Amerika Syarikat tarik balik sekatan import produk minyak sawit konglomerat Malaysia
2023.02.03
Kuala Lumpur
Amerika Syarikat pada Jumaat menarik balik sekatan ke atas konglomerat pengeluar minyak sawit Malaysia, Sime Darby, setelah mendapati syarikat berkenaan tidak lagi mengamalkan buruh paksa dalam proses pengeluarannya.
Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) berkata perubahan ke atas status produk Sime Darby susulan “kejayaan mengagumkan” dalam agenda mengekang persekitaran kerja yang menekan.
“Dengan kebimbangan buruh paksa ditangani, CBP membenarkan minyak sawit dan produk derivatif Sime Darby Plantation Berhad ke AS,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
“Berkuat kuasa serta-merta, AS akan membenarkan penghantaran yang mengandungi minyak sawit dan derivatif keluaran Sime Darby memasuki perdagangan AS, dengan syarat import tersebut mematuhi undang-undang AS.”
Ini bermakna CBP mengubah suai penemuan awalnya pada Disember 2020, yang menyatakan bahawa "penyiasatan secara munasabah menunjukkan kehadiran semua 11 tanda aras buruh paksa" seperti ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam proses pengeluaran syarikat.
Antara tanda aras berkenaan termasuk kekangan pergerakan, keganasan fizikal dan seksual, ugutan dan pemerasan, penahahan dokumen pengenalan diri, menahan bayaran upah, serta waktu kerja lebih masa yang berlebihan. Statut persekutuan AS melarang pengimportan barangan yang dikeluarkan oleh buruh paksa dan inden, termasuk buruh kanak-kanak.
"Kami melihat setiap pengubahsuaian sebagai kejayaan yang luar biasa," kata Pemangku Pesuruhjaya CBP Troy Miller dalam kenyataan pada Jumaat.
“Mandat kami sebagai sebuah agensi adalah melarang buruh paksa daripada memasuki perdagangan AS. Dalam senario terbaik, penguatkuasaan kami memberi kesan kepada pemulihan buruh paksa untuk membantu memperbaiki keadaan hidup dan bekerja untuk pekerja di seluruh dunia, seperti yang berlaku dalam kes ini."
Beribu pejabat di negeri Selangor, Sime Darby menggaji lebih 20,000 pekerja. Industri minyak sawit Malaysia berintensif buruh yang mempunyai tenaga kerja lebih 300,000 pekerja asing, kebanyakannya dari Bangladesh, India, Indonesia, Myanmar dan Nepal, menurut agensi berita Reuters.
Optimis
Dalam reaksi mengenai langkah terbaharu agensi kastam AS itu, Sime Darby dalam jawapan melalui email kepada BenarNews berkata, firm itu sedia maklum mengenai notis yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa itu.
“Kami optimistik yang kemajuan mengkagumkan yang telah kami capai dalam memperkasakan kualiti hidup tenaga buruh kami akan diiktiraf oleh CBP dan kami akan dibenarkan meneruskan ekspot ke Amerika Syarikat,” ujar jurucakapnya kepada BenarNews.
Sime Darby dalam kenyataan berasingan pula menyifatkan keputusan CBP itu sebagai pengiktirafan kepada usaha firma tersebut “dalam tempoh dua tahun Sime Darby telah meneliti semula, menyemak dan menambahbaik protokol-protokol berkaitan pengambilan, pengurusan dan perhubungan tenaga kerja buruhnya.”
“Kami telah memberikan lebih daripada 500,000 jam bagi menjalankan penelitian dan menyemak semula apa yang telah sedia wujud. Bagi memastikan perubahan itu disambut dan menyusup sehingga ke akar umbi, kami telah memperkenalkan kaedah bagi memperkasa para pekerja kami. Perlindungan itu perlu diwujudkan bagi melindungi mereka yang lemah.”
Februari tahun lepas, Sime Darby telah melantik konsultan bebas perdagangan beretika untuk mengaudit fasiliti pengeluarannya dan susulan itu, memperuntukan AS$20 juta untuk membayar pampasan kepada bekas pekerja dan pekerja migrannya yang telah membayar yuran pengambilan kerja bagi mendapatkan pekerjaan di firma tersebut berikutan kebimbangan mengenai amalan buruhnya.
Sime Darby adalah antara lapan firma berpangkalan di Malaysia yang telah disekat oleh pihak berkuasa AS susulan dakwaan amalan buruh paksa sejak empat tahun lalu.
Pada tahun 2021, Malaysia mengumumkan perancangan kerajaan untuk membanteras amalan yang menekan pekerja antaranya ikatan hutang, tempat tinggal yang tidak bersih kepada para pekerja, serta kerja lebih masa yang berlebihan, menjelang 2030.
Sehingga berita ini disiarkan, BenarNews telah cuba mendapatkan reaksi daripada Kementerian Sumber Manusia, namun belum mendapat maklumbalas.
Andy Hall, pakar hak asasi buruh dan pekerja migran di Asia Tenggara, berkata keputusan CBP untuk menarik balik sekatan mengesahkan bahawa isu amalan buruh paksa dalam operasi di Sime Darby tidak lagi wujud.
“Sime Darby telah menambahbaik pengurusan dan perlindungan kepada para buruhnya, sebahagiannya hasil daripada tindakan sekatan dagangan oleh AS.
“Bagaimanapun pastinya, situasi merentasi rantaian operasi, industri minyak sawit serta Malaysia secara keseluruhannya kekal berisiko tinggi dan perlu diuruskan dan dipantau secara berterusan berikutan latar belakang situasinya,” kata Hall memberitahu BenarNews pada Jumaat.
Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.