Pembunuhan Pekerja Myanmar Adalah Persengketaan Antara Mereka: Pegawai Malaysia

Khas Untuk BeritaBenar
2017.01.10
170110-my-myanmar.jpg Seorang pekerja rakyat Myanmar sedang cuba mengikat tali sebuah peti di sebuah pasar di pekan Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Malaysia, 17 Disember, 2016.
[Nur Photo]

Pembunuhan lima pekerja Myanmar di pinggir bandar Kuala Lumpur minggu lepas dipercayai berpunca daripada pertikaian lama dengan rakan senegara yang datang dari kampung yang sama di Myanmar, kata Ketua Polis Selangor kepada media tempatan pada Selasa.

Siasatan telah menolak kemungkinan bahawa rakyat Malaysia terlibat dalam pembunuhan itu, atau bermotifkan agama atau untuk membalas dendam terhadap layanan buruk terhadap umat Islam Rohingya di negeri Rakhine, Myanmar, semasa tindakan keras tentera di negara yang bermajoriti agama Buddha, kata Ketua Polis Selangor Abdul Samah Mat, .

Pembunuhan itu dipercayai satu tindakan membalas dendam warga Myanmar yang berasal dari kampung yang sama, yang bertelagah sehingga terbawa-bawa ke Malaysia, tambah beliau tanpa menamakan kampung mereka itu.

Lima pekerja Myanmar telah dibunuh dengan kejam dengan dua lagi dimasukkan ke hospital akibat kecederaan berikutan serangan melibatkan 13 pekerja asing itu yang berlaku pada kira-kira pukul 10 pagi, Khamis lepas, selepas mereka pulang bersama-sama dari kerja lebih masa di sebuah kilang perkakasan TV di Bukit Serdang, Selangor, menurut laporan berita

Pihak berkuasa tempatan telah menahan sekurang-kurangnya tujuh orang berkaitan dengan pembunuhan pada Khamis, laporan agensi Berita Nasional [Bernama]. Empat daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa yang kelima meninggal dunia di hospital, menurut laporan.

"Kami masih menyiasat. Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa kes berkenaan mempunyai hubungan dengan krisis di negeri Rakhine atau bersangkutan agama, " kata ketua polis kepada pemberita.

"Pada masa ini kami hanya dapat membuktikan hanya itu sebab berlakunya pembunuhan berkenaan dan punca sebenarnya masih disiasat," tambah beliau.

Keselamatan pekerja Myanmar di persoalkan


Ketua Polis Selangor juga berkata pihaknya akan memberi tahap perlindungan yang sama kepada pendatang Myanmar seperti yang diberikan kepada rakyat tempatan.

Pada tahun lepas, sekurang-kurangnya tujuh warga Myanmar yang bekerja di Malaysia terbunuh dalam pembunuhan mengerikan, menurut laporan dalam Myanmar Time dengan dua dozen lebih terbunuh dalam pelbagai insiden lain bagi tahun 2013 dan 2014.

"Kita berikan perhatian yang sama seperti yang diberikan kepada warganegara Malaysia apabila ia melibatkan  keselamatan," kata Abdul Samah.

Namun begitu, beribu-ribu pekerja Myanmar yang berkerja di Malaysia kembali ke negara asal  pada 2014 selepas kira-kira 25 terbunuh antara Jun 2013 dan September 2014 dalam apa yang sesetengah pemerhati berkata kepada media Malaysia pada masa itu mungkin berkaitan dengan keganasan kaum di Rakhine, Anadolu Agency, media negara kendalian Turki melaporkan pada 7 Disember lepas.


"Saya berasa sangat terharu dengan nasib pendatang dari negara kami. Pekerja rakyat Myanmar sering  diserang. Mereka tidak mempunyai perlindungan, " kata San Win, Pengerusi Rumah Pengurusan Jenazah  Kathpone di Kuala Lumpur, yang menyediakan pengebumian percuma untuk orang miskin dari Myanmar, kepada Myanmar Times.

Pada Isnin, kerajaan Myanmar berkata, yang negara itu telah mengeluarkan satu nasihat keselamatan kepada semua pekerjanya di Malaysia berikutan pembunuhan minggu lalu, menurut Reuters.

Ketegangan dua hala

Ketegangan antara Myanmar dan Malaysia telah meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, di tengah-tengah kritikan oleh pegawai Malaysia mengenai cara Myanmar mengendali kejadian keganasan di negeri Rakhine.

Majoriti Islam Malaysia mengkritik Myanmar dan tenteranya yang kuat atas dakwaan melakukan tindakan ganas terhadap etnik Rohingya, apabila kerajaan mengambil langkah tegas di utara Rakhine berikutan serangan maut ke atas pengawal sempadan di rantau itu pada awal Oktober.

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berkata, layanan Myanmar terhadap warga Rohingya menyebabkan berlakunya "pembunuhan beramai-ramai" dan "pembersihan etnik," menyebabkan Myanmar membidas Malaysia kembali kerana campur tangan dalam hal-ehwalnya

Keganasan di Rakhine telah menyebabkan penghijrahan Rohingya ke negara jiran Bangladesh. Pada Isnin, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu [PBB]mengumumkan bahawa 65,000 Rohingya telah berpindah sejak awal Oktober, dengan sebanyak 22,000 lagi cuba memasuki negara itu dalam masa seminggu, Agence France-Presse [AFP] melaporkan.

Hampir setengah juta pekerja

Terdapat lebih daripada 400,000 pekerja dari Myanmar di Malaysia, kira-kira 100,000 daripadanya adalah pekerja tanpa izin, menurut kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur, walaupun sesetengah menganggarkan bilangan pekerja tanpa izin Myanmar di negara itu berjumlah kira-kira 500,000, kata laporan berkenaan.

Ramai yang bekerja di negara itu secara haram sering bekerja lebih lama dalam keadaan yang berbahaya dengan peluang sempit untuk bekerja di dalam keadaan selamat atau untuk mendapat gaji yang memuaskan, katanya.

Julai lalu, Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur, mewujudkan pasukan petugas perlindungan untuk pekerja asing yang terdiri daripada wakil daripada kira-kira 50 badan bukan kerajaan yang berpangkalan di negara itu, termasuk Rumah Pengurusan Jenazah Kathpone, lapor Myanmar Times.

Kerajaan Myanmar Disember lalu, berhenti menghantar pekerjanya ke Malaysia kerana bimbang dengan keselamatan di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara terhadap konflik di negeri Rakhine.


Anis Natasha di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.