Follow us

Malaysia: Kapal Peninjau China Berada Dalam Perairan Kami

Drake Long & Nisha David
Washington & Kuala Lumpur
2020-04-17
E-mel
Komen
Share
Foto satelit ini menunjukkan kapal peninjau China Hai Yang Di Zhi 8 (sudut kiri) berlabuh di Pelabuhan Sanya di Pulau Hainan, China, 3 April 2020.
Foto satelit ini menunjukkan kapal peninjau China Hai Yang Di Zhi 8 (sudut kiri) berlabuh di Pelabuhan Sanya di Pulau Hainan, China, 3 April 2020.
(Planet Labs Inc.)

Pengawal Pantai Malaysia pada Jumaat mengesahkan perairan negaranya dimasuki sebuah kapal peninjau China dengan perisian pengesanan kapal menunjukkan ia beroperasi berdekatan dengan kapal eksplorasi kontrak Petronas, syarikat minyak negara Malaysia. Aktiviti peninjauan itu dilakukan dalam zon ekonomi eksklusif negara Asia Tenggara tersebut.

Kapal Hai Yang Di Zhi 8 meninggalkan Pulau Hainan di China pada minggu lalu, dan dikesan awal minggu ini bergerak melalui perairan Vietnam sebelum tiba pada Khamis di pesisir pantai negeri Sarawak dan Brunei. Tugasan kapal itu menujukkan isyarat terbaru jangkauan meluas Beijing merentasi Laut China Selatan, yang menjadi tuntutan banyak negara.

"Ia berada di perairan Malaysia dan tugas kami adalah untuk kekal berada di kawasan tersebut dan memantau pergerakannya," kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Mohd Zubil Mat Som kepada BeritaBenar.

"Saya tidak pasti apa tujuannya tetapi ia tidak melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang," katanya.

Mengikut undang-undang antarabangsa, kapal peninjau perlu meminta kebenaran sebelum beroperasi dalam jarak 200 batu nautika dari pantai sesebuah negara - kawasan yang biasanya disebut sebagai zon ekonomi eksklusif.

Mohd Zubil berkata demikian ketika ditanya sama ada kapal China itu berada dalam had yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara Malaysia.

Kementerian Luar Malaysia dan Brunei tidak memberi maklum balas segera apabila diminta mengulas perkara itu oleh BeritaBenar.

Perisian pengesan kapal menunjukkan Hai Yang Di Zhi 8, yang diiringi oleh kapal-kapal Pengawal Pantai China (CCG), berada dalam jarak 200 batu nautika dari negeri Sarawak di Malaysia dalam kepulauan Borneo pada Jumaat.

Selepas memasuki seketika perairan Brunei pada Khamis, kapal itu berlayar ke barat dan memulakan aktiviti peninjauan berdekatan West Capella, kapal eksplorasi yang dikontrak oleh Petronas. Pada Oktober lalu, West Capella turut menarik perhatian kapal CCG yang berada di kawasan berdekatan.

Pada Jumaat, perisian pengesanan kapal menunjukkan bahawa dua kapal CCG, Zhongguohaijing 1105 dan 4203, sedang berlayar bersama-sama kapal Hai Yang Di Zhi 8.

Sumber keselamatan Malaysia menafikan laporan bahawa kapal Hai Yang Di Zhi 8 itu disusuli oleh sebuah kapal Malaysia. Pegawai berkenaan tidak dibenarkan memberi komen mengenai perkara itu dan meminta supaya namanya tidak dinyatakan.

Tetapi, sumber itu mengesahkan apa yang ditunjukkan perisian pengesanan kapal - bahawa sebuah kapal APMM sedang melakukan rondaan di sekitarnya beberapa hari lalu.

Pada Rabu, kapal KM Pekan berada di Luconia Shoals, yang terletak di kawasan selatan di mana kapal peninjau China itu berada sekarang. Pada Jumaat, ia telah berlayar lebih jauh menuju ke arah barat.

200417-MY-SCS-map-1000.jpg

Tahun lalu, kapal Hai Yang Di Zhi 8 berada di tengah-tengah perbalahan berpanjangan antara China dan Vietnam di sebuah lagi kawasan pertikaian, Tebing Vanguard.

Dalam kejadian itu, kegiatan peninjauan tersebut didapat menyasarkan tekanan terhadap sebuah kapal eksplorasi minyak Rusia di luar kawasan berkenaan. Kapal China itu kini beroperasi di luar zon sempadan bersama Vietnam-Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada Laut China Selatan yang dituntut oleh Vietnam dan Malaysia.

Dalam laporan yang dikeluarkan pada Khamis, Inisiatif Ketelusan Maritim Asia yang berpejabat di Washington DC menyatakan bahawa China telah mengerahkan lebih banyak kapal peninjau berbanding negara-negara lain, dan terdapat hanya sedikit pebezaan di antara kapal yang terlibat dalam melakukan peninjauan awam dan kapal yang melakukannya bagi pihak tentera.

Beijing menuntut kebanyakan kawasan di Laut China Selatan yang kaya dengan mineral itu, termasuk kawasan yang hampir dengan pantai negara-negara jirannya yang lebih kecil. Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan turut mengemukakan tuntutan bertindih di kawasan perairan laut.

Malaysia, Vietnam dan Filipina secara terbuka mempertikaikan tuntutan meluas China dalam nota diplomatik dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini. China turut dikritik oleh Amerika Syarikat, yang menyatakan bahawa Beijing sedang mengeksploitasikan wabak COVID-19 untuk memperluaskan "tuntutan tidak sahnya" di Laut China Selatan.

Jurucakap kementerian luar negeri China menyatakan pada Rabu bahawa kapal Hai Yang Di Zhi 8 hanya melakukan aktiviti biasa, dan menuduh pegawai AS bertindak memburuk-burukkan Beijing, lapor Reuters.

Laporan ini dikeluarkan bersama dengan Radio Free Asia (RFA), di mana merupakan entiti BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh