Malaysia Tarik Balik Larangan Terhadap Ceramah Dr Zakir Naik

Hata Wahari
2016.04.12
Kuala Lumpur
160412/150812 Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang baru dilantik, Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. 28 Jul 2015.
AFP

Kerajaan Malaysia telah menarik balik larangan ceramah pendakwah kontroversi Islam dari India Dr. Zakir Naik yang dijadual berlangsung pada Ahad ini, sehari selepas ia membatalkannya, dengan syarat tajuk perbincangan ditukar, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa.

Forum yang akan diadakan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kini diberi tajuk baru iaitu ‘Hak Wanita Didalam Islam”, selepas satu pertemuan antara Ahmad Zahid dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim dan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar di adakan di Putrajaya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan memutuskan untuk membenarkan ceramah itu dengan syarat tajuk program yang menerima bantahan daripada kumpulan Hindu ditukar.

Ahmad Zahid berkata, atas kompromi daripada pihak penganjur, kerajaan mengambil keputusan sebaliknya hari ini (Selasa)  kerana ia berpendapat bahawa majlis agama harus digalakkan dan diraikan.

“Tindakan Ketua Polis Negara membatalkan ceramah bertajuk “Persamaan Antara Hindu dan Islam” semalam adalah berdasarkan kepada aduan daripada pelbagai pihak yang bukan sahaja daripada masyarakat beragama Hindu tetapi juga daripada pemimpin agama Islam,” katanya seperti dilaporkan media tempatan pada Selasa.

Pada Isnin, Khalid meminta penganjur membatalkan ceramah yang dijadualkan itu dengan alasan ia boleh menjejaskan sensitiviti agama dalam masyarakat berbilang bangsa di Malaysia, yang agama rasminya adalah Islam.

Selepas penarikan balik itu, Khalid pada Selasa mengeluarkan satu kenyataan menegaskan bahawa polis tidak pernah mempertikaikan kewibawaan dan ketokohan Dr Zakir Naik dalam hal ehwal agama.

“Keputusan untuk tidak membenarkan forum itu di Melaka diteruskan atas sebab-sebab keselamatan berpandukan tajuk forum itu sendiri yang boleh dimanipulasi sehingga membangkitkan kontroversi keagamaan.

“Polis tidak menghalang sebarang bentuk wacana ilmiah atau program intelektual yang boleh mengukuhkan pembangunan rohani masyarakat namun pihak penganjur program-program sedemikian harus memastikan tajuk dan pengisiannya tidak mengundang sebarang kegusaran di kalangan masyarakat,” katanya.

Khalid dalam kenyataan itu turut menegaskan bahawa keputusan polis itu diambil berlandaskan aspek keselamatan demi mengekalkan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim mengesahkan program ceramah Zakir bertajuk ‘Is The Quran God’s Word?’ di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini akan diteruskan.

'Ambil peluang'

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd. Noor memberitahu BeritaBenar rakyat Malaysia daripada pelbagai agama wajar mengambil peluang daripada kehadiran tokoh perbandingan agama tersebut untuk memahami ajaran Islam dengan lebih tepat dan mendalam.

“Rakyat Malaysia terlalu ‘berlebih-lebihan’ dalam memahami sensitiviti agama sehingga menghalang memahami agama lain, padahal ia dapat membantu kehidupan dalam suasana harmoni dan bertolak ansur serta masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

“Memahami agama lain tidak semestinya seseorang perlu menukar agamanya, tiada siapapun boleh memaksa seseorang memeluk agama yang tidak disukainya, kerana pegangan agama datangnya dari keyakinan hati seseorang,” beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof Dr. P Ramasamy pada Ahad lepas.

Ramasamy di dalam laman rasmi Facebook beliau telah menggelar Dr Zakir sebagai ‘syaitan dan penipu’ selepas mengetahui mengenai tajuk ceramah yang akan disampaikan oleh pendakwah antarabangsa itu - "Persamaan Antara Hindu dan Islam" .

Wan Salim menegaskan umat Islam Malaysia juga perlu mengambil tahu ajaran agama-agama yang lain kerana untuk memupuk hubungan baik dan harmoni antara pelbagai kaum.

'Digelar syaitan'

Sementara itu, Ramasamy telah mengeluarkan kenyataan untuk memohon maaf dan menegaskan tindakannya sememangnya tidak wajar.

"Saya percaya di dalam negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama di mana semua agama perlu diberi hormat, saya kesal penggunaan perkataan ' syaitan ' yang telah menyebabkan rasa tidak senang di kalangan umat Islam di Malaysia," katanya.

Dr Zakir, yang mengetuai Yayasan Penyelidikan Islam, sudahpun berada di Malaysia dengan ceramahnya di sebuah stadium di negeri Terengganu pada malam Ahad telah dihadiri oleh kira-kira 30,000 orang.

Beliau telah dianugerahkan tokoh Maal Hijrah, anugerah tahunan tokoh Islam utama di Malaysia, pada tahun 2013 kerana peranannya sebagai ulama Islam yang berpengaruh diperingkat antarabangsa.

Dr Zakir juga merupakan salah seorang daripada lima penerima Hadiah Antarabangsa Raja Faisal daripada Arab Saudi pada 2015 dan sebelum ini dilarang memasuki Britain dan Kanada, kerana menimbulkan kemarahan awam beberapa tahun lepas apabila beliau mendakwa ada  "kerja orang dalam” berkaitan serangan maut 9/11 di Amerika Syarikat.

Dalam satu siaran TV pada Julai 2008 pula, Zakir membayangkan bahawa kumpulan pengganas Al Qaeda tidak bertanggungjawab dalam serangan oleh pesawat yang dirampas terhadap Pusat Dagangan Dunia New York pada 11 September 2001 yang membunuh hampir 3,000 orang.




Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.