Buruh Paksa: Malaysia Beri Jaminan Kepada AS Perbaiki Pengurusan Pekerja

Beberapa pindaan terhadap undang-undang buruh termasuk gaji, kebajikan, perumahan dan saluran aduan telahpun diperkenalkan Putrajaya.
Hadi Azmi & Nisha David
2021.12.15
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Buruh Paksa: Malaysia Beri Jaminan Kepada AS Perbaiki Pengurusan Pekerja Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony J. Blinken bersama Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah semasa sidang media bersama di Wisma Putra, Putrajaya, 15 Disember, 2021.
[Ihsan Kementerian Luar Malaysia]

Malaysia pada Rabu memberi jaminan kepada Amerika Syarikat yang negara itu komited memastikan semua pekerja buruhnya mendapat hak mereka termasuk gaji, kebajikan dan perumahan serta ruang untuk menyuarakan aduan dengan bebas, dengan Putrajaya telah mengambil beberapa langkah serta pendekatan memperbaiki perundangan dan pengurusan buruh negara itu.

Jaminan itu diberikan oleh Menteri Luar Saifuddin Abdullah susulan tindakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) yang menyekat eksport barangan daripada beberapa syarikat tempatan Malaysia sejak beberapa tahun lepas apabila terdapatnya bukti kukuh wujudnya buruh paksa dalam operasi syarikat-syarikat terlibat.

"Mengenai perkara melibatkan buruh, kami ada bincangkan... Kami menyedari, terutama semasa pandemik dan ketika pemeriksaan dilakukan, ada antara majikan menyediakan perumahan yang tidak selesa kepada pekerja mereka," kata Saifuddin semasa sidang media bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken, yang dalam rangka lawatan sulungnya ke Asia Tenggara termasuk melawat Malaysia selama dua hari.

Blinken tiba di Malaysia lewat Selasa, negara kedua dan terakhir dalam siri lawatan beliau ke rantau Asia Tenggara setelah lawatan ke Thailand dibatalkan kerana salah seorang anggota delegasinya telah disahkan positif COVID-19.

Katanya kerajaan sudah membuat pindaan terhadap undang-undang buruh, terutamanya memastikan majikan menjaga pekerja mereka termasuk soal perumahan.

"Kami sudah meminda undang-undang terbabit dan saya fikir Kementerian Sumber Manusia (KSM) sangat berwaspada ketika membuat pemeriksaan dan memastikan semua majikan menyediakan perumahan yang sewajarnya," kata Menteri Luar itu semasa ditanya mengenai tindakan CBP yang mengambil membuat sekatan eskport barangan yang keluaran syarikat Malaysia ke AS susulan dakwaan membabitkan layanan terhadap buruh di negara ini.

Saifuddin turut memaklumkan yang Putrajaya telahpun memperkenalkan sistem dalam talian e-wages yang memberi ruang pekerja mengadu sekiranya mereka berasakan dinafikan hak masing-masing termasuk beberapa inisiatif lain yang kini sedang dilaksanakan.

Sejak beberapa tahun ini, pihak berkuasa kastam AS telah mengenakan sekatan import terhadap lebih lima syarikat Malaysia kerana adanya maklumat berhubung elemen buruh paksa dalam rantaian pengeluarannya.

Perintah Penahanan Perlepasan atau dikenali sebagai WRO oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat adalah melarang import barangan yang dikeluarkan oleh syarikat yang dikenalpasti mengamalkan amalan buruh paksa seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) ke negara berkenaan.

Keselamatan siber

Dalam pada itu, Saifuddin berkata beliau telah memohon kepada Blinken untuk membantu dan menyokong dalam pembinaan pusat perkongsian maklumat dan analisis di Malaysia yang hampir serupa dengan yang sudah dibina di Amerika.

Saifuddin melahirkan rasa gembira kerana AS membantu negara serantau menyediakan peruntukan AS$5 juta (kira-kira RM21 juta) bagi mengukuhkan keupayaan sistem keselamatan siber awam, turut meminta negara berkenaan mempertimbangkan dengan tegas melabur dalam penciptaan syarikat permulaan bernilai tinggi serta inisiatif lain di bawah MyDigital.

Semasa pertemuan kedua pemimpin itu, Menteri Luar itu memberitahu, Malaysia telah mengambil kesempatan untuk meminta sokongan dan bantuan AS dalam pembangunan Pusat Perkongsian dan Analisis Maklumat (ISAC) di Malaysia, sama seperti yang telah ditubuhkan di AS

“Saya turut mengambil peluang memohon bantuan sokongan Amerika Syarikat bagi membina Pusat Analisis dan Perkongsian Maklumat seperti yang sedia ada diwujudkan sekian lama di negara itu,” katanya Menteri Luar itu sambil merujuk kepada keselamatan siber.

Sidang media bersama Blinken yang berlangsung di Wisma Putra selepas pertemuan mereka antara lain kata Saifuddin telah membawa kepada beberapa persetujuan bersama terutamanya dalam mempertingkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, keselamatan siber, pertahanan, kesihatan dan isu jalinan antara rakyat-kepada-rakyat.

“Kami banyak mengadakan perbincangan yang lebih mendalam berhubung pelbagai isu hubungan dua jala, serantau dan sejagat selain komited bekerja rapat,” tambah Menteri Luar itu lagi.

Beliau turut menyambut baik kesediaan AS untuk memeterai memorandum persefahaman bagi kerjasama maritim antara agensi penguatkuasaan undang-undang kedua-dua negara itu dan lanjutan sumbangan bernilai RM6.3 juta (AS$1.5 juta) kepada unit kecemasan Angkatan Tentera Malaysia dan pemberian sejumlah dron pemantauan terkini.

Selain itu, Menteri Luar juga menyambut baik kesediaan AS memeterai memorandum persefahaman bagi kerjasama maritim antara agensi penguatkuasaan undang-undang kedua-dua negara itu.

Diplomat tertinggi AS itu yang dalam lawatan sulung rasminya ke tiga negara di Asia Tenggara telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) di Istana Merdeka dan juga Menteri Luar Retno Marsudi di Jakarta pada Isnin sebelum terbang ke Kuala Lumpur untuk lawatan seterusnya.

Pendek lawatan

Beliau memendekkan lawatannya ke Asia Tenggara dengan membatalkan pertemuan dengan pemimpin Thailand berikutan seorang daripada wartawan yang mengikuti rombongan beliau disahkan positif COVID-19 sebaik tiba di Malaysia.

Jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price dalam satu kenyataan berkata Blinken telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Thailand Don Pramudwinai melalui panggilan telefon dan menyatakan kekecewaannya tidak dapat melawat Bangkok.

"Beliau menjelaskan, bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 dan atas faktor keselamatan serta kesihatan deliogasi AS, Setiausaha Negara akan kembali ke Washington DC," kata Price dalam kenyataan itu.

Pada sidang media bersama itu, Blinken turut berkata AS merupakan salah satu rakan kongsi penting dalam pelaksanaan Tinjauan Asean di Indo-Pasifik (AOIP) dan dengan adanya rangka kerja ekonomi Indo Pasifik komprehensif AS ianya dapat mempertingkatkan lagi peluang pelaburan dalam sektor perdagangan, ekonomi digital, rangkaian bekalan yang kukuh, tenaga bersih dan pelaburan infrastruktur.

"Kami mengenal pasti lebih banyak peluang pelaburan bagi syarikat Amerika.. dan minggu ini menyaksikan syarikat AS mengumumkan janji niaga pelaburan baharu yang penting di Malaysia," tambah Blinken.

Beliau berkata AS juga bersedia untuk terus bekerjasama dengan Malaysia dalam mempertingkatkan lagi pelaburannya di negara itu dan mengukuhkan pemulihan ekonomi pasca pandemik.

Malaysia mencapai pertumbuhan memberangsangkan semasa era pandemik COVID-19 dan memainkan peranan penting dalam menyokong rantaian bekalan global.

"AS komited untuk bekerjasama dengan Malaysia, dan negara-negara di Asia Tenggara untuk memajukan wawasan Indo-Pasifik yang bebas, terbuka, saling berkaitan, makmur, berdaya tahan dan selamat," katanya sambil menambah AS juga akan terus terlibat dengan rakan kongsi di Malaysia dalam mengukuhkan lagi kedaulatan undang-undang, akauntabiliti dan hak asasi manusia.

Dalam lawatan dua harinya ke Malaysia, Blinken turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang berlangsung di bangunan Parlimen dan seterusnya menghadiri Rundingan Meja Bulat mengenai Tenaga Diperbaharui Malaysia-AS bersama Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan. Beliau juga bersama alumni inisiatif Pemimpin Muda Asia Tengara (YSEALI).

Semasa rundingan itu, Blinken menyifatkan Malaysia sebagai rakan dagang dan pihak berkepentingan dalam usaha meningkatkan kerjasama memerangi isu pemanasan global.

Menyedari akan hakikat itu, diplomat tertinggi AS berkenaan bertekad untuk memberi bantuan dalam segenap aspek kepada Malaysia, termasuk membabitkan pemindahan teknologi, kepakaran, kewangan dan aset berkaitan.

"Matlamat bakal berdepan pelbagai cabaran, tetapi menerusi kerjasama dengan Malaysia, ia mampu memberi impak berkali ganda.

"Bukan sekadar memenuhi komitmen bagi menangani kesan pemanasan global, tetapi usaha meneroka kerjasama ke arah tenaga hijau berupaya menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan sosioekonomi masyarakat," katanya.

Myanmar - Asean

Mengenai Myanmar, Setiausaha Negara itu berkata Washington sedang melihat beberapa langkah baru untuk mengembalikan Myanmar ke "landasan demokrasi", dan menyatakan bahawa situasi di negara tersebut telah memburuk dalam tempoh 10 bulan sejak tentera Myanmar merampas kuasa daripada kerajaan yang dipilih secara sah serta menahan pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Pada awal Disember, Suu Kyi telah dijatuhkan hukuman penjara empat tahun atas dakwaan menghasut (incitement) dan pelanggaran peraturan COVID-19, dalam siri pertama penghakiman ke atas pemimpin yang dijatuhkan oleh kerajaan junta pimpinan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing itu.

Jabatan Perbendaharaan AS pada 10 Disember telah mengeluarkan arahan sekatan terhadap empat pemimpin tertinggi Myanmar dan tiga entiti tentera negara tersebut atas isu penindasan hak asasi manusia.

"Situasi tidak bertambah baik. Kami telah berbincang panjang mengenai perkara ini. Saya rasa ia adalah penting dalam beberapa minggu, dalam beberapa bulan yang akan datang untuk kita melihat langkah serta cara tambahan yang boleh diambil secara sendiri dan juga bersama bagi memberi tekanan kepada rejim untuk meletakkan negara itu kembali ke landasan demokrasi," katanya lagi pada sidang media bersama di Putrajaya itu.

Menurut Blinken antara langkah lain yang sedang dipertimbangkan oleh AS termasuk untuk mendapatkan pembebasan kesemua mereka yang telah ditahan secara tidak adil, termasuk Suu Kyii, serta mendapatkan akses yang tidak terhalang bagi penghantaran bantuan kemanusiaan disebabkan oleh krisis hak asasi yang semakin memburuk di negara itu.

Radio Free Asia sebelum ini melaporkan kematian seorang jurugambar bebas yang ditahan oleh askar junta pada Hari Hak Asasi Manusia. Ia adalah kematian pertama membabitkan wartawan di dalam tahanan junta sejak rampasan kuasa pada Feb lalu.

Sehingga kini, lebih 8,000 orang awam telah ditahan manakala 1,339 dibunuh oleh pihak berkuasa junta, menurut Persatuan Bantuan Untuk Banduan Politik, sebuah organisasi yang berpusat di Bangkok, yang menyatakan bahawa kebanyakan mereka ditahan dan dibunuh ketika protes aman yang diadakan susulan rampasan kuasa tentera.

Blinken juga berkata bahawa Washington sedang melihat bukti yang ada mengenai pembunuhan beramai-ramai di Myanmar yang berlaku disebabkan keadaan huru hara di negara itu, yang mempunyai populasi seramai 53 juta orang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan budaya.

"Kami terus secara aktif melihat semua tindakan diambil Myanmar dan sama ada tindakan itu adalah pembunuhan beramai-ramai, dan ini adalah sesuatu yang sedang lihat secara serius sekarang," kata beliau.

Katanya isu Myanmar juga akan menjadi salah satu topik penting yang akan dibincangkan dalam Sidang Kemuncak AS Bersama ASEAN yang dijadualkan berlangsung tahun depan, bersekali dengan beberapa isu lain yang berkaitan seperti pemulihan dari wabak COVID-19, perdagangan, dan pembinaan infrastruktur mesra alam.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh