Kesatuan Eropah, agensi PBB lancar program basmi buruh kanak-kanak di Sabah
2024.06.12
Kuala Lumpur
Kesatuan Eropah dan dua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu melancarkan inisiatif untuk menamatkan buruh kanak-kanak di ladang kelapa sawit di Malaysia.
Data Putrajaya berhubung pekerja ladang pada 2018 menganggarkan kira-kira 33,600 kanak-kanak berumur 5 hingga 17 tahun bekerja dalam industri kelapa sawit dengan lebih separuh daripada mereka berada di negeri Sabah.
Program bersepadu antara Kesatuan Eropah, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) itu akan dilaksanakan selama 18 bulan bermula Jun hingga hujung 2025.
Ia bertujuan melindungi hak kanak-kanak di ladang kelapa sawit terutamanya di Tawau dengan memberikan akses kepada pendidikan dan peluang latihan selain membantu menangani punca terjadinya masalah tersebut di negeri kepulauan Borneo itu.
“Membasmi buruh kanak-kanak menjadi keutamaan EU dan usaha proaktif untuk mengekang masalah tersebut adalah lebih penting pada masa sekarang.
"Oleh itu kami telah berganding bahu dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), UNICEF dan pemain tempatan dalam menjayakan program ini,” kata AudreyAnne Rochelemagne, ketua pasukan delegasi EU dalam kenyataan bersama oleh ketiga-tiga pertubuhan dunia itu pada Rabu.
Kebanyakan kanak-kanak yang bekerja di ladang tergolong daripada keluarga migran, demikian menurut laporan Pejabat Wilayah Asia Timur dan Pasifik UNICEF pada 2023.
Menurut ILO, kanak-kanak bekerja di ladang kerana keluarga mereka menghadapi masalah kewangan disebabkan gaji yang rendah dan tekanan untuk meningkatkan pengeluaran buah sawit, sekaligus akses mereka terhad kepada pendidikan formal dengan ketiadaan perlindungan kanak-kanak di ladang kelapa sawit memburukkan lagi keadaan.
Timbalan Pengarah Serantau ILO untuk Asia dan Pasifik Panudda Boonpala berkata, “Buruh kanak-kanak merupakan satu penyalahgunaan hak asasi manusia yang teruk dan satu bentuk eksploitasi buruh di peringkat global dan nasional.”
"Ia bukan sahaja menghalang kanak-kanak daripada mengakses pendidikan yang mereka perlukan untuk masa depan malah menghalang kanak-kanak yang lebih tua daripada memperoleh kemahiran yang boleh meningkatkan kebolehpasaran mereka," tambahnya lagi.
Tawau mempunyai kawasan ladang kelapa sawit ketiga terbesar di Sabah, dengan lebih 232,000 hektar, demikian menurut perangkaan Jabatan Pertanian Sabah 2018.
Sabah merupakan negeri pengeluar minyak sawit terbesar di Malaysia, menyumbang lebih satu perempat daripada jumlah bekalan minyak sawit negara pada 2019, menurut laporan 2021 World Wide Fund for Nature. Malaysia adalah pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia.
Kebanyakan kanak-kanak ini menghabiskan lebih banyak masa dengan bekerja kerana mereka tidak mempunyai akses kepada pendidikan dan juga mahu membantu ibu bapa mencapai kuota pengeluaran, kata aktivis kanak-kanak Anne Balthazar kepada BenarNews pada Rabu. "Ibu bapa memerlukan tangan tambahan untuk mencapai kuota."
Di Malaysia, individu berusia bawah 15 tahun dikategorikan sebagai kanak-kanak dan hanya dibenarkan terlibat dalam beberapa jenis pekerjaan dalam tempoh masa yang ditetapkan dan umur minimum yang dibenarkan terlibat dalam kerja ringan adalah 13 tahun di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.
Menurut undang-undang itu, kumpulan umur tersebut dibenarkan melakukan kerja ringan bersesuaian dengan keupayaan dalam perusahaan keluarganya, terlibat dengan hiburan awam berlesen, pekerjaan yang dilaksanakan di sekolah, institut latihan atau kapal latihan yang diluluskan atau ditaja oleh kerajaan dan perantis.
“Setiap kanak-kanak tanpa mengira status undang-undang mereka, mempunyai hak untuk menikmati zaman mereka dan pelbagai manfaat yang dijamin dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, kata Robert Gass, wakil Unicef di Malaysia.
"Kami percaya perubahan boleh dilakukan untuk menangani masalah kanak-kanak bekerja di ladang jika semua sektor - awam dan swasta - bekerjasama mencegah dan menangani punca yang membawa kepada buruh kanak-kanak dan menggalakkan penyelesaian apabila ia berlaku,”
Dua orang kanak-kanak menjual tisu dan kacang di kaki lima sebuah restoran di Kuala Lumpur, 11 Julai 2021. [S. Mahfuz/BenarNews]
Aktivis kanak-kanak Hartini Zainudin semasa dihubungi BenarNews menyifatkan buruh kanak-kanak sebagai pemerdagangan komersial dan faktor penyumbang masalah itu adalah kemiskinan di mana banyak keluarga di kawasan ladang kelapa sawit hidup di bawah garis kemiskinan menyebabkan golongan itu terpaksa bekerja bagi membantu mengurangkan beban kewangan.
“Ramai keluarga migran dan pendatang tanpa izin bekerja di ladang sawit di mana kanak-kanak dalam keluarga itu tidak mempunyai dokumen yang sah dan sukar mendapat akses pendidikan dan perkhidmatan lain sekali gus memaksa mereka keluar bekerja,” kata beliau.
BenarNews pada Rabu telah meminta komen daripada Jabatan Tenaga Kerja Sabah mengenai projek berkenaan dan juga masalah buruh kanak-kanak, tetapi tidak mendapat respon sehingga laporan ini siarkan.
Dalam pada itu, kumpulan advokasi pendidikan tempatan berkata, kerajaan boleh membantu menangani isu buruh kanak-kanak di negeri itu dengan mendekati masyarakat yang terdedah, terutama keluarga migran.
"Walaupun undang-undang melarang buruh kanak-kanak, penguatkuasaan yang lemah antara faktor isu ini berterusan," kata penyelaras Persatuan Cahaya Asrin Utong kepada BenarNews.
“Kanak-kanak terdedah kepada keadaan kerja yang teruk, tempoh kerja yang panjang, dan dibayar gaji minimum. Mereka sering dilucutkan hak mereka untuk pendidikan dan zaman kanak-kanak yang selamat dengan motif utama di sebalik eksploitasi ini adalah keuntungan, di mana majikan berusaha untuk meminimumkan kos apabila menggaji buruh kanak-kanak yang murah,” katanya.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Sabah pula menyatakan komitmen untuk mengumpul data yang lebih komprehensif dalam memahami masalah buruh kanak-kanak bagi menanganinya secara lebih berkesan.
"Kami terus memperjuangkan penguatkuasaan undang-undang perlindungan kanak-kanak sedia ada di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan pelaksanaan langkah baharu untuk menjaga kebajikan semua kanak-kanak," kata ketua penolong setiausahanya, Alfonso Min.