Follow us

'Buku Jalanan Chow Kit' Beri Peluang Anak Miskin Kota Membaca

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-12-27
E-mel
Komen
Share
Atikah Yusri (tengah) bersama dua lagi sukarelawan dan kanak-kanak yang mengikuti program 'Buku Jalanan Chow Kit' di sebuah rumah kedai di Lorong Haji Taib 1, Kuala Lumpur, 27 Disember, 2018.
Atikah Yusri (tengah) bersama dua lagi sukarelawan dan kanak-kanak yang mengikuti program 'Buku Jalanan Chow Kit' di sebuah rumah kedai di Lorong Haji Taib 1, Kuala Lumpur, 27 Disember, 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Chow Kit, satu kawasan di ibunegara Kuala Lumpur yang imejnya terkenal sebagai kawasan hitam, telah diberi sinar oleh sekumpulan anak muda melalui inisiatif ‘Buku Jalanan Chow Kit’ yang memberi peluang kepada kanak-kanak gelandangan dan keluarga miskin kota untuk membaca, belajar Bahasa Inggeris dan Matematik.

Atikah Yusri seorang pertugas sukarela bagi ‘Buku Jalanan Chow Kit’ [BJCK] berkata, inisiatif BJCK yang diasaskan sejak 2015 itu pada mulanya hanya menyediakan kemudahan perpustakaan kecil yang bergerak dari lorong ke lorong di sekitar kawasan Chow Kit yang sememangnya terkenal dengan imej pelacuran, perjudian dan penagihan dadah.

Katanya, BJCK yang bergerak sepenuhnya dengan tajaan orang ramai dan badan korporat, kini beroperasi setiap hari di sebuah rumah kedai secara tetap di Lorong Haji Taib 1, di ibunegara dengan menawarkan bukan saja kelas membaca, tetapi mempelajari Matematik dan Bahasa Inggeris.

“Kami bermula sebagai perpustakaan bergerak di tepi jalan sebab kita tidak mahu mereka lepak dan bermain di kawasan ini tanpa sebarang tujuan dengan persekitaran yang kurang sesuai untuk kanak-kanak.

“Ketika itu, sebelum kelas bermula kami terpaksa membersihkan kawasan sekitar kerana kadangkala jarum-jarum yang digunakan oleh penagih dadah didapati bersepah-sepah,” kata Atikah kepada BeritaBenar.

Menurut beliau, selain memberi peluang membaca koleksi buku-buku yang ada melalui inisiatif itu, BJCK turut mengajar subjek Matematik dan Bahasa Inggeris kepada kanak-kanak yang hadir mengikuti program BJCK.

“Lama kelamaan kita nampak kanak-kanak ini mahukan suasana kelas jadi kita bawa meja, lampu, bentang tikar dan buat kelas untuk mereka.” tambah Atikah sambil menambah mereka yang menghadiri kelas terdiri daripada kanak-kanak gelandangan, keluarga miskin kota sama ada warga tempatan atau pendatang asing.

Siti Rahayu Baharin, seorang daripada pengasas inisiatif BJCK berkata kawasan tersebut dipilih kerana mahu memberi sinar kepada kawasan awam yang sudah dicemari dengan aktiviti tidak sihat.

“Ada banyak benda yang berlaku (di sini) yang tidak normal bagi kanak-kanak,” katanya dalam satu temubual yang disiarkan dalam Youtube.

Menurut Perbadanan Kampung Baru, walaupun Chow Kit merupakan kawasan komersil, ia terletak kurang 100 meter daripada Kampung Baru, sebuah kawasan perkampungan dalam bandar yang dihuni oleh 18,372 orang yang kebanyakannya berpendapatan rendah disamping tenaga kerja asing yang mencari tempat tinggal murah di tengah-tengah ibukota Kuala Lumpur.

181227-MY-Inside-BJCK2.jpg

Hasil karya seorang kanak-kanak yang mengikut program Buku Jalanan Chow Kit yang dipamerkan di rumah kedainya yang terletak di Lorong Haji Taib 1, Kuala Lumpur, 27 Disember, 2018, [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Membaca dalam suasana selamat

Seorang remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Zamir, 14, dari Kampung Baru, mula terlibat dengan aktiviti BJCK sejak penubuhannya tiga tahun lalu, dan beliau  berkata prestasi pembelajarannya semakin meningkat sejak mula mengikuti program tersebut.

“Kedudukan saya dalam kelas sekarang naik ke nombor 4 dari 7, dan saya sudah boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris,” kata Zamir yang dilahirkan dalam keluarga miskin kota.

Tambahnya lagi, bersama dengan dua orang adiknya beliau sangat gembira sejak BJCK mempunyai premis kekal di Lorong Haji Taib 1, kerana mereka ada tempat untuk duduk dan bermain bersama rakan-rakan sementara menunggu ibu bapa pulang dari kerja.

Sejak BJCK mempunyai premis tetap yang dibuka sehingga larut malam itu, ia telah memulakan program ‘homeschool’ kepada kanak-kanak yang tidak dapat pergi ke sekolah biasa atas masalah dokumentasi seperti tidak memiliki kerakyatan yang sah atau kanak-kanak ‘foundling’ yang tidak mempunyai sijil lahir akibat ditinggalkan ibu bapa sejak dilahirkan.

“Kami sediakan silibus sendiri berdasarkan kepada kesesuaian mental seseorang pelajar.  Terdapat seorang pelajar berusia 16 tahun yang tidak pernah bersekolah langsung jadi keupayaan mentalnya seperti seorang kanak-kanak 10 tahun,” tambah Atikah sambil memberitahu terdapat seramai 27 orang pelajar berumur antara 6 dan 16 tahun mengikuti program yang dianjurkan BJCK.

Sementara seorang gadis berusia 11 tahun yang mahu dikenali sebagai Ayu, yang juga anak kepada pendatang tanpa izin Indonesia semasa ditemui BeritaBenar berkata beliau gembira mendapat peluang belajar di kelas “homeschool” kerana dapat belajar pelbagai matapelajaran berbanding sekolahnya yang dulu.

“Dulu saya belajar agama saja, tapi di sini saya belajar Bahasa Inggeris, Melayu, Sejarah, Geografi, Matematik dan Sains,” kata Ayu kepada BeritaBenar.

Beliau yang dilahirkan dan membesar di Malaysia sebelum ini bersekolah di sebuah sekolah agama di Kampung Baru yang menawarkan kelas kepada pelajar bukan warganegara Malaysia.

“Saya mahu menjadi seorang cikgu atau doktor, mahu membantu orang miskin,” tambah Ayu semasa ditanya mengenai cita-citanya.

Pelajar tercicir

Kisah pelajar yang tercicir daripada sistem pendidikan adalah antara sebab seorang sukarelawan muda dari Universiti Malaya tertarik untuk membantu program Buku Jalanan Chow Kit.

Shamin Ballazi, 21, yang sedang berada di tahun akhir jurusan perhubungan antarabangsa di universiti itu berkata, adalah tidak adil bagi kanak-kanak untuk tidak bersekolah secara formal kerana kekangan birokrasi.

“Kerajaan Malaysia berkata mereka mempunyai inisiatif untuk memberikan pendidikan berkualiti kepada semua kanak-kanak namun pada hakikatnya ia cuma untuk kanak-kanak yang boleh ke sekolah, jadi apakah nasib mereka yang tidak boleh ke sekolah?

“Sebab itulah saya mula ke sini sejak enam bulan lepas, menyumbangkan tenaga secara sukarela mahu membantu mereka yang tidak berdosa ini” kata Shamin sambil berharap lebih ramai lagi akan tampil membantu.

Beliau turut berkongsi pengalamannya mengajar kanak-kanak yang turut terdedah kepada penderaan di rumah.

“Jadi mereka lebih gembira berada di Buku Jalanan berbanding di rumah. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana anak itu akan membesar selepas hampir setiap hari melihat penderaan dan didera di rumah sendiri,” tambah Shamin.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan Borneo Post pada 12 Oktober lalu, terdapat lebih 300,000 kanak-kanak bawah 18 tahun tanpa kewarganegaraan di Malaysia sehingga tahun 2018.

Kerajaan mahu memastikan kanak-kanak tanpa warganegara dan dokumentasi turut mendapat akses kepada pendidikan negara dengan mengumumkan polisi baru membenarkan mereka masuk ke  sekolah kebangsaan tetapi masih tertakluk kepada beberapa syarat.

Dalam pada itu, menurut Pesol Md Saad, Timbalan Pengarah Pengurusan Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia seperti dilaporkan dalam akhbar tempatan pada 21 Dis lepas , kanak-kanak tanpa kewarganegaraan boleh mendaftar di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan bermula tahun hadapan.

Walaubagaimanapun mereka tidak layak untuk menerima bantuan melalui skim yang diperkenalkan kerajaan seperti Skim Bantuan Buku Sekolah, Skim Bantuan Makanan Tambahan dan bantuan-bantuan khas lain seperti kanak-kanak berstatus warganegara.

Setakat ini terdapat seramai 29,960 kanak-kanak bukan warganegara yang sudah mendaftar dan diterima masuk ke sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan di seluruh negara.

Menurut Pesol, terdapat tiga kategori kanak-kanak bukan warganegara yang dibenarkan belajar di sekolah kerajaan termasuklah mereka yang diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Malaysia, ibu bapa yang tidak mendaftarkan perkahwinan mereja, mereka yang mempunyai salah seorang ibu atau bapa yang bukan warganegara.

Lihat Laman Penuh