Lanjutan Tempoh PKPB 14 Hari Lagi di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya

Noah Lee & Nisha David
2020.10.26
Kuala Lumpur, Malaysia
201026-MY-C19.jpg Petugas kesihatan Klinik Kesihatan Daerah Petaling semasa mahu mengambil sampel 'swab test' COVID-19 daripada seorang penghuni Flat Pelangi di Kota Damansara, Selangor, 22 Oktober 2020.
[BeritaBenar/S.Mahfuz]

Malaysia pada Isnin memutuskan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya selama 14 hari lagi selepas jumlah jagkitan harian COVID-19 terus menunjukkan peningkatan sehingga mencecah angka ribuan dengan 41 peratus dikesan di lima buah penjara di negara itu.

Pengumuman mengenai lanjutan tempoh PKPB di wilayah dan negeri itu dibuat oleh Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media di Putrajaya dengan berkata Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai COVID-19 bersetuju untuk melanjutan tempoh tersebut selepas mengambil kira penilaian risiko penularan virus berkenaan.

"Penilaian risiko yang dijalankan oleh anggota Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati masih terdapat lokasi yang berisiko tinggi bagi penularan COVID-19. Mengambil kira penilaian itu, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor selama 14 hari lagi bermula 27 Oktober sehingga 9 November 2020," kata Ismail Sabri kepada media.

Perintah berkenaan yang asalnya dikenakan pada 14 Oktober lepas dijadualkan berakhir pada Selasa, yang bertujuan untuk menyekat penularan pandemik tersebut daripada semakin merebak selepas peningkatan jangkitan dikesan di beberapa kawasan dan daerah di sekitar ibu negara,  Klang, Gombak dan Selangor.

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah berkata sejumlah 1,240 kes jangkitan baharu telah dilaporkan pada Isnin dan merupakan kes harian tertinggi sejak permulaan pandemik bermula di Malaysia dengan rekod kumulatifnya sebanyak 27,805 kes.

"Sebanyak 1,240 kes baharu telah dilaporkan pada Isnin dan merupakan kes jangkita harian tertinggi sejak permulaan pandemik dengan jumlah kumulatif 27,805 kes di negara ini,” kata Noor Hisham pada sidang media di Putrajaya.

Beliau berkata, Sabah yang masih berada dalam tempoh PKPB, dengan beberapa lokasi di negeri itu berada dalam perintah berkurung telah mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 927 kes baharu.

“Negeri Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 927 kes (74.8 peratus). Jumlah ini melonjak semula berikutan kes positif di Penjara Kepayan sebanyak 439 kes dan juga berikutan lebih banyak pengesanan kes secara aktif dijalankan di negeri itu, selain mobilisasi petugas kesihatan telah banyak membantu usaha saringan di lapangan dan juga rawatan perubatan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan itu.

Beliau juga memberitahu tujuh kes kematian yang dicatatkan negara itu pada Isnin juga direkodkan di Sabah yang sekaligus membawa jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 adalah sebanyak 236 kes bagi seluruh Malaysia.

Noor Hisham berkata, sejumlah 508 kes iaitu kira-kira 41 peratus daripada 1,240 kes jangkitan harian terbaharu melibatkan Kluster Penjara yang direkodkan sepanjang tempoh 24 jam.

“Kluster Penjara bagi seluruh Malaysia mencatatkan 508 kes, dengan 493 kes adalah melibatakan Kluster Kepayan di Sabah, Kluster Seberang Perai (57 kes), Kluster Benteng Lahad Datu (7 kes), Kluster Penjara Tapah (4 kes) dan Kluster Tembok di Alor Star (1 kes). Kes-kes ini sememangnya terasing dan berada di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” tambah beliau.

Purata kes 900 sehari


Dalam tempoh 10 hari di antara 17 dan 26 Okt, BeritaBenar mendapati KKM merekodkan sejumlah 9,047 kes baru, iaitu secara puratanya sebanyak 904 kes sehari, termasuk 1,228 kes pada 24 Okt yang merupakan kali pertama jumlah kes positif harian di Malaysia mencecah empat angka.


Seorang Pakar Kesihatan Awam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sharifa Ezat Wan Puteh semasa dihubungi BeritaBenar berkata lanjutan tempoh masa PKPB dijangka dapat menurunkan bilangan kes COVID-19 tetapi kadar penurunan kes bergantung kepada bilangan kes baharu yang dikesan melalui saringan kontek rapat dan kes sporadik di dalam komuniti

Beliau turut mencadangkan supaya penduduk di kawasan Zon Merah perlu menjalani ujian saringan COVID-19 bagi mengesan virus, akan tetapi kata Sharifa, ia melibatkan kos yang sangat tinggi serta memberikan beban besar kepada makmal-makmal ujian.

"Singapura, Korea Selatan juga menjalankan saringan besar-besaran. Akan tetapi, ini bergantung kepada berapa banyak yang sanggup dibelanjakan. Kerana bagi sesetengah keadaan, keperluan logistik, rawatan dan katil Unit Rawatan Rapi juga memerlukan kos yang besar, dan negara terpaksa memilih yang mana hendak didahulukan,” tambah beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.