Malaysia 'secara baik' tetapi tegas beritahu AS tolak sekatan ke atas Iran
2024.05.09
Washington dan Kuala Lumpur
Malaysia pada Khamis berkata ia telah memaklumkan "secara baik" kepada para pegawai Washington yang berkunjung ke negara itu bahawa ia tidak akan tunduk terhadap sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) atau mana-mana negara ke atas Iran atau negara lain, atas alasan membiaya keganasan atau isu lain.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail semasa pertemuan dengan pegawai Perbendaharaan AS di Putrajaya berkata, negaranya tegas dalam langkah memerangi pembiayaan keganasan. Para pegawai dari Washington itu berada di Kuala Lumpur bagi membincangkan isu sekatan ke atas Iran yang didakwa AS telah menggunakan entiti Malaysia untuk membiayai kumpulan militan.
Lebih dua bulan selepas kumpulan militan Palestin iaitu Hamas menyerang Israel dan menyebabkan kira-kira 1,100 orang terbunuh, negara sekutu Yahudi iaitu AS telah memfokus kepada langkah memutuskan bekalan wang kepada kumpulan seperti Hamas dan Hizbullah yang disokong dan dibiayai oleh Iran.
Lawatan pegawai Jabatan Perbendaharaan AS ke Malaysia dan Singapura adalah sebahagian daripada usaha itu. Setiausaha Rendah Jabatan Perbendaharaan AS bagi Risikan Pembiayaan dan Keganasan Brian Nelson memberitahu portal berita tempatan Malaysiakini bahawa terdapat peningkatan dalam dana yang mengalir ke Iran serta proksinya – termasuk Hamas – melalui sistem kewangan Malaysia .
Iran telah berjaya meneruskan penjualan petroleumnya melalui pemindahan kapal ke kapal secara rahsia untuk menyembunyikan asal usul produk itu susulan terdapat negara yang enggan mematuhi sekatan AS atau dengan sengaja tidak mengendahkan perkara itu apabila perairan mereka digunakan untuk aktiviti ini.
AS mendakwa Malaysia adalah antara negara yang digunakan bagi pemindahan minyak dan pengumpulan dana untuk kumpulan seperti Hamas, yang disokongnya, dan ini adalah perkara yang menjadi kebimbangan Washington.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata pertemuan beliau dengan Nelson serta delegasinya berlangsung dalam suasana yang "baik dan mesra" pada Khamis pagi apabila mereka membincangkan apa yang disifatkan oleh Washington sebagai "pemindahan haram" minyak Iran di kawasan perairan Malaysia.
“Apa yang saya ingin ketengahkan di sini terlebih dahulu ialah saya berjaya sampaikan secara baik kepada perwakilan AS dalam isu membabitkan sekatan ialah pendirian kami ialah kami hanya mengiktiraf sekatan yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” katanya.
“Kami tidak mengiktiraf sebarang sekatan yang dikenakan oleh sesebuah negara. Delegasi AS menghormati pendirian kami,” katanya kepada pemberita pada satu majlis penyampaian anugerah.
Kapal tangki minyak Iran Fortune berlabuh di dok kilang penapisan El Palito berhampiran Puerto Cabello, Venezuela memandangkan kedua-dua negara menentang sekatan AS, 25 Mei 2020. [Juan Carlos Hernandez/AP]
Malaysia, negara majoriti Islam, secara konsisten menyokong penyelesaian dua negara kerana Israel telah menduduki wilayah Palestin di Gaza dan Tebing Barat. Susulan krisis terkini yang menyaksikan serangan darat dan udara Israel yang meragut nyawa lebih 34,000 rakyat Palestin di Gaza, Malaysia dengan lantang telah mengutuk sekeras-kerasnya negara Yahudi itu.
Malaysia telah mengambil pendirian menyokong Iran, yang melancarkan dron dan menembak peluru berpandu ke arah Israel pada 13 April. Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Iran sebagai "tindakan yang sah" sebagai tindak balas terhadap serangan "biadab" Israel ke atas konsulat Iran di Damsyik.
Saifuddin juga berkata delegasi AS ada bertanya kepada beliau mengenai usaha Malaysia dalam memerangi pembiayaan keganasan.
“Kami mengulangi komitmen Malaysia [untuk memerangi pembiayaan keganasan] di peringkat ASEAN dan global,” katanya. Malaysia dijadual mempengerusikan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) tahun depan.
“Malaysia adalah sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang dan kita mempunyai perundangan yang jelas untuk menguruskan isu yang dibangkitkan. …Delegasi AS telah mengambil maklum perkara ini dan mereka tahu dengan jelas langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Malaysia dalam isu membabitkan keganasan, ekstremisme dan semua itu,” katanya.
Namun Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri Malaysia memahami kebimbangan Jabatan Perbendaharaan AS.
Pada Disember, Jabatan Perbendaharaan AS telah mengenakan sekatan ke atas empat syarikat berpangkalan di Malaysia yang didakwa membantu pengeluaran dron Iran. Washington menuduh Iran membekalkan dron itu kepada pihak yang digelarnya sebagai proksi pengganas di Timur Tengah dan kepada Rusia untuk digunakan di Ukraine.
'Risiko alam sekitar dan keselamatan'
Sementara itu, dalam temu bual dengan portal berita tempatan Malaysiakini, Nelson berkata kaedah utama yang digunakan oleh Iran untuk mengumpul wang ialah melalui penjualan minyak kepada pembeli di Asia Timur, lapor agensi berita Associated Press.
“Kebanyakan penghantaran ini merentasi perairan sekitar Malaysia dan dimuatkan ke kapal yang diragui kesahihannya dan mungkin menimbulkan risiko yang besar terhadap alam sekitar dan keselamatan,” katanya menurut laporan itu.
Beliau juga berkata AS cuba menghalang Malaysia daripada menjadi kawasan di mana Hamas boleh mengumpul dan memindahkan dana.
Awal minggu ini iaitu pada Isnin, delegasi AS ke Malaysia berkata kerajaan negara di Asia Tenggara itu "memahami potensi kesan" membenarkan pemindahan minyak yang dikenakan sekatan oleh AS.
Edgard Kagan bagaimanapun tidak memberikan butiran terperinci mengenai apa yang dimaksudkan dengan "potensi kesan" itu dan ia boleh membawa maksud apa-apa sahaja daripada sekatan ke atas Malaysia hinggalah lonjakan mendadak dalam hasil minyak untuk Iran.
Iman Muttaqim Yusof di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.