Tiga pemain bola sepak diserang menjelang Liga Malaysia 2024
2024.05.09
Kuala Lumpur
Serangan ganas ke atas tiga pemain bola sepak Malaysia, yang julung kali berlaku, telah menggemparkan negara dan peminat tegar sukan itu mempersoal mengapa ia berlaku hanya beberapa hari menjelang sepak mula kempen Liga Malaysia 2024.
Apabila seorang daripada pemain terbabit, Faisal Halim, 26, bekas kapten skuad kebangsaan menerima rawatan lecur tahap empat akibat disimbah asid, penganalisis berpendapat ekosistem sukan di Malaysia semakin ‘toksik.’
Insiden tersebut mendapat liputan meluas di Malaysia yang julung kali menyaksikan serangan seumpamanya terhadap atlet dan kelab pemerhati bola sepak mendesak pihak berkuasa agar mempercepat siasatan mengenal pasti motif kejadian ketika peminat masih terpinga-pinga mencari jawapan kepada episod hitam sejarah bola sepak negara Asia Tenggara itu.
Penganalisis sukan Pekan Ramli pada Khamis berkata kejadian terbaru itu menunjukkan ekosistem bola sepak yang tidak sihat, bermula dengan prestasi muram pasukan kebangsaan.
"Ia melarat daripada isu tadbir urus badan induk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hinggalah kepada serangan membabitkan pemain kebangsaan.
"Jika ia terbukti sekadar kes samun atau jenayah biasa tanpa perkaitan dengan hal peribadi lain pemain tersebut, ia tidak boleh kita kaitkan dengan 'hooligan' atau keganasan dalam bola sepak.
"Jika terkait dengan perkara yang tidak menyenangkan hati penyokong serta pembabitan ‘bookie,’ ia juga boleh membawa kepada siri serangan sebegitu dek kerana rasa kecewa dan dendam," katanya kepada BenarNews.
Pada 5 Mei lalu, Faisal atau lebih mesra dipanggil Mickey, disimbah asid dua hari selepas rakan sepasukannya, Akhyar Rashid (Terengganu FC) disamun di Kuala Terengganu sehingga mengalami kecederaan ringan.
Insiden terbaru pula membabitkan bekas kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim (Johor Darul Ta’zim – JDT) di Johor Bahru apabila cermin keretanya dipecahkan dengan tukul besi oleh dua penyerang yang menaiki motosikal pada Selasa malam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain pada Khamis berkata semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor di mana Faisal diserang menunjukkan suspek menyentuh beberapa tempat.
"Kita sudah ekstrak beberapa cap jari yang ditinggalkan di situ dan menunggu analisis cap jari itu dan ia memberi gambaran positif serta mendekatkan polis kepada suspek terbaru ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian itu.
Pada Rabu, beliau memaklumkan suspek kedua kes simbah asid Faisal memiliki tujuh rekod jenayah lampau.
Menurut Mohd Shuhaily, insiden samun dan serangan asid ke atas pemain bola sepak itu mempunyai corak modus operandi yang sama namun tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain
Budaya ‘hooligan’
Pekan pula berkata beliau secara peribadi tidak menolak kemungkinan serangan tersebut mempunyai kaitan dengan budaya 'hooligan' dalam sukan itu.
"Mungkin terdapat motif yang sangat kuat atau kebencian yang begitu meluap-luap atau faktor di luar jangkaan sehingga perbuatan kejam itu dilakukan. Memang ekosistem (sukan) kita penuh toksik sekarang," katanya.
Beliau juga berkata keganasan dalam bola sepak bukan perkara baharu kerana sebelum ini pernah berlaku insiden rusuhan, membaling mercun dan kejadian bas dibakar.
"Namun insiden pemain bola sepak negara disimbah asid adalah kes pertama dan ini bukan budaya ganas tetapi manusia berperangai syaitan," katanya sambil menambah perseteruan bola sepak menjadi lebih buruk dengan kewujudan Internet.
Insiden itu mengakibatkan kelab yang disertai Faisal, Selangor FC menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih dengan JDT yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyokong tindakan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan itu atas faktor keselamatan.
Terbaru, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Khamis mengesahkan perlawanan Sumbangsih sebagai aksi pembukaan Liga Malaysia musim 2024/2025 dibatalkan susulan penarikan diri Selangor FC.
Keputusan itu menyaksikan juara Liga Super 10 musim berturut-turut JDT diberikan kemenangan percuma 3-0 sekali gus diangkat sebagai juara Piala Sultan Ahmad Shah edisi kali ini.
Skuad kendalian Hector Bidoglio itu turut mendapat tiga mata pertama bagi perlawanan Liga Super yang berlangsung Sabtu ini.
Hasutan media sosial
Bagi wartawan veteran dan pemerhati sukan Malaysia Haresh Deol, ketika ini tiada indikasi jelas punca serangan tersebut namun kejadian terbaru itu bukan lagi soal bola sepak semata-mata.
"Ini siri serangan jenayah dengan yang paling serius kes pemain bola sepak disimbah asid.
"Pemain Selangor tidak berada dalam mentaliti untuk bermain susulan serangan asid terhadap Faisal meskipun terdapat jaminan daripada pihak polis,” katanya.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada Selasa berkata pihaknya telah menerima laporan kewujudan laman sosial yang membuat hantaran bagi mencetuskan kebencian kepada pemain bola sepak kebangsaan.
Beliau berkata pihak polis sedang mengesan pemilik akaun tersebut, menurut laporan akhbar tempatan.
Haresh pula berkata siasatan polis itu adalah lumrah terhadap apa-apa kenyataan yang mengancam keselamatan individu atau komuniti.
"Atlet, seperti ahli politik dan selebriti, menjadi subjek kritikan pada masa lepas. Bagaimanapun, terdapat undang-undang apabila kritikan bertukar menjadi ancaman atau bersifat fitnah dan tindakan boleh diambil," katanya.
Sementara itu, peminat bola sepak mendesak agar kempen Liga Malaysia ditangguhkan sementara ekoran insiden serangan tersebut.
"Minta tangguh sahaja pun, bukan batal terus. Pemain kena asid hampir-hampir nak mati, tiada 'sense' pun MFL," tulis Ridhuan Mohd Noor di laman Facebook.
Afifi Samad, 34, dari Cheras, Kuala Lumpur pula memberitahu BenarNews bahawa insiden itu dijangka menjejaskan Liga Malaysia yang bakal bermula kerana selain pemain, penonton juga berasa tidak lagi selamat untuk hadir ke stadium.
Seorang lagi peminat, Mat Aiman pula berkata Liga Malaysia wajar ditangguh untuk memastikan aspek keselamatan pasukan dan pemain berada dalam keadaan terbaik.