Malaysia Terima Dua Panggilan Bom Palsu Pada Hari Yang Sama
2016.01.22
Unit pemusnah bom Malaysia terpaksa bertindak apabila menerima dua panggilan ancaman bom di Selangor dan Kedah pada hari Jumaat, kata pihak berkuasa, yang kemudiannya tidak menemui sebarang bahan letupan.
Insiden tersebut bermula apabila seorang kakitangan sebuah universiti swasta di negeri Selangor membuat laporan kepada pihak polis setelah menerima panggilan telefon daripada seorang pelajar lelaki antarabangsa yang tidak dikenali memaklumkan bahawa beliau telah meletakkan sebutir bom di dalam sebuah tandas.
Kira-kira 2,000 pelajar terpaksa mengosongkan bangunan universiti berkenaan untuk memastikan keselamatan mereka.
Ketua Polis Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata, pasukan skuad pemusnah bom Selangor telah bergegas ke lokasi dan selepas menjalani siasatan tidak menjumpai sebarang objek seperti yang dilaporkan.
"Oleh kerana pemanggil tidak menyatakan secara khusus di tandas mana bom itu diletakkan, maka kami terpaksa melakukan pencarian secara menyeluruh di sekitar bangunan universiti itu.
"Kami tidak menjumpai sebarang objek yang meragukan dan setelah mendapat lampu hijau daripada skuad bom Polis Selangor, universiti itu dibuka semula kepada pelajar dan kakitangannya" kata beliau pada Jumaat.
Kejadian kedua berlaku di Sungai Petani, Kedah dan menggemparkan penduduk di sekitar Taman Ria Mesra di bandar itu, apabila seorang lelaki dipercayai meninggalkan sebuah beg di kawasan parkir berhampiran sebuah restoran di deretan kedai di situ.
Bimbang beg tersebut mengandungi bom, penduduk segera menghubungi pihak polis dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang.
Pasukan polis yang tiba sepuluh minit kemudian bertindak memanggil Unit Pemusnah Bom daripada Ibu Pejabat Polis Kontingen Kedah.
Kawasan tersebut ditutup buat sementara bagi melindungi keselamatan orang awam.
Ketua polis daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, siasatan oleh unit tersebut mengesahkan tiada bahan letupan di dalam beg berkenaan.
Hujung minggu lalu unit pemusnah bom Kuala Lumpur turut dipanggil ke kompleks membeli belah Pavilion di Bukit Bintang ekoran penemuan beberapa beg pakaian yang ditinggalkan pelancong Korea Selatan di bawah bangku kompleks berkenaan.
Malaysia memperketatkan kawalan keselamatan di kesemua kawasan tumpuan awam dan pelancong serta pintu masuk negara dan sempadan bagi menyekat aktiviti yang mempunyai elemen keganasan sehari selepas Jakarta digegarkan oleh beberapa letupan bom dan kejadian tembak menembak di tengah-tengah kota raya itu minggu lalu.
Pada Selasa lepas, Perdana Menteri Najib Razak telah mengumumkan peningkatan rondaan keselamatan bersama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan strategik dan kawasan pelancongan di sekitar ibu negaranya.
Suhana Osman dan S. Adie Zul turut menyumbang kepada lapuran ini.