BNM: Ekonomi Malaysia Menguncup 17 Peratus, Terburuk Dalam Tempoh 20 Tahun

Noah Lee

2020-08-14
Share
200814-MY-BNM1000.jpg Gabenor Bank Negara Nor Shamsiah Mohd Yunus semasa bercakap pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan 2019 (IFCTF 2019) di Kuala Lumpur, 5 November 2019.
[Ihsan Bank Negara Malaysia]

Ekonomi Malaysia mencatatkan penguncupan sebanyak 17 peratus pada suku kedua tahun ini sewaktu negara berhadapan dengan kemuncak masalah pandemik COVID-19, prestasi terburuk sejak dua dekat lalu, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat.

Bagaimanapun, pihak berkuasa kewangan negara itu menjangkakan bahawa keadaan ekonomi negara bakal menyaksikan pemulihan secara beransur pada separuh kedua tahun ini berdasarkan beberapa faktor, termasuk pembukaan semula sektor ekonomi sejak Mei lepas apabila negara berjaya mengawal penularan pandemik itu.

"Ekonomi Malaysia menyusut 17.1 peratus pada suku kedua 2020. Penurunan ini adalah kesan daripada perlaksanaan langkah penguatkuasaan yang tegas untuk mengawal penularan pandemik COVID-19 secara global dan domestik,” kata bank pusat itu dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata penguncupan ekonomi pada suku kedua adalah disebabkan oleh pemberhentian aktiviti ekonomi secara mendadak semasa negara diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu.

"Ini menyebabkan impak yang lebih besar kepada ekonomi, penguncupan pada suku kedua mencerminkan kemerosotan mendadak aktiviti ekonomi pada April dan berlatarbelakangkan fakta ini, kami mengunjurkan pertumbuhan semula di antara julat -3.5 peratus dan -5.5 peratus berbanding jangkaan sebelum ini iaitu antara -2 dan 0.5 peratus,” kata Noor Shamsiah pada satu sidang media di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, selain PKP yang diperkenalkan oleh kerajaan, penutupan sempadan di peringkat global juga antara faktor yang menyekat pelbagai aktiviti perniagaan yang belum pernah dialami sebelum ini.

"Di Malaysia, Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk langkah menyekat aktiviti pengeluaran dan penggunaan telah mengakibatkan kejutan bekalan dan permintaan yang bukan sahaja berpunca daripada keadaan permintaan luaran yang sangat lemah tetapi juga kekangan pengeluaran kepada banyak sektor ekonomi.

"Selain itu, aktiviti pelancongan juga menurun dengan ketara disebabkan oleh penutupan sempadan antarabangsa dan sekatan perjalanan antara negeri," kata Gabenor bank pusat itu.

Bank Negeri juga mengumumkan antara tempoh April hingga Jun bagi tahun ini, catatan prestasi ekonomi Malaysia adalah yang terburuk sejak tahun 1998, iaitu semasa negara berhadapan dengan krisis kewangan dan ekonomi Asia.

Menurut laporan oleh agensi berita nasional Malaysia Bernama, kali terakhir Malaysia mencatatkan penyusutan dua angka adalah pada suku keempat 1998 iaitu sebanyak 11.2 peratus.

Malaysia mula merekodkan kes positif COVID-19 pada hujung bulan Januari, dan mula menunjukkan peningkatan pada bulan seterusnya, sehingga memaksa kerajaan untuk memperkenalkan PKP bagi mengekang penularan virus itu.

Perintah berkenaan menyaksikan semua premis kerajaan dan juga swasta diarahkan tutup, dengan pengecualian kepada beberapa sektor yang diklasifikasikan sebagai perkhidmatan penting negara, manakala pergerakan rentas negeri juga adalah terhad kepada golongan tertentu, selain menutup pintu sempadannya.

Sejak ia mula dikuatkuasakan dan dilanjutkan sehingga fasa ketiga sebelum Putrajaya memutuskan untuk melonggarkan perintah itu di bawah arahan baru yang dikenali sebagai PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei lepas.

PKPB menyaksikan sektor ekonomi mulai dibenarkan beroperasi semula secara beransur-ansur, dengan syarat mereka mesti mematuhi garis panduan ketat yang disediakan pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Menurut BNM lagi, suku kedua 2020 menyaksikan sektor ekonomi mencatatkan pertumbuhan negatif dari segi penawaran, sementara kebanyakan komponen perbelanjaan turut mencatatkan penurunan.

Ekonomi dijangka pulih

Sementara itu Menteri Kewangan Malaysia Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata ekonomi Malaysia mula memaparkan tanda-tanda awal pemulihan sejak Jun lepas selepas Putrajaya membuka sektor perniagaan secara beransur-ansur sejak 4 Mei lepas.

Beliau turut menjangka ekonomi negara itu akan pulih dengan catatan pertumbuhan 5.5 peratus kepada 8.0 peratus pada tahun hadapan ekoran permintaan semula ekonomi secara berperingkat dan permintaan dari luar yang bertambah baik.

“Kita menyaksikan pemulihan bentuk (lekuk) 'V'’ bermulai Mei 2020. Sehubungan itu, Jun adalah petunjuk baik bagi membuktikan bahawa ekonomi semakin pulih," kata Tengku Zafrul di Putrajayaa seperti dilaporkan Bernama.

Katanya, penilaian bulanan yang dibuat oleh berkuasa kewangan negara itu adalah sesuatu yang penting pada masa ini.

Mengulas mengenai fasa pemulihan di Malaysia, Tengku Zafrul berkata, eksport pada Jun 2020 meningkat semula pada 8.8 peratus daripada -25.5 peratus pada Mei 2020.

Bagi kemajuan masa depan, beliau berkata, momentum pertumbuhan yang disaksikan pada Jun lepas dijangkakan terus kekal bagi tempoh berbaki dalam 2020.

“Kita berharap ekonomi itu akan terus meningkat dalam suku-suku ketiga dan keempat tahun ini," katanya.

Ekonomi lembab

Pakar ekonomi dari Universiti Malaya ketika dihubungi BeritaBenar memberikan pandangan yang berbeza dengan BNM, di mana beliau menyatakan kegusaran terhadap penguncupan ekonomi yang buruk itu.

Mohd Nazari Ismail, profesor di Jabatan Strategi Perniagaan dan Polisi UM, berkata bahawa prestasi yang buruk pada suku kedua 2020 itu bermakna negara akan mengalami kemelesetan ekonomi dan bakal melihat lebih banyak pengangguran.

"Ekonomi sudah semakin lembab. Permintaan dari syarikat dan konsumer juga sudah berkurangan. Oleh itu, banyak pihak akan mengalami kekurangan pendapatan, dan syarikat-syarikat akan terpaksa mengurangkan jumlah tenaga kerja mereka kerana pendapatan tidak lagi mampu menampung kos yang ditanggung.

"Dan seterusnya, kehilangan pekerjaan akan mengurangkan lagi kadar permintaan. Syarikat dan individu yang menghadapi masalah serta mempunyai pinjaman untuk dibayar mungkin tidak akan mampu menyelesaikan pinjaman mereka, dan mereka berkemungkinan akan muflis.

"Banyak pihak menjadi khuatir bahawa mereka mungkin menjadi muflis, maka mereka juga mungkin tidak akan berbelanja, dan ini akan semakin mengurangkan permintaan pasaran. Dalam erti kata lainnya, kita akan mempunyai satu kitaran ekonomi yang semakin perlahan," katanya kepada BeritaBenar.

Mohd Nazari berkata bahawa antara cara yang boleh diambil bagi menangani masalah berkenaan adalah dengan BNM membuat lebih banyak duit untuk dipinjamkan kepada kerajaan bagi merangsang permintaan, dengan cara membantu syarikat dan individu yang berhadapan masalah kewangan serius.

Akan tetapi, beliau memberi amaran bahawa kaedah itu mempunyai risikonya tersendiri, iaitu berkemungkinan mewujudkan inflasi sekiranya sisi bekalan ekonomi berkurangan ketika permintaan dirangsang oleh wang yang ditambah Bank Negara.

Jangkitan COVID-19 di Malaysia berjumlah 9,149 kes manakala di peringkat global lebih 20.7 juta orang telah dijangkiti dan lebih 750,000 kematian telah direkodkan, demikian menurut pakar penyakit di Univeriti Johns Hopkins yang berpusat di Amerika Syarikat.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh