Kapal Penyelamat China Menuju Terumbu Fiery Cross

Khas untuk BeritaBenar
2020.03.05
200305-MY-CH-Salellite-1.jpeg Imej satelit menunjukkan pulau tiruan yang dibina China dengan menempatkan kemudahan landasan kapal terbang dan dermaga di Terumbu Fiery Cross di mana kapal penyelamat China, Nan Hai Jui 115, ditempatkan, 23 Februari, 2020.
[Planet Labs Inc]

Sebuah kapal penyelamat China, yang baru-baru ini mendapat perhatian penuh patriotik media negara itu mula beroperasi di dalam dan sekitar Terumbu Fiery Cross, kawasan yang menjadi pertikaian antara China, Taiwan, Filipina dan Vietnam di Laut China Selatan, demikian difahamkan oleh Radio Free Asia.

Nan Hai Jiu 115, menurut panduan pengiktirafan tentera laut Pejabat Risikan Tentera Laut, dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan China dan bertanggungjawab untuk melaksanakan perkhidmatan penyelamatan di laut.

Kehadiran kapal pekhidmatan menyelamat dan kapal China di kawasan itu  memperkukuhkan lagi naratif rasmi Beijing bahawa ia mempunyai matlamat dalam pembinaan pulau-pulau tiruan dan infrastruktur lain di Laut China Selatan di mana turut mendapat tuntutan meluas daripada negara-negara jirannya. Tetapi kapal itu juga boleh memainkan peranan sokongan terhadap langkah taktikal China yang boleh memberi tekanan kepada penuntut lain.

Kapal penyelamat itu meninggalkan bandar Sanya, dalam wilayah Hainan, China pada 10 Jan dan memasuki Terumbu Fiery Cross pada 18 Feb. Ia telah melakukan rondaan di sekitar Terumbu Fiery Cross, menurut perisian pengesanan kapal yang digunakan oleh RFA, sebuah perkhidmatan berita dalam talian yang bersekutu dengan BeritaBenar.

Sebab yang tepat mengapa kapal Nan Hai Jiu 115 diarah ke Terumbu Fiery Cross pada masa ini tidak jelas. Sejak Julai 2018, kapal itu dtempatkan di pusat penyelamat maritim di Terumbu Subi, satu lagi kawasan yang menjadi pertikaian yang dibina menjadi pulau buatan oleh China. Terumbu Fiery Cross terletak kira-kira 110 batu nautika barat daya dari Terumbu Subi.

Terumbu Fiery Cross dibina sebagai hab logistik untuk persinggahan kapal-kapal China, dan terletak berhampiran dengan lokasi pemantauan antara kapal pengawal pantai China dan pasukan eksplorasi sumber tenaga Malaysia yang turut dilaporkan oleh RFA pada minggu lalu. Selain sebagai pusat penyelamat, Kementerian Sumber Asli China berkata pada 21 Jan bahawa ia telah meningkatkan kemudahan pemantauan ekologi di Terumbu Fiery Cross, menurut agensi berita China yang dikendalikan oleh Xinhua.

Imej satelit bertarikh 23 Feb yang dianalisis oleh RFA menunjukkan sebuah kapal berlabuh di dermaga Terumbu Fiery Cross yang kelihatan sangat mirip dengan kapal Nan Hai Jiu 115. Perisian pelayaran kapal menunjukkan kapal itu berada di kawasan Terumbu Fiery Cross pada hari itu. Kapal ini dapat dikenali menerusi landasan hijau untuk helikopter. Kali terakhir ia dikesan di Terumbu Fiery Cross ialah pada 28 Feb, tetapi sejak itu tiada kedudukan baru yang dicatatkan.


Pengamatan terhadap imej satelit yang dirakam pada  23 Feb di Terumbu Fiery Cross menunjukkan apa yang kelihatan seperti kapal penyelamat China Nan Hai Jiu 115, dengan perisian pengesanan kapal menunjukkan ia berada di lokasi itu pada hari yang sama. [Planet Labs Inc.]

Kapal perkhidmatan penyelamat China telah digunakan untuk membantu kapal-kapal awam dan tentera. Satu daripada dua lagi kapal yang setaraf dengannya, Nan Hai Jiu 117, masih berlabuh di pelabuhan Sanya manakala Nan Hai Jiu 116 telah meninggalkan Sanya pada 2 Feb menuju ke lokasi yang tidak diketahui.

Satu video Agensi Berita Xinhua yang dikatakan menunjukkan anak-anak kapal Nan Hai Jui 115 sedang menjalankan tugas, telah disiarkan pada 23 Feb. Muzik patriotik berlatarkan video itu dengan anak-anak kapal melaungkan kata-kata galakan untuk rakyat Wuhan dan di tempat lain di China yang dilanda wabak koronavirus. Setiap anak kapal dilihat memakai topeng muka biru.

China menubuhkan Pusat Penyelamat Maritim Nansha di Terumbu Fiery Cross pada Januari 2019, menurut laporan South China Morning Post dan Xinhua. Pusat penyelamat maritim baru itu adalah sebahagian daripada Biro Penyelamat Laut China Selatan di bawah Kementerian Pengangkutan negara itu.

Perkhidmatan Penyelamat China (CRS) berbeza daripada Pengawal Pantai China. CRS hanya memberi tumpuan kepada penyelamatan maritim serta kerja-kerja menyelamat selepas kemalangan atau bencana di laut.

Walaupun ia melaksanakan fungsi awam yang perlu dijalankan oleh pengawal pantai di negara-negara lain, CRS tidak dimasukkan dalam  pengawal pantai bersama-sama dengan agensi dan biro lain dalam proses pembaharuan 2013 yang mewujudkan Pengawal Pantai China seperti sekarang. Ini mungkin berikutan matlamat agresif Penjaga Pantai China berbanding misi kemanusiaan yang kononnya dilaksanakan CRS. Bagaimanapun, kapal CRS - termasuk Nan Hai Jiu 115 - sentiasa diiringi oleh kapal pengawal pantai sebelum ini.

Menurut buletin pengambilan pekerja yang disiarkan dalam talian oleh Kementerian Pengangkutan, Biro Penyelamat Laut China Selatan kini mempunyai lapan "pangkalan” untuk beroperasi dari - Shantou, Shenzhen, Guangzhou, Zhanjiang, Beihai, Haikou, Sanya dan Sansha.

Perkhidmatan Penyelamat China menerima rangsangan propaganda yang besar dalam bentuk filem dengan perbelanjaan besar bertajuk "The Rescue" yang diterbitkan pada Januari. Filem itu menonjolkan peralatan dan platform yang digunakan oleh Perkhidmatan Penyelamat China termasuk kapal kelas yang sama dengan Nan Hai Jiu 115. Ia diarahkan oleh Dante Lam, pengarah filem aksi "Operation Red Sea" pada 2018 yang menampilkan kapal dan peralatan sebenar yang digunakan oleh Tentera Laut Angkatan Tentera Pembebasan Rakyat.

Nan Hai Jiu 115 dipaparkan semasa satu latihan di Laut China Selatan, yang dimuat naik dalam laman Facebook People's Daily pada 11 Jun, 2017.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.