Malaysia bubar Parlimen, buka jalan untuk Pilihan Raya Umum ke-15

Pilihan raya umum perlu di adakan dalam masa 60 hari.
Muzliza Mustafa, Iman Muttaqin Yusof & Nisha David
2022.10.10
Kuala Lumpur
Malaysia bubar Parlimen, buka jalan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 Pelanggan sebuah restoran sedang mengikuti pengumuman oleh Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob melalui siaraan lansung mengenai pembubaran Palimen di Kuala Lumpur, 10 Okt. 2022.
[Hasnoor Hussain/Reuters]

KEMASKINI pada 3.30 petang waktu tempatan ETS - 2022-10-10

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pada Isnin bahawa Parlimen telah dibubarkan dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi memberi laluan untuk Pilihan Raya Umum ke 15 di adakan tahun ini.

Dalam Perutusan Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di semua medium media sosial dan television, Ismail Sabri berkata dengan pengumuman itu, mandat kembali diberikan kepada rakyat untuk mewujudkan kerajaan yang stabil serta dihormati.

“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022,” Ismail Sabri berkata.

Perdana Menteri berkata perkara berkaitan tarikh penamaan calon, tarikh pilihan raya serta perkara-perkara bersangkut akan diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Dengan pengumuman itu, Pilihan Raya Umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran dikuatkuasakan.

Pembubaran itu akan menghentikan semua persoalan mengenai keabsahan kerajaan, katanya, sambil menambah bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya kini perlu menetapkan tarikh pengundian.

Parti-parti gabungan serta pembangkang telah mempersoalkan keperluan untuk mengadakan pilihan raya umum awal yang mungkin bertembung dengan musim tengkujuh dan kemungkinan berlakunya banjir.

Pilihan raya umum sepatutnya diadakan pada penghujung 2023 tetapi Ismail Sabri menghadapi tekanan daripada partinya sendiri, UMNO, supaya mengadakan pilihan raya lebih awal.

Ismail Sabri adalah perdana menteri ketiga sejak pilihan raya umum 2018 apabila gabungan Barisan Nasional yang diterajui UMNO - yang berkuasa secara berterusan selepas Malaysia merdeka daripada British pada 1957 - telah ditolak oleh pengundi buat pertama kalinya.

Namun, pergolakan politik berlaku sejurus sebelum menularnya pandemik COVID-19 dan menyebabkan kejatuhan pemerintahan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) selepas berkuasa hanya 22 bulan.

Bulan lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia lepas telah mengeluarkan amaran hujan lebat dan angin kencang yang dijangka akan berlaku antara Oktober dan November, ketika negara melalui fasa transisi ke musim tengkujuh, selepas berakhirnya musim monsun barat daya.

Pada musim tengkujuh tahun lepas, Malaysia telah melihat kemusnahan terburuk akibat banjir dengan ribuan rakyat kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan besar yang dianggarkan mencecah sejumlah RM6 bilion (AS$1.29 bilion).

Pembangkang kritik

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim mengkritik masa pengumuman pilihan raya umum itu dibuat.

“Manusia, parti politik dan kerajaan jenis apakah yang berani dan sanggup mempertaruhkan nyawa dan nasib rakyat dengan mengadakan pilihanraya pada saat ini?, kata Anwar Ibrahim yang mengetuai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan gabungan Pakatan Harapan, dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan lewat Isnin.

“Jangan terpedaya dengan kerajaan yang mementingkan diri sendiri apabila mengatakan pilihan raya mesti berlaku sekarang untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.”

“Usah kita diperdaya dengan kerajaan yang hanya pentingkan kepentingan mereka yang kononnya bagi memulangkan mandat kepada rakyat.”

Namun begitu, Pakatan sudah bersedia untuk pilihan raya, kata Anwar mengenai gabungan yang mencatat kemenangan bersejarah ke atas UMNO pada 2018, sebahagian besarnya disebabkan skandal kewangan 1MDB yang membabitkan PM Najib Razak ketika itu, yang kini menjalani hukuman penjara kerana rasuah selama 12 tahun.

“Sejak pengkhianatan maha durjana yang telah menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan jatuh dahulu, rakyat telah lama menantikan saatnya untuk menghukum para pendiri kerajaan pintu belakang dan para pengkhianat,” kata Anwar.

UMNO ‘fikir boleh menang besar’

UMNO, bagaimanapun sangat yakin dan mengharapkan menang besar dalam pilihan raya akan datang, kata Salawati Mat Basir, seorang profesor di University Kebangsaan Malaysia.

Perbualan hangat yang pilihan raya adalah semakin hampir selepas UMNO memenangi beberapa kemenangan besar secara solo semasa pilihan raya negeri di Melaka dan Johor, masing-masing pada November dan Mac lepas.

Pimpinan tertinggi UMNO, terutamanya Presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan penyokongnya, mahukan pilihan raya umum lebih awal, kata penganalisis, untuk memanfaatkan kemenangan ke atas negeri-negeri tersebut. Pengkritik juga mendakwa Zahid mahu UMNO kembali berkuasa dengan cepat supaya kerajaan boleh mempengaruhi kes di mana beliau sedang dibicarakan atas kesalahan rasuah.

"Ya, itulah sebabnya mereka begitu yakin," kata Salawati kepada BenarNews, menegaskan bahawa kemenangan pilihan raya negeri membuatkan UMNO percaya mereka mempunyai lebih daripada peluang untuk berjuang, walaupun terdapat skandal rasuah.

Penganalisis politik Md. Azizuddin Md. Sani juga bersetuju dengan pandangan itu.

“Mereka fikir boleh menang besar jika pilihan raya umum pada November. Pada pendapat saya, UMNO akan bergerak secara solo untuk pilihan raya akan datang. Mereka akan menggunakan taktik yang sama seperti sebelum ini seperti Melaka dan Johor,” katanya kepada BenarNews.

“Seperkara lagi, tahun depan akan menjadi lebih teruk bagi ekonomi global, yang akan memberi kesan kepada kita. Daripada pilihan raya tahun depan, lebih baik diadakan tahun ini, dapat membentuk kerajaan yang stabil dan seterusnya memberi fokus kepada ekonomi tahun depan.”

UMNO perlu mengatasi kesan rasuah yang terpalit terhadap parti itu, baru-baru ini, parti itu mengalami tamparan hebat apabila pemimpin kanan dan bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang didakwa pada Julai 2020, telah disabitkan bersalah melakukan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram. Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya pada dua bulan lalu.

Timbalan Najib, Ahmad Zahid Hamidi, yang merupakan presiden UMNO turut menghadapi pertuduhan rasuahnya sendiri - walaupun nasibnya lebih baik di mahkamah.

Zahid kini dibicarakan dalam kes kedua di mana beliau berdepan dengan 47 pertuduhan jenayah berkaitan dakwaan penyelewengan RM52.25 juta (AS $11.42 juta) daripada yayasan milik keluarganya yang ditubuhkan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik. Beberapa laporan media tempatan mengatakan keputusan terhadap kes itu dijangka awal tahun depan.

Penganalisis James Chin dari Universiti Tasmania percaya bahawa hasrat UMNO untuk mengadakan pilihan raya secepat mungkin berpunca daripada kes rasuah tersebut.

"Mereka mahu kembali berkuasa supaya mereka boleh melakukan sesuatu mengenai kes mahkamah," kata Chin kepada BenarNews.

"Itu sangat jelas."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.