Follow us

Jabatan Kastam AS: Belum Ada Garis Masa Selesai Isu Sekatan Import Top Glove

Nani Yusof
Washington
2020-08-11
E-mel
Komen
Share
Pengarah Urusan Lee Kim Meow bercakap dengan wartawan di Ibupejabat Top Glove di Shah Alam, Malaysia, 11 Ogos 2020.
Pengarah Urusan Lee Kim Meow bercakap dengan wartawan di Ibupejabat Top Glove di Shah Alam, Malaysia, 11 Ogos 2020.
[Reuters]

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) berkata pihaknya tidak akan mengubah atau membatalkan Perintah Menahan Pelepasan (WRO) terhadap pengeluar sarung tangan pakai buang terkemuka dunia, Top Glove atau mempunyai garis masa bagi menyelesaikan isu sekatan import yang dikenakan itu, walaupun sudah menerima petisyen awal daripada syarikat Malaysia terlibat.

Jurucakap agensi kastam AS semasa dihubungi bagaimanapun berkata Top Glove perlu memberikan lebih banyak maklumat dan bukti yang menunjukkan kebolehterimaan barang dagangan keluaran syarikat terbabit

"CBP tidak dapat menetapkan garis masa untuk menyelesaikan masalah buruh paksa yang dikenal pasti itu. CBP tidak akan mengubah atau membatalkan Perintah Menahan Pelepasan (WRO) sehingga ia menerima bukti yang menunjukkan kebolehterimaan barang dagangan terbabit,” kata jurucakap itu dalam e-mel maklum balas kepada BeritaBenar.

Pada Isnin, Top Glove berkata syarikat berkenaan telah membuat pembayaran balik pertama yuran berjumlah RM4.4 juta, iaitu sebahagian daripada pakej RM53 juta (AS$12.5 juta) yang perlu dibayarnya kepada kakitangan migrannya, untuk dikeluarkan daripada sekatan import hampir sebulan yang dikenakan agensi kastam AS, selepas dipercayai syarikat terlibat dalam salahlaku buruh paksa

“Top Glove dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa hari ini telah membuat pembayaran pemulihan pertama sebanyak RM4.4 juta untuk pekerja migran yang menyertai syarikat sebelum pelaksanaan Dasar Pengambilan Sifar Kos pada Januari 2019. Jumlah bayaran pemulihan yang akan dibayar dianggarkan berjumlah RM53 juta ($12.6 juta) tertakluk kepada penyelesaian berkaitan CBP AS.

"Pada masa yang sama, Top Glove terus berbincang dengan CBP AS bagi menyelesaikan WRO dengan secepat mungkin," kata syarikat itu yang mempunyai lebih 20,000 pekerja dan menghasilkan kira-kira 80.2 billion keping sarung tangan setiap tahun.

Pada 15 Julai lepas pihak berkuasa kastam AS telah mengeluarkan notis di laman sesawangnya mengumumkan mengenai WRO terhadap Top Glove Sdn Bhd dan anak syarikatnya TG Medical Sdn Bhd, dengan perintah itu tidak menjejaskan pengeluaran sarung tangan peralatan perlindungan diri yang dikeluarkan oleh Top Glove di Thailand.

Selepas mengumumkan sekatan import barangan itu, pegawai kastam AS pada 17 Julai lalu menyatakan bahawa mereka mempunyai bukti mengenai adanya kerja secara paksa termasuk tunggakan hutang, kerja lebih masa yang melampau, penyimpanan dokumen pengenalan diri serta keadaan tempat kerja dan tempat tinggal yang buruk.

"Barang import yang dihasilkan secara paksaan boleh menimbulkan risiko signifikan bagi pengguna dan korporat, kerajaan, dan rangkaian bekalan ketenteraan, bermula dari masalah kesihatan dan keselamatan hinggalah kepada pelanggaran hak harta intelektual dan risiko keselamatan nasional," kata jurucakap CBP pada ketika itu.

Lanjutan tindakan tersebut, agensi kastam itu juga berkata yang ianya tidak boleh memberi waktu terperinci untuk mengatasi isu tersebut sambil meminta komuniti pelabur bertanggungjawab dalam mengenalpasti dan mengatasi risiko buruh paksa dalam rantaian bekalan mereka.

“Kami tidak boleh memberikan waktu terperinci untuk mengatasi isu tersebut dan CBP tidak akan memodifikasi atau menarik notis tersebut sehingga kami menerima bukti bahawa produk yang terkesan bebas dari elemen buruh paksa,” kata jurucakap CBP kepada BeritaBenar dari Washington pada masa itu.

Pihak berkuasa itu semasa diminta oleh BeritaBenar memberi maklumat lebih terperinci daripada pegawai CBP mengenai dakwaan terhadap Top Glove, termasuk di mana tempat kerja secara paksa itu berlaku, namun mereka memberikan jawaban yang lebih meluas.

"CBP mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk menyekat barangan yang dihasilkan keseluruhan atau sebahagiannya secara paksa daripada memasuki pasaran dagang AS," menurut petikan maklum balas agensi itu kepada pertanyaan lanjut ketika itu.

Terdahulu itu,  pegawai syarikat Top Glove berkata bahawa arahan tersebut adalah berkaitan dengan pekerja migran yang dipaksa membayar yuran kepada perekrut tanpa pengetahuan syarikat. Pegawai tersebut menyatakan bahawa amalan itu berakhir pada Januari 2019 apabila syarikat mula membayar yuran terbabit.

Janji selesai isu

Pegawai-pegawai Top Glove berjanji untuk menyelesaikan perkara berkenaan dalam masa dua minggu, dan menyusuli dengan satu kenyataan media pada 30 Julai yang menyatakan bahawa pihaknya telah mengadakan dialog secara "santai dan konstruktif" dengan CBP.

"Adanya kemajuan yang baik dan kami berharap dapat mencapai persetujuan mengenai pemulihan pada Ogos 2020, di mana kami merancang untuk segera membuat pembayaran pemulihan. Ini akan membolehkan kami untuk terus menyampaikan sarung tangan kami terutamanya kepada petugas barisan hadapan yang keselamatan dan nyawa mereka berada dalam keadaan risiko semasa waktu kritikal ini,” kata pegawai syarikat itu.

Ketika pandemik COVID-19 berlanjutan, Top Glove mula menghasilkan pelitup separuh muka dan merancang untuk mengeluarkan pakaian perubatan dan sanitiser, lapor agensi berita Reuters, dan menambah bahawa syarikat itu berusaha untuk mengeksport pelitup separuh muka dalam beberapa bulan ini.

Pengarah Urusan syarikat itu Lee Kim Meow memberitahu Reuters pada Selasa bahawa syarikatnya ingin menjadi "pusat sehenti bagi kawalan jangkitan."

Satu lagi pengeluar sarung tangan getah Malaysia, WRP Asia Pacific Sdn Bhd, dikenakan WRO berikutan masalah buruh paksa pada  September 2019. Arahan itu ditarik balik pada  Mac selepas syarikat itu menangani masalah yang menjadi kebimbangan AS itu, menurut laman web agensi kastam berkenaan.

Pada bulan yang sama, syarikat-syarikat pengeluar sarung tangan Malaysia merayu kerajaan untuk mengecualikan mereka daripada perintah kawalan pergerakan berikutan penularan COVID-19 di seluruh negara, dengan mengingatkan bahawa adanya "kekurangan yang kronik" di tengah-tengah peningkatan permintaan bagi produk itu.

Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia yang mengeluarkan kenyataan pada masa itu mendakwa bahawa ahli-ahlinya dijangka dapat menghantar 225 bilion sarung tangan perubatan atau kira-kira 65 peratus daripada keperluan dunia iaitu sebanyak 330 bilion pada tahun ini.

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut membantu kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh