Nelayan Malaysia gesa kerajaan ambil tindakan keras terhadap penceroboh warga Vietnam

Nelayan di negeri Terengganu berkata stok sotong mereka semakin berkurangan susulan kehadiran warga asing terbabit di perairan negara.
Ahmad Mustakim Zulkifli dan Syahrin Abdul Aziz
2024.05.22
Kuala Terengganu, Malaysia
Nelayan Malaysia gesa kerajaan ambil tindakan keras terhadap penceroboh warga Vietnam Seorang penjual ikan, Mazlan Awang, memasukkan sotong ke dalam beg plastik untuk pelanggan di Pasar Payang, Kuala Terengganu, Terengganu, 13 April 2024.
[Syahrin Abd Aziz/BenarNews]

Syed Mohd Nawawi dan nelayan lain di Malaysia sudah muak.

Mereka mahu pihak berkuasa tempatan mempergiat usaha bagi membanteras kehadiran bot nelayan asing - terutama dari Vietnam - di perairan Malaysia sejak bertahun-tahun untuk menangkap sotong.

Malaysia mempunyai undang-undang yang memperuntuk hukuman berat sebagai perlindungan dalam usaha mencegah aktiviti penangkapan ikan secara haram. Ia turut memeterai MoU dengan Vietnam tiga tahun lepas bagi menangani isu ini.

Namun perkara itu tidak berupaya menghalang nelayan asing daripada terus menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit atau bertindak merasuah tekong tempatan untuk meminjamkan lesen mereka, dakwa nelayan tempatan.

Stok sotong tempatan semakin berkurangan kerana bot nelayan Vietnam menggunakan pukat besar yang boleh merosakkan dasar laut, kata Syed.

"Semua nelayan di pantai timur Malaysia benar-benar tidak mahu perkara seperti ini berlaku," katanya kepada BenarNews.

Syed menetap di Kuala Terengganu, sebuah kawasan di pantai timur Semenanjung Malaysia.

“Mereka menggunakan ‘pukat gading’ [jaring ikan besar]… peralatan yang mampu merosakkan ekosistem. Apa sahaja yang ada di bawah laut akan musnah kerana mereka menggunakan penggelek,” katanya mengenai bot Vietnam sambil menambah apabila pukat itu terkena terumbu, "ia akan memusnahkan semua batu karang dan hidupan lain."

Akibat penangkapan ikan secara haram oleh nelayan asing, Malaysia kerugian sebanyak AS$172 juta (RM823 juta) dalam sektor perikanan susulan 428 pencerobohan oleh bot bukan milik rakyat Malaysia antara tahun 2020 dan 2023, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Daripada sejumlah 19 bot nelayan asing yang dipintas dan disita oleh pihak berkuasa Malaysia dalam tempoh itu, 18 adalah dari Vietnam, kata pegawai.

Bot nelayan Vietnam telah menceroboh perairan Malaysia di Laut China Selatan selama hampir dua dekad, kata penduduk tempatan, pegawai dan pakar. Meskipun memorandum persefahaman telah dimeterai antara agensi maritim kedua-dua negara pada 2021, masalah itu berterusan.

“Pada 2022, berlaku tumpahan minyak di Teluk Thailand dan ini menyebabkan spesies ikan di kawasan berhampiran berkurangan. Secara tidak langsung, ini menyebabkan ramai nelayan dari Vietnam dan Thailand melabuhkan pukat tunda mereka di perairan Malaysia,” kata seorang pakar, Syuhaida Ismail.

Kebanyakan nelayan Vietnam akan menangkap ikan di kawasan mereka namun menghampiri perairan Malaysia selepas teknologi sonar mereka mengesan lebih banyak hasil di Malaysia. Ia lebih banyak berbanding hasil tangkapan di perairan Vietnam,” kata Syuhaida, yang juga Pengarah Penyelidikan di Institut Maritim Malaysia, kepada BenarNews.

MY-VN-squid-2.jpg

Hasil tangkapan sotong yang dijual di Pasar Payang, Kuala Terengganu, Malaysia, 13 April 2024. [Syahrin Abdul Aziz/Benarnews]

Di bawah undang-undang perikanan Malaysia, nelayan asing berdepan denda tidak melebihi RM6 juta (AS$1.28 juta) dalam setiap kes bagi pemilik bot atau tekong, dan RM600,000 (AS$128,000) bagi setiap anak kapal, jika didapati bersalah menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia.

Semasa agensi maritim Malaysia memintas bot terbabit, beberapa insiden yang tegang dan ganas telah berlaku melibatkan nelayan Vietnam.

Pada 2020, seorang anak kapal nelayan Vietnam ditembak mati oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia kapal berbendera Vietnam merempuh dan menyerang bot APMM dengan koktel Molotov dan objek keras semasa rondaan di lokasi 81 batu nautika (150 km) dari Tok Bali di negeri Kelantan, kata pegawai pengawal pantai ketika itu.

Pada Julai tahun lepas pula, seorang anggota APMM telah diserang dan cedera parah di kepala ketika memeriksa bot nelayan Vietnam di pesisir pantai Kuala Terengganu.

Menurut seorang nelayan Vietnam, keadaan hidup yang terdesak telah memaksanya menangkap ikan di perairan Malaysia, dan atas sebab-sebab keselamatan, dia meminta agar namanya tidak disiarkan.

“Kami berdepan keadaan yang amat sukar. Sebagai contoh, ketika itu sotong tidak banyak di perairan Vietnam. Tetapi ia banyak di perairan mereka. Jadi kami terpaksa memasuki perairan mereka,” katanya semasa ditemu bual oleh Radio Free Asia Vietnam, yang juga sekutu BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.