AS Sekat Sarung Tangan Buatan Malaysia Susulan Bukti Wujudnya Buruh Paksa

Supermax Corp berkata telah berusaha sejak 2019 untuk memenuhi piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa.
Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-10-21
Share
AS Sekat Sarung Tangan Buatan Malaysia Susulan Bukti Wujudnya Buruh Paksa Seorang kakitangan pusat ujian menanggalkan sarung tangan getah selepas mengambil sampel ujian COVID-19 di Petaling Jaya, Malaysia, 18 Jan 2021.
[AFP]

Amerika Syarikat pada Khamis telah menyekat import sarung tangan getah keluaran Supermax dari Malaysia selepas mendakwa terdapat bukti kukuh wujudnya buruh paksa dalam operasi syarikat itu, demikian menurut kenyataan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP).

Sektor pembuatan dan kelapa sawit di Malaysia amat bergantung kepada buruh migran dan sudah lama berdepan dakwaan berlaku eksploitasi pekerja, kata penganalisis – Tahun lepas AS telah mengenakan sekatan terhadap tiga syarikat berhubung isu sama meskipun larangan itu ditarik balik pada tahun ini.

“CBP telah mengeluarkan satu WRO [perintah sekatan pelepasan] terhadap Supermax Corp Bhd dan anak syarikatnya berdasarkan maklumat munasabah yang menunjukkan bahawa ia menggunakan buruh paksa dalam operasinya. CBP telah mengenal pasti 10 indikator Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan buruh paksa semasa siasatannya,” menurut agensi itu dalam satu kenyataan.

Para pegawai di semua pelabuhan AS akan menghentikan penghantaran sarung tagan buatan anak syarikat Supermax iaitu Maxter Glove Manufacturing Sdn Bhd, Maxwell Glove Manufacturing Bhd dan Supermax Glove Manufacturing, menurut kenyataan itu.

“Sehingga Supermax dan anak syarikatnya dapat membuktikan proses pembuatannya bebas daripada buruh paksa, barangan mereka tidak dibenarkan di sini,” kata Penolong Pesuruhjaya Eksekutif di Pejabat Perdagangan CBP AnnMarie R.Highsmith dalam kenyataan itu.

Supermax telah mengeluarkan kenyataan kepada Bursa Saham Malaysia yang menegaskan bahawa syarikat itu sedang mengambil langkah segera dan wajar bagi menangani isu buruh paksa.

“Syarikat ingin mengumumkan bahawa wakil Supermax Corporation Bhd di AS sedang berurusan dengan CBP bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung WRO yang dikeluarkan serta langkah-langkah susulan,” menurut Supermax dalam kenyataan itu sambil menambah syarikat itu telah memulakan usaha pada 2019 untuk memenuhi 11 piawaian ILO berhubung pekerja migran.

Piawaian terbabit termasuk sekatan pergerakan, keganasan fizikal dan seksual, intimidasi dan ancaman, penyimpanan dokumen pengenalan diri, penahanan gaji, situasi tempat kerja dan tempat tinggal yang teruk serta kerja melebihi masa yang berlebihan.

“Kami akan mempercepatkan lagi proses untuk memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh ILO,” kata syarikat itu sambil menambah bahawa ia telah melantik sebuah firma antarabangsa pada 11 Okt untuk melakukan audit berhubung pekerja asing di kilangnya.

Supermax berkata ia menghasilakn sehingga 24 bilion sarung tangan setiap tahun yang dieksport ke lebih 160 negara. Kira-Kira 20 peratus jualan telah menembusi pasaran AS jadi syarikat itu “akan mengambil langkah untuk mengalih produk yang dijadualkan ke AS ke pasaran lain di mana yang boleh.”

“Ketika ini, kira-kira 20 peratus daripada jualan Kumpulan Supermax ialah di pasaran AS. Kami akan mengambil langkah untuk mengalihkan produk yang dijadualkan ke AS ke pasaran lain yang mana boleh.”

Menurut laporan tahunan pada 2020, Supermax mencatatkan sejumlah 2.131 bilion ringgit (AS $512 juta) keuntungan tahun lepas semasa pandemik COVID-19, yang menyaksikan peningkatan berbanding pada 2019 dengan keuntungan berjumlah RM1.538 bilion (AS $370 juta).

Selain itu, syarikat tersebut mendakwa telah memberi penekanan terhadap kesihatan dan keselamatan pekerja.

“Kami memastikan bahawa kediaman yang disediakan untuk kesemua pekerja terbabit mematuhi peraturan dan piawaian. Semua keperluan dan kemudahan lain yang diperlukan turut disediakan untuk mereka termasuk kantin yang menyediakkan makanan berkhasiat serta murah,” menurut laporan tahunan itu.

Memalukan

Seorang aktivis hak asasi migran berkata kerajaan perlu menyelaraskan undang-undang pekerjaan dan peraturan selari dengan piawaian antarabangsa.

Adrian Pereira dari Inisiatif Utara Selatan juga memberikan pandangan yang sama berhubung isu buruh paksa di Malaysia dan berkata negara itu perlu mempunyai keazaman politik untuk menyelaras undang-undang dan peraturannya agar selari dengan piawaian antarabangsa.

“Kesemua ini hanyalah sedikit daripada kegagalan Malaysia untuk merealisasikan reformasi dalam isu buruh. Ia memerlukan keazaman politik untuk menyelaras undang-undang negara agar selari dengan undang-undang antarabangsa serta amalan terbaik,” kata Pereira kepada BenarNews.

“Meskipun tindakan Amerika dialu-alukan, adalah sesuatu yang memalukan kerana Malaysia gagal menyelesaikan isu yang berlanjutan selama 30 tahun ini. Lebih teruk, kita kini adalah anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB.”

Sementara itu, seorang pakarr pekerja migran antarabangsa mencabar dakwaan Supermax berhubung kemudahan yang disediakannya. Andy Hall menggesa komuniti antarabangsa mengambil tindakan bagi memastikan kerajaan Malaysia dan syarikat swasta itu mengambil serius isu buruh paksa yang dilakukan secara sistematik.

“Pekerja tetap dan tidak tetap, yang diambil bekerja secara langsung serta melalui penyumberan luar pekerja asing di Supermax telah melaporkan kepada saya dan pasukan saya mengenai keadaan yang cukup teruk mengenai buruh paksa secara sistematik di pelbagai kilang syarikat itu selama beberapa tahun,” menurut Hall dalam kenyataan di laman Facebook.

Beliau menyalahkan kerajaan dalam isu buruh.

“Pengurusan pekerja migran di Malaysia, yang merupakan bahagian penting dalam ekonomi dan pengeluaran eksport yang berintensifkan buruh, terus tidak dikembangkan dengan rasuah secara sistematik serta kekurangan dan ketiadaan rasa hormat terhadap undang-undang,” kata Hall.

Seorang bekas menteri Kabinet Malaysia turut mengkritik kerajaan dalam isu berhubung sekatan yang dikenakan AS dan berkata para pegawai terbabit telah tidak mengendahkan amarannya berhubung isu buruh paksa.

“Saya telah membangkitkan isu ini pada April namun kerajaan gagal memberi maklum balas kepada saya,” kata M. Kulasegaran yang menyandang jawatan Menteri Sumber Manusia semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

Negara itu menjadi peneraju di dunia dalam penghasilan sarung tangan getah dan menyumbang kira-kira 65 pearatus daripada pengeluaran dunia, menurut kenyataan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia pada 2020. Supermax bukanlah syarikat pengeluar pertama dari Malaysia yang berdepan sekatan AS berhubung isu keadaan kerja.

Pada Julai 2020, CBP telah mengeluarkan WRO terhadap Top Glove selepas mendakwa terdapat bukti yang menunjukkan wujudnya indikator terdapat pelbagai isu berhubung buruh paksa dalam operasi syarikat itu. Sekatan itu telah ditarik balik bulan lepas selepas Top Glove menunjukkan penambahbaikan sebagai respons kepada WRO termasuk mengeluarkan belanja lebih $30 juta sebagai bayaran pemulihan kepada pekerja selain memperbaiki situasi di tempat kerja dan kediaman di kemudahan syarikat itu.

Sebelum ini, CBP turut mengeluarkan WRO terhadap sebuah lagi syarikat pengeluar sarung tangan getah iaitu WRP Asia Pacific Sdn Bhd pada September 2019. Ia bagaimanapun telah ditarik balik pada Mac 2020.

Hadi Azmi dan Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh