Dua Lelaki Didakwa Bunuh Pemimpin Dayak Sarawak
2016.07.15
Kuching, Sarawak

Dua lelaki yang ditahan berhubung pembunuhan seorang aktivis hak tanah adat yang berkempen bagi pihak kaum pribumi Sarawak, telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Miri pada Jumaat atas tuduhan membunuh.
Mohamad Fitri Pauzi, 29, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Bill Kayong, 43, di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasaraya E-Mart Jalan Miri-Bintulu, pada 21 Jun kira-kira 8.20 pagi.
Manakala, tertuduh kedua, Lie Chang Loon, 37, seorang pemilik sebuah pub didakwa bersubahat dengan Mohamad Fitri mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.
Polis Sarawak masih memburu tiga lelaki yang masih bebas kerana dipercayai bersubahat dengan pembunuhan itu, menurut polis.
Bill Kayong atau dikenali dengan nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah, dari suku kaum Dayak adalah Setiausaha Parti Keadilan Rakyat [PKR] cawangan Miri, ditembak mati di bandar Miri, semasa dalam perjalanan ke pejabatnya pada Jun 21 lepas.
Bagaimanapun, tiada pengakuan dicatatkan daripada kedua-dua tertuduh di hadapan Majistret Lovely Nastasya.
Pendakwaan dilakukan oleh Mohamad Iskandar Ahmad, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Ranbir Singh Sangha.
Pemimpin pribumi di Sarawak bersama-sama para pemimpin di seluruh Malaysia mengutuk pembunuhan Bill baru-baru ini.
Bill juga pernah berkhidmat sebagai setiausaha untuk PEDAS, sebuah badan bukan kerajaan [NGO] yang menyokong hak masyarakat Dayak di negeri berkenaan.
Berikutan pembunuhan itu, 13 NGO tempatan yang mewakili suku kaum tempatan mengadakan sidang media di Kuching bagi menyuarakan perpaduan bersama terhadap aktivis yang mati dibunuh itu.
Polis cari tiga individu
Pada hari yang sama Bill dibunuh, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar telah menubuhkan sebuah pasukan khas yang terdiri daripada anggota polis Bukit Aman dan polis negeri Sarawak bagi menyiasat kes pembunuhan itu sehingga pasukan berkenaan berjaya menahan sembilan suspek.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Dev Kumar yang ditemui media diluar kawasan mahkamah berkata, polis sedang mengesan tiga lagi orang termasuk dalang kes berkenaan.
Sementara itu, sumber polis memberitahu BeritaBenar, motif disebalik pembunuhan Bill mungkin berkaitan dengan penglibatannya dalam mempertahankan pencerobohan tanah di negeri itu.