Follow us

KL, Putrajaya, Selangor Berada Dalam Perintah Kawalan Pergerakan Mulai Rabu

Ray Sherman & Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-10-12
E-mel
Komen
Share
Anggota Angkatan Tentera Malaysia lengkap bersenjata mengawal di sekitar bangunan Selangor dan Malayan Mansion selepas Putrajaya mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat bagi memutuskan rantaian COVID-19 di Kuala Lumpur, 15 April 2020.
Anggota Angkatan Tentera Malaysia lengkap bersenjata mengawal di sekitar bangunan Selangor dan Malayan Mansion selepas Putrajaya mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat bagi memutuskan rantaian COVID-19 di Kuala Lumpur, 15 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Ibunegara Kuala Lumpur, pusat pentadbiran Putrajaya dan negeri Selangor sekali lagi akan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula Rabu, langkah yang diambil kerajaan bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 susulan jumlah kes positif harian baharu yang naik secara mendadak, demikian menurut Menteri Kanan Keselamatannya.

Ismail Sabri Yaakob berkata Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin telah membuat keputusan yang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan mula dikenakan di seluruh negeri Sabah pada Selasa manakala bagi Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya mulai Rabu.

"Selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan yang berlaku dibeberapa kawasan dan daerah, seperti di Klang, Daerah Petaling serta Gombak, sidang khas MKN hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB.

“PKPB di seluruh Sabah akan berkuatkuasa pada Selasa sehingga 26 Oktober 2020, manakala di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa mulai 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020," kata Ismail Sabri dalam siaran langsung yang disiarkan menerusi laman media sosial rasmi Facebook Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata perintah terbaharu itu akan menyaksikan semua sektor ekonomi terus dibuka manakala pergerakan rentas sempadan dan negeri, aktiviti sosial, riadah dan sukan serta kenduri perkahwinan tidak dibenarkan selain pusat ibadah, pusat pengajian bagi semua peringkat turut diarahkan ditutup.

Katanya mereka yang perlu merentas daerah untuk bekerja perlu menunjukkan surat majikan atau pas kerja bagi melepasi sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa, dengan hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

Tambahnya, senarai prosedur operasi standard dan perincian mengenai PKPB itu akan diumumkan MKN dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah pada satu sidang media berasingan berkata langkah "drastik" untuk mengenakan PKPB di beberapa kawasan dan negeri itu perlu dibuat segera bagi membendung peningkatan mendadak jumlah jangkitan kes harian.

"Kita tidak lagi hanya boleh melihat dan menunggu zon-zon kuning menjadi merah untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan...  Penilaian risiko sama ada teruk atau tidak dengan keadaan situasi pandemik di sesebuah negeri itu, bukan sekadar kepada bilangan kes positif tetapi corak penularan jangkitan yang sedang berlaku juga perlu diberi perhatian.

“Kita berharap ini adalah keputusan yang betul dan langkah mengadakan semula PKP di beberapa kawasan dan negeri akan membuahkan hasil di antara dua ke tiga minggu akan datang," kata Noor Hisham.

Malaysia pada Isnin merekodkan sejumlah 563 kes harian baharu COVID-19, dengan jumlah kumulatif positif jangkitan mencecah 16,220, dua kematian baharu turut dicatatkan sekaligus seramai 159 kematian akibat pandemik berkenaan di negera tersebut.

Pusat Maklumat Koronavirus Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat pula mengeluarkan statistik yang menunjukkan sejumlah 37.6 juta kes jangkitan dengan lebih 1 juta kematian akibat COVID-19 direkodkan di seluruh dunia.

Sabah mencatatkan rekod tertinggi kes harian pada Isnin dengan sebanyak 291 kes, dan penambahan jumlah itu menjadikannya negeri tertinggi dalam senarai jumlah kes aktif COVID-19 di Malaysia, iaitu sebanyak 3,074 kes.

Ismail turut mengumumkan yang seluruh negeri Sabah akan diletakkan di bawah PKPB bermula Selasa dengan seebelum ini, hanya beberapa daerah sahaja di negeri itu seperti Lahad Datu, Tawau, Kunak, Semporna, Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan berada dalam perintah seakan berkurung itu.

Susulan daripada jumlah kes yang tinggi di Sabah, Kementerian Kesihatan Singapura telah mengumumkan bahawa semua pengembara yang memasuki republik itu bermula 14 Oktober (Rabu) dan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah diwajibkan menjalani kuarantin di rumah atau fasiliti kerajaan selama 14 hari.

"Ini juga terpakai kepada mereka yang menetap di Singapura dan ingin kembali ke Singapura di bawah Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), serta rakyat Malaysia dan penduduk tetap yang memasuki Singapura di bawah Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

"Kami memantau rapi situasi di negeri-negeri lain dan wilayah persekutuan, termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya. Buat masa ini, semua pengembara dari bahagian lain di Malaysia (kecuali Sabah), akan tetap menjalani perintah kuarantin di rumah selama tujuh hari," kata kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura di laman webnya.

Petugas Tambahan KKM

Sementara itu, KKM sedang berusaha untuk mengumpul kira-kira 1,899 petugas kesihatan tambahan secara kontrak untuk ditempatkan di barisan hadapan bagi mengukuhkan lagi operasi menghadapi pandemik, demikian kata Menteri Kesihatan Malaysia.

Adham Baba dalam satu kenyataan media pada Isnin berkata antara petugas tambahan yang diperlukan ialah pegawai penyelidik, jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, juruteknologi makmal perubatan, dan pembantu tadbir.

Katanya, kesemua mereka akan ditempat di barisan hadapan seperti di hospital, klinik kesihatan, makmal, pejabat kesihatan daerah, Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis, serta fasiliti-fasiliti kuarantin di seluruh negara serta pintu-pintu masuk negara.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bagaimanapun menyatakan rasa terkejutnya dengan pengumuman kerajaan untuk mengenakan PKPB di seluruh negeri itu di mana menurut beliau  hanya beberapa daerah sahaja yang menunjukkan jumlah kes COVID-19 yang membimbangkan.

"Pengumuman PKPB di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya oleh Menteri Kanan Pertahanan sebentar tadi agak mengejutkan Kerajaan Negeri kerana keputusan mesyuarat tadi menunjukkan hanya Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling yang mempunyai bilangan kes yang membimbangkan," kata beliau.


Lihat Laman Penuh