1MDB: Bekas Kakitangan BSI Bank Individu Ketiga Didapati Bersalah

Shuman Vasu
2016.12.21
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
161221-my-bsi-620.jpg Pintu masuk bangunan pejabat di mana terletaknya bank Swiss BSI di Singapura, 24 Mei 2016.
AFP

Yeo Jiawei, bekas kakitangan bank BSI Singapura merupakan individu ketiga didapati bersalah oleh sebuah mahkamah negara itu, atas empat pertuduhan mengganggu saksi dalam kes pengalihan wang secara haram berjumlah berbilion dolar dalam skandal yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), demikian menurut media Singapura.

Hakim Daerah, Ng Peng Hong pada Rabu mengumumkan mengenai keputusan bersalah terhadap Yeo dengan berkata, “saksi tidak boleh dipercayai dan tidak kredibel” selepas perbicaraan kes itu telah diperdengarkan di hadapan Hakim berkenaan selama 12 hari dan berakhir bulan lepas.

Menurut Channel News Asia, Yeo akan menghadapi  hukuman penjara tujuh tahun maksimum, dan hukuman hanya akan dijatuhkan keatasnya, esok [Khamis].

Tertuduh,33, yang didapati bersalah atas empat tuduhan, turut berdepan dengan tujuh lagi pertuduhan lain yang berkaitan dengan penipuan, penggubalan dan pemalsuan wang haram. Kesnya akan didengar tahun depan oleh mahkamah yang sama.

Yeo sebelum ini, berulang kali menafikan hubungan rapatnya dengan ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, yang telah dikenalpasti oleh pihak berkuasa Singapura sebagai orang yang mempunyai kaitan dalam siasatan yang sedang dijalankan dalam transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang dan membabitkan 1MDB.

Yeo telah berkhidmat di BSI sebagai pegawai perancang kekayaan di antara bulan Disember 2009 dan Julai 2014.

Ketika inilah Yeo dikatakan telah berjaya mengumpul kekayaan mencecah RM80.66 juta (S $26 juta) daripada pelbagai sumber, termasuk melalui skim haram yang menipu majikannya.

Mengganggu saksi

Antara tuduhan terhadap Yeo adalah selepas beliau dibebaskan dari tahanan polis atas jaminan pada Mac 27 tahun ini, mengaturkan satu pertemuan dengan rakannya Samuel Goh Sze-Wei dan Kevin Swamipillai, pegawai yang menguruskan unit pengurusan kekayaan bank BSI.

Yeo telah dituduh menyuruh kedua orang individu itu untuk menipu kepada polis dengan mengatakan bahawa wang yang dipindahkan oleh Goh ke Bridgerock Investment dan GTB Investment, yang masing-masing dimiliki oleh Yeo dan Swamipillai, adalah pelaburan oleh Goh.

Selepas Yeo meninggalkan kerjayanya di BSI, Yeo telah dikatakan meneruskan beberapa transaksi haram yang berkaitan dengan kes itu.

Yeo juga dituduh menyuruh dua lagi individu - Jose Renato Carvalho Pinto dan Mun Enci Alysius, yang telah berurusniaga dengannya melalui bank persendirian Amicorp Group untuk menipu jika disoalsiasat pihak berkuasa Singapura dan melupuskan komputer riba salah seorang daripada mereka.

Dua lagi bersalah

Pada Jumaat lalu, sebuah mahkamah di Singapura telah memenjarakan Yvonne Seah Ye Foong, juga bekas pengarah BSI Singapura, selama dua minggu dan turut mengenakan denda sebanyak RM31,000 (S$10,000) setelah mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan, termasuk dua pemalsuan, yang dilakukan antara 20 November 2012 dan 19 Mei 2014.

Yvonne juga telah didapati bersalah tidak melaporkan transaksi mencurigakan membabitkan Jho Low.

Sebelum itu, penyelia Yvonne, Yak Yew Chee, dijatuhkan hukuman penjara 18 minggu selepas mengaku bersalah pada November lalu atas kesalahan yang sama.

Yak yang berumur 57 tahun juga didenda RM75,000 (S $24,000) dan akan menyerahkan RM23 juta (S$7.5 juta) kepada kerajaan Singapura sebagai langkah untuk "menunjukkan kekesalan sebenarnya".

Tiada dakwaan di Malaysia

Sementara itu, di Malaysia, masih tiada pendakwaan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam skandal 1MDB, yang turut menjadi tumpuan pihak berkuasa beberapa buah negara lain seperti Singapura, Switzerland dan juga Amerika Syarikat.

Semasa dihubungi BeritaBenar bagi mendapatkan maklumat mengenai pendakwaan terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam skandal 1MDB di Malaysia, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada Jumaat lepas, menjawab ringkas “penyiasatan masih berjalan.”

Di Singapura sahaja, skandal ini telah mengakibatkan dua bank, iaitu Bank BSI dan Bank Persendirian Falcon yang berpengkalan di Zurich, kehilangan lesen operasi.

Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) juga telah mengenakan denda dan penalti yang mencecah jutaan dolar Singapura ke atas beberapa bank lain, kerana melanggar syarat penggubahan wang haram berkaitan dana 1MDB.

Pada Julai lepas, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) telah memfailkan 12 tindakan undang-undang sivil bagi merampas dan mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion dalam bentuk aset yang didakwa dibayar dengan wang 1MDB yang dicuri.

Peguam Negara AS Loretta Lynch berkata ini adalah satu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang menerusi institusi-institusi di negara tersebut. Beberapa siri rampasan sivil telah menamakan Jho Low dan anak tiri Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, Riza Aziz dalam kertas pertuduhan.

Najib dikaitkan dengan skandal itu selepas akhbar antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa hampir AS $700 juta wang 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu semasa menjelangnya pilihan raya umum Malaysia pada 2013.

Najib telah berulang kali menafikan sebarang salah laku.

1MDB, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia, juga telah menafikan sebarang salah laku.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.