Malaysia: Jangkitan Harian COVID-19 Naik Mendadak Melebihi 5,000 Kes

Perintah Kawalan Pergerakan bermula awal bulan gagal membendung penularan wabak kerana tidak ketat, kata pakar kesihatan.
Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-01-29
Share
Malaysia: Jangkitan Harian COVID-19 Naik Mendadak Melebihi 5,000 Kes Pekerja lelaki kilang Top Glove Corp Bhd balik ke asrama penginapan pekerja setelah membeli barang keperluan dapur selepas pulang dari kerja di Klang, Selangor, 17 November 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia merekodkan kenaikan mendadak penularan COVID-19 pada Jumaat apabila kes baharu yang direkodkan memecah tanda aras 5,000 menjadikan jumlah kes kumulatif melebihi 200,000.

Kenaikan itu berlaku seminggu sebelum perintah berkurung yang kini dikenakan hampir di setiap negeri seluruh Malaysia bagi mengekang penularan wabak itu dijadualkan tamat.

Seorang bekas pegawai tinggi Kementerian Kesihatan berkata perintah berkurung yang dinamakan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu tidak berkesan bagi mengurangkan jangkitan koronavirus kerana tidak seketat langkah yang diambil kerajaan ketika negara mula-mula dilanda COVID-19 di mana sektor perniagaan ditutup selama hampir dua bulan.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata sejumlah 5,725 kes positif COVID-19 direkodkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam pada Jumaat, dengan lebih setengah daripada jumlah itu dilaporkan di Selangor dan 16 kes kematian baharu turut dicatatkan.

“Kes positif baharu yang direkodkan adalah sebanyak 5,725 termasuk tujuh kes import, dengan ini, jumlah kes aktif di seluruh negara kini adalah sebanyak 45,478 kes," kata beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Putrajaya pada petang Jumaat.

Menurut pihak berkuasa kesihatan itu, jangkitan harian 5,725 kes yang dicatatkan itu adalah kes harian tertinggi yang pertama direkodkan di negara itu, selepas 4,275 kes jangkitan, pada 23 Januari lalu.

Noor Hisham berkata, Selangor merupakan negeri yang merekodkan kes harian baharu tertinggi pada Jumaat, dengan jumlah sebanyak 3,126 kes diikuti Kuala Lumpur (687), dan Johor (684).

Kenaikan mendadak itu berlaku semasa semua negeri di Malaysia, kecuali Sarawak, dikenakan PKP yang bermula di enam negeri pada 13 Januari sebelum ia diperluaskan kepada hampir seluruh negara ekoran kenaikan kes.

Walaupun Sarawak terkecuali daripada perintah berkurung itu, daerah Sibu di negeri itu, telah diarah berada dalam PKP bermula 16 Jan selepas KKM mendapati kes positif terus menunjukkan peningkatan di kawasan berkenaan.

PKP kali ini juga dikenali sebagai PKP 2.0 kerana ia adalah kali kedua langkah pencegahan yang ketat itu dikuatkuasakan di Malaysia, dengan yang pertama pada 18 Mac tahun lepas.

PKP kali ini menyaksikan Putrajaya mengembalikan larangan ke atas perjalanan rentas negeri dan daerah, serta arahan ketat ke atas semua penduduk supaya duduk di rumah masing-masing dengan hanya mereka yang mempunyai surat kebenaran bekerja dibenarkan melakukan perjalanan melebihi 10 kilometer dari kediaman.

Kelonggaran diberikan kepada mereka yang ingin membeli barangan keperluan serta beberapa aktiviti lain termasuk jogging juga dibenarkan tetapi dengan syarat tertentu.

PKP tidak ketat

Christopher Lee, seorang pakar penyakit berjangkit dan pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia berkata, bilangan kes terus meningkat semasa PKP 2.0 kerana ia tidak dilaksanakan dengan ketat seperti yang dibuat kerajaan pada tahun lepas.

Kata beliau, banyak sektor ekonomi terus berjalan berbanding PKP pertama yang menyaksikan perniagaan tidak langsung dibenarkan beroperasi.

"Ianya jelas, selepas 16 hari PKP dilaksanakan, kes terus meningkat. PKP 2.0 tidak mencapai objektif yang diinginkan, ini adalah kerana PKP 2.0 kurang ketat berbanding PKP terdahulu. Walaupun aktiviti keagamaan dan sosial disekat, banyak sektor ekonomi terus dibuka tidak seperti PKP 1.0," kata beliau ketika dihubungi BeritaBenar.

Lee turut menunjukkan mengenai penemuan kluster jangkitan baharu oleh KKM, di mana kebanyakannya adalah kluster yang berkaitan dengan tempat kerja berbanding kluster jangkitan dalam komuniti.

"Seperti dilaporkan oleh kementerian beberapa hari lalu, 15 daripada 17 kluster baru adalah kluster berkaitan tempat kerja dan jelas menunjukkan bahawa kita memerlukan polisi pencegahan di tempat kerja yang lebih efektif, serta saringan yang kerap ke atas pekerja terutama mereka yang berada di dalam sektor di mana penjarakan fizikal adalah sukar dilaksanakan," tambah beliau.

Untuk rekod, pada Jumaat KKM mengumumkan penemuan 12 kluster baharu, dengan 10 daripadanya adalah kluster tempat kerja.

Sehari sebelum itu, lima daripada sembilan kluster baharu adalah berkaitan tempat kerja dan pada Rabu pula, KKM mengumumkan 17 kluster baharu, dengan 15 daripadanya adalah kluster tempat kerja.

Kluster Teratai yang melibatkan pekerja sebuah kilang sarung tangan di Selangor juga adalah kluster jangkitan COVID-19 yang terbesar di Malaysia setakat ini, dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 7,092.

Persoal rasional

Kebimbangan mengenai penularan koronavirus di kalangan pekerja sebelum ini juga pernah disuarakan oleh ketua pembangkang, Anwar Ibrahim yang mempersoalkan rasional kerajaan dalam membenarkan kilang dan syarikat besar terus beroperasi ketika PKP.

"Tindakan kerajaan untuk tidak menutup sektor yang mempunyai kadar jangkitan tertinggi hanya akan melanjutkan tempoh PKP, sambil mengesankan jutaan warga yang lain yang sedang memainkan peranan masing-masing dalam membendung penularan wabak ini.

"Kedua, kita kini di bulan kedua belas sejak permulaan pandemik sejak diumumkan PKP di Malaysia. Kadar penularan yang tinggi di kalangan pekerja asing telah dikenalpasti sekurang-kurangnya empat bulan yang lalu, berkemungkinan lebih.

“Terdapat banyak laporan yang menyatakan berlakunya pelanggaran SOP di dorm (asrama) pekerja asing. Mengapa syarikat-syarikat dan kilang-kilang ini masih dibenarkan beroperasi tanpa dikenakan hukuman?," kata Anwar di dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.

Kenyataan Anwar itu dikeluarkan susulan kebocoran satu surat oleh Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (Eurocham) terhadap ahli-ahlinya baru-baru ini, yang menyenaraikan beberapa syor oleh Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI), yang antara lainnya menggesa semua ahli Eurocham menyertai usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, dan memberi amaran bahawa kerajaan akan melaksanakan PKP lebih ketat selepas 4 Februari, sekiranya kadar jangkitan tidak berkurangan.

Pada 25 Januari, Noor Hisham dilaporkan memberitahu media bahawa kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh PKP melebihi empat minggu kerana impaknya terhadap ekonomi, dan akan menggantikan dengan PKP Bersyarat, iaitu satu lagi bentuk kawalan tetapi dengan syarat yang longgar berbanding PKP secara penuh.

Ketika itu Noor Hisham berkata bahawa dengan PKP dan diikuti oleh PKPB selama tiga bulan lagi, mereka menjangkakan bahawa jumlah kes dapat dikawal sebelum diturunkan ke paras dua digit pada bulan Mei ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh