Follow us

Malaysia Beri Lebih AS$1 Bilion Kepada Rakyat Miskinnya Menjelang Pilihan Raya Umum

Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2018-03-02
E-mel
Komen
Kongsi
  • Kongsi
  • Komen
  • E-mel
180301-my-brim1000.jpg
Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berucap semasa perhimpunan pemimpin belia di Pusat Pameran Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur, 28 Feb, 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia mula mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang berjumlah kira-kira AS$1.6 bilion kepada berjuta-juta rakyatnya yang berpendapatan rendah sebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, tetapi pengkritik membidas langkah itu yang didakwa sebagai membeli undi menjelang pilihan raya umum yang mungkin diadakan dalam beberapa bulan lagi.

Tujuh juta rakyat Malaysia yang layak mula menerima bayaran pertama bantuan yang dikenali sebagai BR1M itu pada Isnin, dengan penerima membawa pulang sejumlah RM1,200  (AS$306) tahun ini, yang bertambah daripada RM500 (AS$127) ketika skim bantuan itu dilancarkan pada 2012.

Pemberian bantuan itu merupakan sebahagian daripada cadangan perbelanjaan 2018 sebanyak RM80 bilion (AS$66.1 bilion) yang diumumkan Perdana Menteri Najib Razak pada Oktober lalu, ketika beliau membentangkan belanjawan tahunan terbesar negara.

Sebelum ini, kerajaan menyifatkan pemberian itu sebagai usaha membantu penduduk berpendapatan rendah, termasuk pekebun sawit, dalam menampung kos sara hidup yang lebih tinggi susulan harga minyak global yang lebih tinggi dan mata wang tempatan yang lemah. Para pegawai telah menjelaskan bahawa pemberian itu akan memberi pelbagai kesan kerana penerimanya akan menggunakan wang itu untuk membeli barangan dan membantu merangsang ekonomi negara.

Tetapi Rafizi Ramli, naib presiden parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat dan anggota parlimen, mempersoalkan mengapa Najib mahu memberikan bantuan kewangan itu kepada orang ramai berbanding menawarkan subsidi.

"Daripada meringankan kos sara hifup, BR1M sebaliknya menjadi habuan untuk rakyat – secara umumnya mereka yang dalam golongan berpendapatan rendah - untuk keluar makan," katanya kepada akhbar Malaysia, Sinar Harian, bulan lepas.

Pembangkang berjuang membina pakatan bersatu

Pemberian wang tunai itu dibuat ketika Najib menghadapi ujian pilihan raya yang paling sukar, dengan beliau dilihat mampu mendepaninya, sejak menjadi perdana menteri pada 2009, menurut penganalisis politik. Beliau boleh menjangkakan cabaran sengit daripada pembangkang yang diterajui oleh dua bekas pemimpin kerajaan, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang masih dipenjara.

Di bawah perlembagaan Malaysia, pilihan raya umum perlu diadakan setiap lima tahun, dan yang berikutnya harus diadakan sebelum Ogos tahun ini.

Pembangkang hampir menumpaskan gabungan parti Barisan Nasional yang diterajui Najib dalam pilihan raya 2013, tetapi sejak itu berjuang untuk menampilkan pakatan yang bersatu bagi mencabar perdana menteri dalam pilihan raya umum akan datang.

Peningkatan dalam pemberian bantuan itu pada 2018 kepada lebih RM6 bilion  berbanding dengan RM2.6 bilion ringgit pada enam tahun lalu, menerima kritikan para penggubal undang-undang pembangkang.

Minggu ini, Najib membidas kritikan tersebut yang mendakwa bayaran itu adalah satu bentuk pembelian undi di negara ini, yang mempunyai populasi seramai 32 juta orang.

"Subsidi yang disasarkan ini adalah jauh lebih baik daripada subsidi pukal yang banyak ketirisan," kata Najib di hadapan kira-kira 2,000 penerima bantuan itu.

Ahli ekonomi Dr Hoo Ke Ping, dalam temu bual dengan BeritaBenar, menolak dakwaan bahawa penerima bantuan itu secara automatiknya akan mengundi gabungan parti Najib. Beliau memetik keputusan pilihan raya umum yang lalu, yang diadakan setahun selepas BR1M diperkenalkan.

"Barisan Nasional gagal mendapat undi besar daripada masyarakat Cina meskipun ada orang Cina yang berpendapatan rendah menerima bantuan itu," katanya, merujuk kepada satu daripada etnik di Malaysia.

Program pemberian bantuan itu, katanya, perlu dilakukan kerana rakyat berpendapatan rendah "benar-benar memerlukannya untuk menambah pendapatan mereka."

Lihat Laman Penuh