'Isyarat Bercanggah' Mengenai Ancaman IS, kata Penggubal Undang-undang

S. Adie Zul
2015.10.23
151023-MY-KHALID620 Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar bercakap pada sidang akhbar di Wang Kelian, dekat sempadan Malaysia-Thailand. 25 Mei 2015
AFP

Kerajaan Malaysia telah memberi mesej yang bercanggah mengenai ancaman keselamatan daripada kumpulan militan Negara Islam (IS), kata beberapa Ahli Parlimen, walaupun satu mesyuarat baru-baru ini meminta mereka mengambil perhatian serius mengenai perkara itu .

"Kerajaan tidak memberikan penerangan yang jelas mengenai ancaman IS," kata Chua Tiang Chang, seorang Ahli Parlimen pembangkang dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kepada BenarNews, yang merujuk kepada taklimat oleh Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar pada 15 Okt kepada ahli-ahli Parlimen mengenai IS.

Dalam taklimat itu, mereka (polis) memberitahu kami bahawa ancaman itu sangat serius kerana militan IS sedang merancang untuk menyerang rumah ibadat, kediaman Perdana Menteri, dan disamping itu pula, begitu ramai rakyat kita dipujuk menyertai gerakan pengganas itu, katanya.

Mereka (polis) berkata kumpulan militan IS berada di mana-mana dan mereka mengumpulkan  kesemua kumpulan (militan) di bawah satu kategori. Bagaimanapun, polis tidak cuba pula menjelaskan kepada kami siapakah pengganas sebenarnya, kata Chua.

Pada Isnin berikutnya Chua berkata, Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, memberikan mesej yang bercanggah di sesi Parlimen.

Menteri Dalam Negeri memberitahu Dewan Rakyat bahawa "kita sangat selamat, dan Malaysia adalah satu daripada beberapa negara di dunia di mana ancaman IS adalah di tahap minima," kata Chua.

"Jadi, bagaimana anda boleh mengharapkan rakyat untuk memahami (fakta) bila anda memberi isyarat berbeza (mengenai ancaman IS) bila berdepan dengan penonton atau pendengar yang berbeza? Jadi, kami agak keliru," katanya.

'Drama Kerajaan’

Pada mesyuarat 15 Oktober di Akademi Polis DiRaja Malaysia di Kuala Lumpur, Khalid cuba meyakinkan ahli-ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang bahawa kerajaan tidak membesar-besarkan amaran mengenai tahap ancaman IS tempatan.

"Sebenarnya ada ramai di antara kita, termasuk wakil rakyat, yang tidak percaya terhadap ancaman ISIS itu," The Malaysian Insider memetik Khalid sebagai memberitahu pemberita selepas taklimat itu, yang merujuk kepada IS dengan menggunakan akronim lain.

"(Mereka fikir) ancaman ISIS adalah sebahagian daripada drama dan sandiwara kerajaan. Itulah sebabnya kita telah panggil mereka supaya kita boleh memberi penjelasan, "katanya.

Pihak kerajaan telah memberi amaran bahawa IS, melalui media sosial, kini mengancam negara dengan merekrut secara agresif anak-anak muda Malaysia untuk dihantar bertempur di Syria atau Iraq. Anggota militan yang pulang dari pertempuran di luar negara pula dipercayai sedang merancang untuk melakukan keganasan di tanah air.

Zahid pula memberitahu Parlimen bahawa polis Malaysia telah menahan 132 orang yang disyaki "mempunyai kaitan dengan unsur-unsur keganasan termasuk kumpulan militan," lapor Bernama.

"Tahap keselamatan di negara ini berada pada tahap yang optimum dan ancaman keganasan dari dalam dan luar negara adalah dalam kawalan," Astro Awani memetik Zahid sebagai memberitahu Parlimen pada hari Isnin.

Pada Selasa, seorang anggota tentera  Malaysia dijatuhi hukuman tujuh bulan penjara kerana mempunyai telefon dengan imej IS,  lapor The Straits Times.

Pada Khamis, seorang pekerja syarikat minyak Indonesia didakwa di Kuala Lumpur kerana memiliki penerbitan yang berkaitan dengan Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP).

Pada Jumaat, seorang wanita Malaysia berusia 55 tahun dijatuhi hukuman 60 bulan penjara kerana memuat naik kenyataan dan dan gambar anaknya iaitu  pejuang jihad yang terbunuh di Syria, lapor Bernama.

'Ketepikan Politik'

Mahfuz Omar, seorang Ahli Parlimen pembangkang dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS),  berkata beliau tidak menafikan kewujudan ancaman IS  dan menggesa pihak berkuasa supaya memberi keutamaan kepada perkara itu.

"Bagaimanapun, apa yang kita bimbang dengan adalah kenyataan bercanggah antara Ketua Polis Negara  Khalid Abu Bakar dan Menteri Dalam Negeri," kata Mahfuz kepada BeritaBenar.

"Minggu lepas, polis tetap berkeras bahawa ancaman kumpulan militan adalah benar dan serius, bukannya tipu helah. Tetapi apabila Menteri Dalam Negeri memberi respons kepada soalan tambahan saya pada persidangan Dewan Rakyat, beliau berkata keadaan adalah terkawal dan Malaysia merupakan antara negara yang paling selamat, "kata Ahli Parlimen PAS itu.

"Kenyataan-kenyataan yang tidak konsisten itu mengutus isyarat yang bercanggah, dan kami tidak pasti yang mana satu adalah yang paling tepat."

Zahidi Zainul Abidin, seorang Ahli Parlimen dari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti yang mengetuai gabungan Barisan Nasional,  mempertahankan mesej kerajaan mengenai isu itu.

"Mempolitikkan perkara itu tidak akan membawa sebarang kebaikan," kata Zaihidi kepada BeritaBenar.

"Semua pihak perlu memahami bahawa isu ancaman IS adalah di luar jangkauan politik tetapi adalah menyedihkan melihat beberapa parti-parti pembangkang tidak berminat untuk membantu kerajaan dalam apa-apa pun."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.