjakan AS$150 juta bagi pencegahan COVID-19, keselamatan dan infrastruktur di Asia Tenggara sebagai sebahagian daripada pakej daripada pentadbirannya yang diharap mampu menentang pengaruh luas China di rantau itu.

Sebuah kapal Pengawal Pantai AS akan turut dihantar ke rantau itu bagi mengawal perairan negara ASEAN yang dikatakan dicerobohi oleh kapal menangkap ikan China, kata Biden.

Dalam mesyuarat dua hala pada Jumaat dengan Indonesia dan Vietnam, iaitu negara ASEAN paling ramai penduduk, Blinken menegaskan kepentingan mempererat kerjasama dalam keselamatan serta hubungan ekonomi.

Sidang kemuncak AS-ASEAN kedua yang diadakan di Amerika Syarikat susulan yang pertama di California pada 2016 “menekankan kepentingan utama yang kami, Amerika Syarikat, letakkan ke atas ASEAN, hubungan kita, kepaksian ASEAN,” kata Blinken kepada Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi.

“Kami kini bekerjasama dalam memajukan wawasan bersama ke arah rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka. Kami berusaha memperkukuh hubungan ekonomi dalam kalangan negara di rantau ini,” katanya di Jabatan Negara.

220513-Biden-Inside2.jpeg

Presiden AS Joe Biden (Kiri) dan para pemimpin Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) tiba untuk foto berkumpulan di South Lawn Rumah Putih di Washington DC, 12 Mei 2022. [AFP]

Krisis kemanusiaan yang teruk di Ukraine

Retno mengalu-alukan “komunikasi yang semakin meningkat dan kerjasama antara kedua-dua negara” dan berkata “kita harus menggunakan perkongsian strategik ini untuk turut menyumbang kepada keamanan, kestabilan an kemakmuran di rantau Indo-Pasifik.”

Berbeza dengan sikap enggan membincangkan peperangan di Ukraine dalam kalangan negara ASEAN termasuk Laos, Myanmar dan Vietnam yang mesra dengan Rusia, Menteri Indonesia itu berkata: “Harapan kami ialah untuk melihat peperangan di Ukraine dihentikan secepat mungkin.”

Kenyataan Retro itu serupa seperti yang dibuat kepada penggubal undang-undang AS pada Khamis oleh Presiden Indonesia Joko Widodo, yang mengambil maklum bahawa peperangan di Ukraine memberi kesan terhadap ekonomi global termasuk menyaksikan peningkatan harga makanan dan tenaga.

“Peperangan Ukraine telah menyebabkan krisis kemanusiaan yang teruk sehingga menjejaskan ekonomi global,” menurut beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kabinetnya.

Blinken memaklumkan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh bahawa Washington dan Hanoi kini “adalah rakan kongsi paling kuat, dengan wawasan bersama ke arah keselamatan di rantau yang kita kongsi bersama dan untuk hubungan ekonomi sekukuh mungkin.”

Krisis susulan kudeta tentera di Myanmar pada Februari 2021, yang merupakan fokus utama dalam mesyuarat pada Khamis di luar sidang kemuncak ASEAN, turut dibincangkan pada pertemuan Blinken dengan Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn, yang juga utusan khas ASEAN ke Myanmar.

“Kami kini bekerjasama rapat sebagai rakan kongsi dalam usaha memajukan wawasan yang dikongsi bersama bagi rantau ini termasuk keselamatan serantau,” kata Blinken. Kemboja merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun ini.

“Dan sememangnya kami mengalu-alukan peranan kepimpinan yang anda mainkan di peringkat ASEAN berkaitan beberapa isu termasuk harapan untuk memulihkan perjalanan demokrasi di Myanmar,” kata Blinken.

Tidak hadir namun teratas dalam agenda

Myanmar adalah satu daripada dua negara ASEAN yang pemimpinnya tidak hadir pada sidang kemuncak itu.

Filipina diwakili Menteri Luarnya susulan pilihan raya presiden yang berlangsung minggu ini manakala ketua junta Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dilarang daripada menghadiri sidang kemuncak itu susulan kekerasan yang dilakukan ke atas lawan rejim tenteranya yang didakwa kumpulan hak asasi manusia telah meragut sekurang-kurangnya 1,835 nyawa orang awam.

Meskipun tidak hadir di Washington, negara yang AS masih panggil secara rasmi sebagai Burma tetap menjadi keutamaan dalam agenda rakan anggota ASEAN lain pada Khamis.

Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah menerusi bebeapaa ciapan di laman Twitter menggesa para pegawai junta yang gagal melaksanakan komitmen mereka agar mwnghentikan keganasan di negara itu manakala Timbalan Setiausaha Negara AS Wendy Sherman pula mengadakan pertemuan dengan Zin Mar Aung, Menteri Luar bayangan bagi Kerajaan Perpaduan Negara di Myanmar.

“Timbalan setiausaha itu berkata Amerika Syarikat akan bekerjasama rapat dengan ASEAN dan rakan kongsi lain bagi mendesak resolusi yang adil serta aman kepada krisis di Burma,” demikian menurut kenyataan jurucakap Jabatan Negara Ned Price.

“Mereka turut mengutuk keganasan rejim yang semakin menjadi-jadi sehingga membawa kepada krisis kemanusiaan dan menggesa agar diberikan akses kemanusiaan tanpa halangan bagi membantu ereka yang memerlukan di Burma.”

Di Naypyidaw, Perkhidmatan RFA Myanmar menghubungi jurucakap junta tentera Mejar Jeneral Zaw Min Tun untuk mendapatkan komen namun beliau tidak memberikan maklum balas.

Bagaimanapun, ketua badan pemikir yag terdiri daripada bekas pegawai tentera yang sering melontarkan pandangan keras rejim itu menyifatkan pertemuan AS dengan pentadbiran terdahulu sebagai tidak “beretika.”

“Secara jujur, ia adalah satu tindakan tidak beretika oleh kuasa besar yang tidak menghormati negara lain,” kata Thein Tun Oo, pengarah eksekutif Thayninga Institute for Strategic Studies.

Majlis Pentadbiran Negara, gelaran rasmi yang diangkat sendiri oleh junta terhadap dirinya, “kini menguasai tiga cabang kuasa di Myanmar,” katanya.

"Memandangkan ia akan meneruskan usaha untuk mengotakan janji tepat pada masanya, tidak kisahlah apa yang pihak Barat mungkin kata atau desak atau lakukan, ia akan mengikut jalan yang telah ditetapkannya sendiri,” kata Thein.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.