Kasino: Polis Malaysia rakam keterangan wartawan Bloomberg
2024.05.06
Kuala Lumpur
Polis Malaysia pada Isnin memanggil seorang daripada tiga wartawan agensi berita Amerika Syarikat, Bloomberg untuk memberi keterangan berhubung laporan kasino di Forest City, Johor yang memetik sumber yang tidak dinamakan, demikian menurut Ketua Polis Negara.
Laporan itu menimbulkan kemarahan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang menggelarnya sebagai ‘penipuan’ dan mengancam agensi berita tersebut pada minggu sama laporan diterbitkan, dengan pemerhati media global meletakkan kedudukan Malaysia jatuh 34 anak tangga bagi indeks kebebasan media.
Wartawan Bloomberg tersebut dilihat meninggalkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada jam 11 pagi setelah keterangannya dirakam lebih dua jam.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata proses mengambil keterangan diawalkan berbanding waktu asal pada jam 11 pagi di atas permintaan wartawan berkenaan.
“Beliau meminta untuk proses mengambil keterangannya dilakukan lebih awal dan siasatan lanjut masih dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman,” katanya kepada pemberita.
Menurut Razarudin, beberapa individu lagi akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung penerbitan artikel berkenaan.
Pada Jumaat lalu, Razarudin memberitahu pemberita siasatan dijalankan susulan satu laporan yang dibuat peguam ahli perniagaan, Vincent Tan berhubung artikel didakwa berunsur fitnah bertajuk ‘Malaysia Mulls Casino at Forest City: Bloomberg’.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Berjaya Corporation dan Kumpulan Genting, ketiga-tiganya disebut dalam laporan Bloomberg pada 23 April lalu menafikan laporan berhubung perancangan pembukaan kasino di Forest City.
Anwar turut menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media terbabit atas dakwaan itu.
Laporan itu antara lain menyebut pertemuan bagi membincangkan pembinaan kasino bagi menghidupkan projek Forest City di negeri selatan tanah air itu turut dihadiri wakil Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Susulan penerbitan artikel itu, seorang aktivis politik pembangkang, Badrul Hisham Shaharin didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan 1948 kerana mengulas mengenai artikel berkenaan di laman Facebooknya.
Tarik balik laporan
Dalam perkembangan sama, peguam Badrul Hisham, Rafique Rashid turut menuntut Bloomberg dan Straits Times dari Singapura yang turut memetik laporan berkenaan agar menurunkan artikel berkenaan.
Namun jelas beliau, laporan tersebut masih lagi dilayari di portal berita kedua-dua agensi itu.
"Kita minta laporan itu ditarik balik kerana ia mengaibkan nama Yang di-Pertua Agong.
"Permohonan kita ialah mahu Bloomberg dan Straits Times jawab mengenai artikel berkenaan (kasino). Pihak Perdana Menteri telah nafikan, Menteri Besar Johor juga menafikannya," katanya dalam kenyataan selepas tiba di pejabat Bloomberg Malaysia di Kuala Lumpur pada Isnin.
Perkembangan terkini itu turut menimbulkan persoalan mengenai kebebasan media di Malaysia yang menerima tamparan hebat selepas kedudukan Malaysia menjunam dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Border (RSF) pada Jumaat lalu.
Malaysia meduduki tempat ke-107 dengan skor 52.07 mata, jatuh 34 anak tangga berbanding kedudukan ke-73 tahun lalu.
Sebelum ini, pengkritik menggesa kerajaan perpaduan pimpinan Anwar menunaikan janji pilihan raya berhubung kebebasan bersuara.
Pentadbiran Anwar turut dibidas selepas agensi kawalan komunikasi negara itu menyekat beberapa laman web berita yang kerap mengkritik kerajaan.
Menurut RSF, beberapa undang-undang bersifat drakonian yang masih berkuat-kuasa menyekat kebebasan wartawan dalam melaporkan isu-isu sensitif seperti agama, kaum dan monarki antaranya Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 selain Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Anwar ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja di Putrajaya pada 1 Mei lepas turut memberi bayangan bahawa pihak yang 'memfitnah' kerajaan dalam isu kasino di Forest City wajar dipenjarakan.
"Jadi (tuduhan) ini dari mana? Daripada penjahat-penjahat sebenarnya. Jadi, mereka ini sebenarnya ganti bilik-bilik saya di Sungai Buloh," katanya.
Pengarah Eksekutif Centre for Independent Journalism (CIJ), Wathshlah Naidu berkata meskipun kebebasan media tidak mutlak, kerajaan perlu mengaplikasikan piawaian antarabangsa dalam bertindak terhadap berita itu.
"Kita perlu bertanya adakah perlu untuk polis bertindak? Adakah tindakan polis itu sepadan dengan laporan berita?
"Ia tidak sepadan apabila kerajaan menggunakan undang-undang untuk bertindak balas, terutamanya undang-undang yang kerajaan mahu mansuhkan," katanya.
Ujarnya, kerosakan akibat laporan Bloomberg itu masih kabur untuk menjustifikasikan tindakan polis.
Wathshlah turut melahirkan kegusaran melihat Anwar menggalakkan sektor awam untuk membuat laporan polis selain gesaan mendedahkan sumber-sumber yang dipetik dalam berita.
"Kita menjangkakan kerajaan untuk memberi maklum balas terhadap laporan itu tetapi media diminta untuk mendedahkan sumber. (Walhal) peraturan asas media ialah melindungi sumber," katanya kepada BenarNews.
Etika kewartawanan
Sementara itu wartawan veteran Johan Jaaffar menggesa pihak polis untuk mengambil pendekatan berhemah dalam mengendalikan kes membabitkan laporan berkenaan.
"Media mempunyai hak dan tanggungjawab moral untuk mempersoalkan tindakan mana-mana tokoh umum. Bagaimanapun ada ruang untuk mana-mana pihak bertanya tentang tanggungjawab organisasi media dalam laporannya tetapi bukan melalui ugutan dan tindak balas.
"Kerajaan pula tidak sepatutnya menggunakan institusi negara dan undang-undang lapuk untuk menyekat kebebasan media di negara ini. Itu merupakan janji kerajaan yang memerintah hari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ujar beliau, pengamal media tertakluk pada etika kewartawanan dalam menyediakan laporan yang adil dan jujur selain harus mengambil tanggungjawab penuh terhadap ketepatan tulisan mereka.
Shafizan Mohamed, pensyarah Jabatan Komunikasi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bersetuju bahawa wartawan perlu mempunyai akauntabiliti.
"Saya tidak fikir mereka akan laporkan secara tiba-tiba, pasti ada sesuatu yang telah terjadi sehingga mereka mendapat maklumat tersebut. Jika wartawan telah mengikut etika mereka, ia tidak menjadi masalah jika mereka disaman.
"Jika mereka berani melaporkan sesuatu seperti ini, pasti mereka ada sesuatu yang kukuh," katanya.
Ujar Shafizan, pihak-pihak yang disebut dalam laporan tersebut mempunyai hak untuk menyaman Bloomberg jika laporan agensi tersebut palsu namun beliau tidak terkejut jika kebenaran laporan itu akan terbukti dalam masa beberapa tahun lagi.
Pakar komunikasi dari Universiti Teknologi Mara, Abdul Aziz Azizam berkata, pihak berkuasa Malaysia mempunyai hak untuk memanggil wartawan memberi keterangan namun tangkapan terhadap aktivis parti pembangkang Badrul Hisham yang mengulas laporan daripada agensi berita itu dilihat sebagai kelam-kabut.
"Kerajaan perlu berhati-hati dalam hal ini kerana ia mampu memberikan kesan negatif kepada imej kerajaan terutamanya berkaitan kebebasan media dan pengendalian kritikan daripada rakyat," katanya.
Wartawan veteran yang juga penganalisis politik, G Manimaran berkata isu laporan Bloomberg itu sebenarnya mampu ditangani tanpa perlu membabitkan pihak berkuasa.
“Jika ada mana-mana pihak merasakan laporan yang dibawa tidak betul dan tiada asas yang kukuh, mereka boleh mengeluarkan kenyataan penafian dan ini telah dilakukan oleh pihak yang terkesan dengan laporan terbabit.
“Jika penafian media tidak disiarkan oleh pengamal media dan organisasi terbabit, maka pihak yang merasakan kedudukan dan imej mereka telah dikompromi atau terjejas, bolehlah mengambil tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya.