Follow us

COVID-19: Kemasukan Pemegang Pas Warga Asing Dari Tiga Negara Disekat

Nisha David & Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-09-01
E-mel
Komen
Share
Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan kerja-kerja pembersihan nyah-cemar COVID-19 di sekitar Kuala Lumpur, 2 April 2020.
Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan kerja-kerja pembersihan nyah-cemar COVID-19 di sekitar Kuala Lumpur, 2 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Putrajaya mengambil keputusan untuk memperketatkan lagi pintu sempadan negaranya dengan menyekat kemasukan warga asing daripada India, Indonesia dan Filipina yang memegang Pas Jangka Masa Panjang Malaysia berkuatkuasa 7 September ini dalam usahanya menghalang penularan COVID-19 ekoran kenaikan mendadak kluster rakyat asing di negara itu.

Pengumuman mengenai sekatan terbaru kerajaan itu dibuat oleh Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob pada Selasa, kira-kira seminggu sebelum dikuatkuasakan merangkumi enam kategori dan dilihat sebagai bersifat sementara.

"Mengambil kira peningkatan kes yang mendadak di beberapa negara, maka Mesyuarat Khas Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada Selasa telah membuat keputusan untuk mengenakan sekatan kemasukan kepada pemegang Pas Jangka Masa Panjang bagi warganegara India, Indonesia dan Filipina.

“Sekatan ini akan bermula pada Isnin, 7 September, 2020 akan merangkumi enam kategori, iaitu melibatkan mereka yang berstatus pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen, pasangan dan anak kepada warga Malaysia serta pelajar. Keputusan ini diambil atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan kes import COVID-19 dalam negara," kata Ismail pada sidang media harian di Putrajaya.

Beliau berkata sekatan itu sekaligus tidak akan membenarkan warga asing dari tiga negara tersebut yang kembali ke negara asal untuk memasuki Malaysia, walaupun mereka adalah pemegang pas-pas berkenaan.

Angka terkini yang dikeluarkan oleh KKM merekodkan 14 kes baharu positif COVID-19 bagi Malaysia dengan jumlah keseluruhan menjadikannya sebanyak 9,354 kes dengan 128 kes kematian.

Data pihak berkuasa kesihatan Malaysia pada Selasa juga memaklumkan bahawa lima daripada 14 kes baharu COVID-19 yang dicatatkan adalah melibatkan jangkitan luar negara atau kes import, dengan dua dari Filipina yang dikesan di Sabah, masing-masing satu kes dari Indonesia, Pakistan dan Ukraine, dengan semua kes dikesan di Selangor.

Langkah proaktif

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah memberitahu yang pihak KKM menyambut baik keputusan kerajaan melaksanakan sekatan terhadap kemasukan pemengang Pas Jangka Masa Panjang daripada tiga buah negara itu dengan berkata yang Malaysia perlu mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan jangkitan dari luar masuk ke dalam negara.

"Kita lihat negara seperti Korea telah mencatatkan dalam masa 10 hari sebanyak 2,600 kes, Sepanyol pula ada 83,000 kes, dengan India bagi tempoh 24 jam naik sehingga 76,000 kes. Dengan kebimbangan kes yang makin meningkat, kita harus berhati-hati dan perlu ambil tindakan supaya keadaan terkawal," katanya pada sidang media di pejabatnya pada Selasa.

Dalam pada itu, Noor Hisham juga berkata enam tahanan warga asing yang ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di Sabah selepas ditangkap dalam Op Benteng di sempadan antara Malaysia dan Filipina adalah kluster baharu COVID-19 yang dikesan pihak berkuasa kesihatan berkenaan.

Seramai 50 tahanan yang diberkas menerusi Op Benteng sehingga 28 Ogos telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada itu tujuh didapati positif termasuk seorang rakyat tempatan.

"Semua kes positif telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu dengan langkah pencegahan serta  kawalan jangkitan seperti proses pembersihan telah dijalankan dengan aktiviti pengesanan secara aktif serta saringan kontak rapat masih disiasat dalam mencari punca jangkitan," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan itu turut mengesahkan mengenai laporan berhubung seorang rakyat Malaysia yang positif COVID-19 di Singapura.

“Pusat Peraturan Kesihatan Antarabangsa Malaysia menerima maklumat dari kerajaan Singapura mengenai perkara itu pada 31 Ogos. Lelaki tersebut berusia 53 tahun adalah berstatus pemastautin tetap (PR) di negara berkenaan, dan pulang ke Singapura pada 17 Ogos lalu dengan menjalani kuarantin di sana. Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa Singapura sedang bekerjasama menjalankan siasatan kes utnuk mengesan kontak rapat," tambah Noor Hisham.

Menurut pakar penyakit di Johns Hopkins University yang berpusat di Amerika Syarikat, lebih 25.6 juta kes jangkitan COVID-19 dicatatkan di peringkat global dengan lebih 852,000 kematian telah direkodkan.

Lihat Laman Penuh