Bot Pelarian Rohingya Ditemui di Perairan Langkawi

Hata Wahari
Kuala Lumpur
2018-04-03
Share
180403-MY-RohingyaBoat620.jpg Anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia mengawasi bot yang dinaiki 56 pelarian Rohingya yang ditemui di kawasan perairan Langkawi di utara Malaysia, 3 April 2018.
[Ihsan APMM]

Sebuah bot sarat dengan pelarian etnik Rohingya telah ditemui di perairan Pulau Nyior Setali di Langkawi, Kedah, oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pagi Selasa.

Pengarah APPM Wilayah Utara, Laksamana Pertama, Rozali  Mohd Said berkata, ketika bot ditemui terdapat 56 orang pelarian terdiri dari 19 lelaki, 17 wanita, 12 kanak-kanak perempuan, dan 8 kanak-kanak lelaki yang berada di atas bot berkenaan.

Katanya, bot tersebut ditemui pada pukul 9.10 pagi waktu tempatan dan mereka berada di dalam keadaan selamat.

"Pihak APMM telah memberi bantuan awal seperti makanan, minuman dan perubatan," katanya.

Beliau berkata usaha mencari dan menyelamat secara bersama antara APPM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM ) dan Pasukan Polis Marin Langkawi telah dilaksanakan sejak Isnin selepas mendapat maklumat mengenainya.

Rozali menambah, bot itu telah diiringi ke Jeti Kuala Kedah dan pelarian akan  diserahkan kepada Jabatan Imigresen negeri untuk proses selanjutnya mengikut prosedur kemasukan ke negara itu bagi mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Tambahnya, APPM amat memandang serius terhadap isu pencerobohan di seluruh perairan Malaysia, namun atas dasar kemanusiaan, pelarian tetap diberi layanan baik dengan diberi makanan, minuman dan perubatan.  

Pada Sabtu lepas, bot yang dinaiki 56 pelarian Rohingya, yang dalam perjalanan menuju ke Malaysia terpaksa berlabuh di Pulau Lanta, Krabi, Thailand akibat ribut dan laut bergelora.

Rozali pada Isnin berkata bahawa  APMM telah meningkatkan rondaan serta pengawasan sebaik saja menerima maklumat risikan awal berhubung perkara itu.

“Enam buah aset APMM telah digerakkan dan kini berada di perairan Wilayah Utara untuk tujuan pengesanan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.

Pihak berkuasa Thailand dilaporkan telah membantu sebuah bot yang dipercayai membawa 56 orang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak etnik Rohingya yang berjaya masuk ke perairan negara itu, berhampiran Pulau Lanta di Wilayah Krabi berikutan ribut pada malam Sabtu lalu.

Kesemua mereka dipercayai dalam perjalanan ke Malaysia dan bot berkenaan telah ditolak ke tengah laut selepas mendapat perlindungan sementara, dengan turut diberikan bantuan makanan dan minuman oleh pihak berkuasa Thailand.

Pihak berkuasa Thailand juga berkata bot yang dijumpai pada Sabtu itu merupakan bot Rohingya pertama dalam tempoh setahun.

Siasatan pihak polis Bangladesh mengesahkan bahawa bot tersebut tidak datang dari Bangladesh, negara yang menjadi tumpuan kaum Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar, menurut pegawai polis di Cox Bazar, Superintendant Afrozul Haque Tutul.

“Mereka [Pelarian] tidak lagi boleh menggunakan sungai atau jalan laut untuk pergi ke Malaysia kerana kami sudahpun memberhentikan sebarang pergerakan bot di kawasan sempadan sungai Naf, “ kata Afrozul kepada BeritaBenar pada Isnin.

Beliau menambah, “Sungai dan laut yang digunakan oleh penyeludup manusia empat sehingga lima tahun lepas sudahpun ditutup dan laluan ini dibawah pengawasan ketat.”

Bagaimanapun, Fortify Rights, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak Rohingya Muslim yang berpangkalan di Bangkok berkata yang badan itu telahpun mendokumenkan beberapa ketibaan pelarian Rohingya melalui jalan laut di Malaysia dan Thailand sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini, termasuk bot yang tiba di Thailand pada Februari.

Beberapa laporan sebelum ini menyatakan bahawa sebahagian besar daripada 1.1 juta Rohingya telah dinafikan kerakyatan oleh kerajaan Myanmar, dengan ramai daripada mereka yang tinggal di kem-kem pelarian, tidak dibenarkan keluar, dan tidak diberi pendidikan dan pekerjaan.

Pada tahun 2015, ribuan etnik Rohingya terperangkap dalam krisis orang hanyut yang berakhir di Malaysia dan Indonesia oleh kerana  kerajaan Thailand mengekalkan dasarnya untuk tidak menerima kaum tersebut.

Selain kaum Rohingya, laluan laut itu turut digunakan oleh pendatang tanpa izin dari Bangladesh.

Statistik terbaharu agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendapati hampir 70,000 pelarian dan pencari suaka Rohingya mendapat perlindungan di Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh