Follow us

Rakan Kongsi Parti Gabungan Sedia Tinggalkan UMNO Susulan ‘Kenyataan Bersifat Perkauman’

Hadi Azmi & Radzi Razak
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-03-04
E-mel
Komen
Share
Parlimen Malaysia, yang bersidang pada 15 Okt 2018 dengan Anwar Ibrahim mengangkat sumpah, telah menyaksikan 39 anggota Barisan Nasional meninggalkan parti gabungan itu sejak kekalahan mengejutnya dalam pilihan raya umum Mei 2018.
Parlimen Malaysia, yang bersidang pada 15 Okt 2018 dengan Anwar Ibrahim mengangkat sumpah, telah menyaksikan 39 anggota Barisan Nasional meninggalkan parti gabungan itu sejak kekalahan mengejutnya dalam pilihan raya umum Mei 2018.
[AP]

Sepuluh bulan selepas kekalahan mengejutnya yang pertama dalam pilihan raya umum, parti gabungan tertua Malaysia terus berdepan potensi kemusnahan apabila pada Isnin pemimpin dua parti komponen utama menggesa agar ia dibubarkan atau distruktur semula.

Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) adalah anggota pengasas parti gabungan Barisan Nasional bersama-sama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Bagaimanapun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pakatan itu telah dilemahkan, kata para pemimpinnya.

“MCA dan MIC sebagai wakil komuniti masing-masing, mengakui bahawa metamorfosis BN kepada bentuknya ketika ini telah ditolak oleh komuniti mereka dan oleh itu, menggesa agar ia dibubarkan atau distruktur semula,” menurut satu kenyataan bersama.

BN, yang ditubuhkan apabila Malaysia memperoleh kemerdekaan daripada pemerintahan British pada 1957, mengalami kekalahannya yang pertama dalam pilihan raya umum Mei 2018, yang menyaksikan pengakhiran kepada pemerintahan selama enam dekad berturut-turut dan 10 daripada 13 anggota meninggalkan parti gabungan itu.

Parti gabungan Pakatan Harapan yang baharu diwujudkan telah meraih kemenangan menakjubkan dan mengembalikan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang meninggalkan BN, kepada tampuk kekuasaan.

BN hanya memenangi 79 daripada 222 kerusi parlimen pada Mei, bagaimanapun jumlah itu telah berkurangan kepada 40, apabila 22 anggota parlimennya yang mewakili negeri Sabah dan Sarawak meninggalkan parti gabungan itu manakala 17 daripada MP UMNO telah berpaling tadah dengan 11 daripada mereka telah menyertai parti Mahathir dan bakinya menjadi anggota parlimen Bebas.

UMNO kini memiliki 37 kerusi di parlimen manakala BN, MCA dan MIC masing-masing satu kerusi – jauh ketinggalan daripada jumlah 112 yang diperlukan untuk menguasai kerajaan.

‘Kenyataan bersifat perkauman’

Dalam kenyataan mereka, pemimpin MCA dan MIC berkata parti mereka tidak mengiktiraf pelantikan “tidak sah” anggota Majlis Tertinggi UMNO Nazri Aziz pada Oktober 2018 sebagai setiausaha agung BN.

Mereka berkata “kenyataan bersifat perkauman” Nazri dan tindakan UMNO yang mendiamkan diri berhubung perkara itu telah “menjejaskan asas saling menghormati yang didukung BN selama ini.”

Bercakap menjelang pilihan raya kecil di Semenyih, Selangor lewat bulan lalu, Nazri telah dilaporkan berulang kali menuduh kerajaan semasa gagal mempertahankan hak-hak orang Melayu, yang merupakan 61 peratus daripada 33 juta rakyat Malaysia.

"Adalah menjadi tugas setiap perdana menteri dan kerajaan untuk mempertahankan keistimewaan (orang Melayu). Bagaimanapun, kerajaan adalah lemah,” lapor Malaysiakini yang memetik kenyataan Nazri dalam satu ceramah pada 23 Feb.

"Banyak perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini telah berlaku  – [lihatlah pelantikan] peguam negara, ketua hakim dan menteri kewangan,” Malaysiakini memetik bekas menteri pelancongan itu sebagai berkata.

Beliau dilihat sebagai merujuk kepada peguam Negara Tommy Thomas, yang berketurunan India dan beragama Kristian, serta Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang mengaku sebagai Cina Malaysia.

"Kenyataan bersifat perkauman yang tidak wajar oleh Datuk Seri Nazri di Semenyih terus merosakkan hubungan antara ketiga-tiga parti pengasas," menurut kenyataan bersama MCA/MIC.

‘Ini mungkin bukan pengakhirannya’


Pemangku presiden UMNO Mohamad Hassan berkata parti gabungan itu akan terus mendengar rungutan tidak puas hati berhubung perkara tersebut.

“Majlis Tertinggi BN akan memanggil mesyuarat dalam masa terdekat dan membincangkan perkara itu secara terperinci,” katanya kepada BeritaBenar.

Mohamad, yang dilantik sebagai naib presiden UMNO susulan kekalahan dalam pilihan raya umum, menjadi pemangku presiden pada bulan Disember apabila Ahmad Zahid Hamidi bercuti sebagai respons kepada tindakan anggota keluar parti secara beramai-ramai.

Sebelum kekalahan dalam pilihan raya umum itu, Zahid merupakan timbalan kepada Perdana Menteri Najib Razak. Seperti Najib, Zahid berdepan pelbagai pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa bahawa para pegawai tinggi kerajaan dan sekutu mereka telah menggelapkan dan mengubah hampir  AS$4.5 bilion (18.7 bilion ringgit) wang daripada dana negara 1MDB meneryis pembelian hartanah dan aset lain antara 2009 dan 2014.

Nazri memberitahu BeritaBenar bahawa beliau menyambut baik keputusan MCA dan MIC untuk meninggalkan parti gabungan tersebut kerana tindakan itu akan menggali kubur mereka sendiri.

“Kedua-dua parti masing-masing hanya memiliki satu kerusi, mereka memerlukan BN lebih daripada BN memerlukan mereka,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua parti seharusnya meninggalkan pari gabungan itu seperti anggota lain dan tidak membuang masa dengan menggesa satu perbincangan diadakan.

Awang Azman Awang Pawi, seorang penganalisis politik di Fakulti Pengajian Melayu Universiti Malaya, berkata UMNO mungkin mendapat manfaat daripada langkah berpaling tadah terbaharu itu, kerana ia kini boleh bekerjasama dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk menguasai pengundi Melayu.

“Dengan ketiadaan MCA dan MIC, tiada apa yang boleh menghentikan parti lain daripada menyertai BN, dan ini mungkin bukan lagi satu pengakhiran buat BN,” kata Awang Azman.

Laporan terkini menunjukkan bahawa Pakatan Harapan, dengan sekutunya yang berpangkalan di Sabah iaitu Warisan dan UPKO,  memiliki 135 kerusi di parlimen diikuti BN dan sekutunya dengan 40 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (19), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memiliki 18 kerusi dan Parti Bersatu Sabah (3). Tujuh lagi anggota parlimen adalah Bebas.

Lihat Laman Penuh