Calon PRU: Presiden UMNO gugur penyokong setia Perdana Menteri

Tindakan Ahmad Zahid Hamidi mengugurkan ramai penyokong PM mungkin memakan diri, kata penganalisis.
Ray Sherman & Iman Muttaqin Yusof
2022.11.02
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Calon PRU: Presiden UMNO gugur penyokong setia Perdana Menteri Presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi bercakap dengan Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri Malaysia (kanan) di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, 1 Nov., 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

UMNO, parti yang memerintah Malaysia, menggugurkan beberapa penyokong Perdana Menteri daripada senarai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dengan penganalisis melihat langkah itu menunjukkan presiden yang terpalit isu rasuah Ahmad Zahid Hamidi kini mengawal sepenuhnya parti tersebut menjelang pilihan raya umum negara pada 19 November ini.

Lazimnya, sebagai presiden parti, Ahmad Zahid akan menjadi Perdana Menteri tetapi kerana beliau sedang menghadapi perbicaraan kes rasuah, Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri semasa pergolakan politik pada tahun lepas, walaupun kedua-duanya dikatakan tidak sehaluan.

Penganalisis berkata tindakan Ahmad Zahid menggugurkan penyokong Ismail Sabri daripada senarai calon pilihan raya umum itu mungkin memakan diri sekiranya ahli-ahli parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang tidak dinamakan semula untuk mempertahankan kerusi mereka, memutuskan untuk bertindak balas.

"Ahmad Zahid sedang menunjukkan kuasanya," kata Lau Zhe Wei, seorang profesor sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BenarNews.

“Walaupun beliau tidak berada dalam kabinet dan satu-satunya presiden parti yang bukannya perdana menteri, itu tidak mengapa kerana apabila adanya pilihan raya, tanda tangan beliau yang penting sebagai pembuat keputusan.”

Ahmad Zahid turut mencalonkan dirinya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk di Perak.

Lewat Selasa, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa seramai 160 calon Barisan Nasional pimpinan UMNO dari Semenanjung akan bertanding dalam pilihan raya umum itu manakala calon dari Sabah akan diumumkan dalam masa terdekat.

Senarai calon Semenanjung Malaysia merangkumi 103 wakil UMNO, 43 daripada Persatuan Cina Malaysia (MCA), 10 daripada Kongres India Malaysia (MIC) dan empat lagi adalah daripada parti lain yang bersekutu dengan BN. Tiada dalam senarai itu ialah Ahli Parlimen veteran dan penyokong setia Ismail Sabri seperti Annuar Musa dan Shahidan Kasim.

Dalam ucapannya semasa mengumumkan calon-calon berkenaan, Ahmad Zahid berkata satu daripada kriteria dalam pemilihan calon itu adalah kesetiaan.

“Ada beberapa prinsip yang kita utamakan dalam pemilihan calon. Barisan Nasional mengutamakan kesetiaan – mereka yang akan memegang amanah yang diberikan oleh rakyat dan tidak akan melanggarnya,” kata beliau.

“[Mereka yang] akan berkhidmat kepada rakyat dan menjalin hubungan baik dengan semua lapisan masyarakat untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat demi kebaikan rakyat. Mereka mewakili nilai seperti kesetiaan dan berkhidmat kepada pengundi.”

Merujuk kepada kesetiaan, Ahmad Zahid dilihat "membalas dendam" terhadap mereka yang menyokong Ismail Sabri berbanding beliau, kata Lau sambil memberitahu pada masa yang sama, presiden UMNO itu juga agak pragmatik dengan memperlihatkan bahawa beliau memerlukan calon yang boleh menang.

"Ahmad Zahid jelas mencantas mereka yang tidak menyokongnya tetapi beliau tidak berani menggugurkan kesemuanya, jadi mereka yang tidak bertindak melampau akan kekal bersamanya tetapi mereka yang melampau ... akan dicantas," kata Lau.

“Memenangi kerusi masih penting bagi Ahmad Zahid. Sebabnya, beliau pernah secara terbuka menyatakan bahawa kes mahkamahnya bergantung kepada siapa yang menang. Jadi, saya tidak fikir beliau mahu mengorbankan kerusi semata-mata dengan menggugurkan mereka.”

Ahmad Zahid sedang dibicarakan bagi 47 pertuduhan jenayah yang berkaitan dengan penyelewengan RM52.25 juta (AS$11.42 juta) daripada yayasan milik keluarganya, yang ditubuhkan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Pengkritik mendakwa Ahmad Zahid mahu mengadakan pilihan raya lebih awal – tidak seperti Ismail Sabri – kerana beliau mahu UMNO kembali berkuasa dengan cepat supaya kerajaan boleh mempengaruhi kes yang sedang dihadapinya. Perbicaraan itu, yang sedang berjalan, telah ditangguhkan sehingga Januari sementara menunggu rayuan pembelaan terhadap keputusan berkaitan kenyataan saksi.

“Jika Barisan Nasional boleh menang besar dengan majoriti dua pertiga atau 150 kerusi ke atas, jangan terkejut jika Ahmad Zahid menjadi PM. Tetapi jika mereka menang dengan majoriti tipis, tiadalah peluang untuk beliau,” kata Lau.

'Sabotaj dan balas dendam'

Sesetengah penganalisis percaya muslihat Ahmad Zahid berhubung senarai calon PRU itu boleh menjejaskan undi untuk UMNO.

Ini kerana mereka yang telah digugurkan adalah "tokoh besar dan berpengaruh," kata Jeniri Amir, felo kanan Majlis Profesor Malaysia.

Menurut ahli akademik lain, pemimpin yang digugurkan boleh cuba mensabotaj pencalonan pengganti mereka dengan bertanding sebagai calon bebas atau mewakili parti lain.

“Apabila calon yang digugurkan memilih untuk mensabotaj dan membalas dendam terhadap parti, UMNO mungkin dan boleh kehilangan undi daripada penyokong mereka sendiri,” kata Mohd. Azizuddin Mohd Sani, profesor politik di Universiti Utara Malaysia.

Shahidan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, adalah antara menteri yang dicantas daripada senarai calon PRU UMNO dan beliau telah menegaskan mahu mempertahankan kerusi parlimen yang dimenanginya empat kali sebelum ini di Perlis.

Beliau juga menggesa Ahmad Zahid meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO supaya Ismail Sabri boleh mengambil alih.

Shahidan berkata: “Barisan Nasional boleh pulih jika Ahmad Zahid melepaskan jawatan dan tidak bertanding dalam pilihan raya umum.”

Tetapi, pada Rabu, Presiden UMNO itu mempertahankan senarai pemilihan calonnya dalam satu catatan media sosial.

Ahmad Zahid berkata keputusannya untuk meletakkan ramai muka baharu pada pilihan raya umum akan datang itu adalah kerana kira-kira 50 peratus pengundi Malaysia terdiri daripada mereka yang berusia di bawah 39 tahun.

“Mereka yang sudah lama menjadi wakil rakyat harus memberi peluang kepada generasi muda [bertanding],” kata Ahmad Zahid dalam laman Facebook.

"Kini apabila tiba masanya untuk mereka [generasi tua] pula tidak terpilih [bertanding], mereka haruslah menerima keputusan itu dengan berjiwa besar."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.