PM Anwar Ibrahim pertahan BlackRock, firma Amerika miliki saham MAHB

Putrajaya teruskan kerjasama dengan syarikat luar negara meskipun ada kaitan dengan Israel bagi mengelakkan ekonomi negara terjejas.
Noah Lee dan Iman Muttaqin Yusof
2024.06.21
Kuala Lumpur
PM Anwar Ibrahim pertahan BlackRock, firma Amerika miliki saham MAHB Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya, Selangor, 21 Jun 2024.
[Ihsan Anwar Ibrahim melalui Facebook]

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Jumaat mempertahankan penglibatan syarikat BlackRock, sebuah firma pelaburan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan mempunyai kaitan dengan Israel dalam proses pengambilalihan syarikat operator lapangan terbang negara berkenaan dengan menyatakan bahawa kestabilan ekonomi menjadi keutamaan kerajaan.

BlackRock pada Januari lalu telah mengambil alih firma infrastruktur Global Infrastructure Partners (GIP) yang menerima tawaran pegangan 30 peratus saham bersama Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) menerusi GIP Aurea Pte Ltd dalam syarikat Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB).

Penjualan pegangan MAHB yang dianggap aset strategik negara itu mendapat tentangan kumpulan pro-Palestin termasuk pengkritik kerajaan, kumpulan nasionalis Melayu dan Islam, termasuk seteru lama Anwar, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang mempertikaikan tindakan kerajaan membenarkan saham syarikat nasional dijual kepada firma AS yang menyokong Israel.

Anwar berkata pentadbirannya bersikap tegas dalam isu penindasan Israel terhadap Palestin termasuk menolak hubungan dengan semua syarikat yang berpusat di Israel.

Namun jelas beliau, kerajaan tidak akan melakukan tindakan yang boleh menjejaskan ekonomi negara dan membatalkan kerjasama membabitkan syarikat-syarikat di luar negara yang mempunyai kaitan dengan Israel.

"Saya ambil keputusan batalkan kerjasama dengan semua syarikat yang beroperasi dari Israel. Bagaimana pula dengan syarikat yang ada operasi di Amerika, Jerman dan China, tapi ada kaitan dengan Israel? Tiada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkan kerana akan menjejaskan ekonomi negara," kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Petaling Jaya, Selangor.

Perdana Menteri berkata meskipun sesetengah pihak mungkin mempunyai pandangan berbeza berkenaan pendirian pentadbirannya, beliau berharap ia tidak dijadikan modal politik untuk menghasut rakyat supaya membenci kerajaan.

Tambah beliau kerajaan telah cuba mengambil pelbagai inisiatif bagi membantu Palestin dan meminta mereka yang mempunyai idea untuk membantu wilayah bergolak itu supaya berkongsi dengannya dan bukan mempolemikkan isu MAHB.

"Beritahu saya apa lagi saya boleh buat untuk Gaza? Untuk memulihkan? Dua hari lalu saya bercakap dengan Presiden Turkiye, soal Gaza. Sebelum itu PM Pakistan, soal Gaza. Dengan PM China semalam, saya masih tekankan soal Gaza.

"Jadi kalau ada cadangan boleh, tapi janganlah gunakan (isu) ini untuk jadi pahlawan," kata Anwar.

KLIA_04.jpg
Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Selangor, 15 April 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]


Pentadbiran Anwar menerima tekanan hebat berkenaan isu penjualan saham MAHB kepada GIP yang dimiliki BlackRock sejak perkara itu dibawa kepada perhatian umum oleh pimpinan parti pembangkang pada Mei lepas.

Menurut laporan media tempatan, penjualan saham MAHB kepada firma yang berpusat di New York itu mendapat tentangan kerana ia didakwa terlibat secara tidak langsung dalam membiayai pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza oleh tentera Israel.

Mahathir mempersoalkan rasional di sebalik tindakan kerajaan menjual saham sebuah syarikat nasional yang menjana keuntungan untuk negara.

"Apabila saya dengar syarikat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan menjual sahamnya kepada syarikat Amerika, sangkaan saya ialah MAHB rugi.

"Sekarang saya dapat tahu bahawa MAHB untung sebanyak RM543 juta (AS$115.5 juta) pada 2023. Tidak banyak syarikat yang dapat untung seperti ini. Kenapa nak jual 30 peratus kepada syarikat Amerika yang menyokong Israel?" kata beliau dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada 15 Mei lalu, konsortium diterajui Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan tawaran sukarela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh mereka, lapor media tempatan.

Konsortium dikenali sebagai Gateway Development Alliance (GDA) terdiri daripada Khazanah menerusi anak syarikatnya, UEM Group Bhd; KWSP; Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP), salah satu pelabur infrastruktur terkemuka dengan pengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang.

Melalui tawaran itu, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2 peratus kepada 40 peratus manakala KWSP daripada 7.9 peratus kepada 30 peratus.

Pelabur Malaysia akan menguasai 70 peratus saham MAHB manakala ADIA dan GIP memiliki 30 peratus saham.

MAHB kini menguruskan sebanyak 39 lapangan terbang di Malaysia termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Selangor.

Usul tergempar 

Seorang Ahli Parlimen pembangkang dari Perikatan Nasional telah menghantar satu usul tergempar kepada Dewan Rakyat pada Jumaat meminta supaya isu penjualan saham MAHB dibahaskan di Parlimen pada sesi yang akan datang bermula Isnin depan serta menggesa kerajaan menarik semula keputusan tersebut.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam satu kenyataan berkata usul itu dibuat sebagai usul persendirian bagi pertimbangan Dewan Rakyat untuk dibahaskan.

"Perikatan Nasional mengambil pendirian tegas untuk memastikan keputusan penjualan ini dibatalkan bukan sahaja demi kepentingan kedaulatan negara, tetapi juga sebagai mesej jelas pendirian majoriti rakyat Malaysia menolak tindakan tidak berperikemanusiaan Israel terhadap rakyat Palestin," kata wakil rakyat Machang itu.

Putrajaya turut berdepan tekanan daripada pimpinan parti dalam gabungan kerajaan yang mahukan supaya ia mempertimbangkan semula penjualan saham MAHB kepada firma yang dimiliki BlackRock.

Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Akmal Saleh pada Jumaat mengkritik kenyataan perdana menteri yang menggunakan isu ekonomi sebagai alasan untuk tidak memutuskan hubungan dengan firma AS itu dan menyatakan bahawa negara tidak muflis sekiranya ia memilih syarikat selain BlackRock sebagai sebahagian daripada pemegang saham MAHB.

"Kita ada banyak lagi syarikat di luar sana yang ada kepakaran, yang boleh MAHB minta bantuan. Saya tak rasa bahawa kalau tiada BlackRock, MAHB akan hilang dan bankrap.

"Sebab itu kita mohon kerajaan mempertimbangkan semula. Kalau boleh batalkan penjualan ini, batalkan, sebab dalam isu ini, kita kena tegas dan terus bersolidariti bersama rakyat Palestin," kata Akmal seperti dilapor media tempatan.

Pendekatan lebih pragmatik

Pakar strategik, Azmi Hassan berkata Perdana Menteri cuba menyampaikan mesej bahawa Malaysia tidak boleh memutuskan begitu sahaja syarikat dari AS kerana kebanyakan mereka secara langsung atau tidak langsung mempunyai hubungan dengan Israel.

Jelasnya Anwar memutuskan bahawa tindakan memutuskan hubungan dengan firma tersebut tidak boleh dilaksanakan.

"Jika kita memutuskan semua syarikat Amerika yang mempunyai sebarang hubungan dengan Israel, ia akan memberi kesan kepada majoriti syarikat multinasional di Malaysia. Ini akan memudaratkan ekonomi kita," katanya kepada BenarNews.

Beliau yang merupakan pakar dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berkata rakyat Malaysia harus berfikir secara logik tentang perkara itu dan bersikap lebih pragmatik.

"Jika syarikat itu mempunyai hubungan langsung dengan Israel, maka memutuskan hubungan adalah masuk akal. Bagaimanapun, jika hubungan itu longgar atau tidak secara langsung, terutamanya dengan syarikat Amerika, kita perlu bersikap pragmatik.

"Sebagai contoh, menyasarkan restoran makanan segera McDonald's menghantar isyarat yang salah. McDonald's Malaysia ialah sebuah syarikat francais dan isu-isu yang dihadapi sesetengah pihak dengan McDonald's berpunca daripada ibu pejabatnya di Amerika Syarikat dan operasinya di Israel. Perdana Menteri menggesa rakyat Malaysia supaya bersikap pragmatik dalam kes ini," ujarnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.