Rakyat Malaysia Selar Organisasi China Undang Najib Razak Beri Ucaptama

Undangan itu ‘satu penghinaan’ kepada Malaysia dan mesti telah diluluskan oleh Beijing, kata bekas diplomat.
Muzliza Mustafa & Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-12-30
Share
Rakyat Malaysia Selar Organisasi China Undang Najib Razak Beri Ucaptama Penyokong memakai kemeja T yang memaparkan imej bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dengan teks “Bosku” tertera di atasnya, sedang menunggu ketibaan beliau di Slim River, Perak, 23 Ogos 2020.
[Reuters]

Sebuah organisasi China berdepan pelbagai kritikan di Malaysia kerana mengundang bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah rasuah untuk menyampaikan ucaptama pada satu majlis dengan sesetengah daripadanya menyifatkan tindakan itu sebagai “satu penghinaan kepada negara.”

Seorang bekas diplomat berkata undangan Forum Ekonomi China Sedunia (WCEF) kepada Najib mesti telah diluluskan oleh Republik Rakyat China (PRC), yang membawa maksud “Najib kekal sebagai anak emas China.”

Undangan itu adalah “[satu] penghinaan yang terhitung kepada maruah negara kita,” tulis bekas diplomat Malaysia Dennis Ignatius, yang juga pengkritik kerajaan semasa negara itu, dalam satu hantaran di blognya baru-baru ini.

“Ia adalah satu kritikan terhadap proses perundangan Malaysia dan penghinaan kepada semua rakyat Malaysia. Tidak pernah lagi sebuah negara asing bertindak sedemikian rupa kepada jirannya,” kata Igantius, yang kini bertugas sebagai penasihat diplomatik kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Helsinki iaitu First Step Forum.

Najib telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda lebih RM200 juta.

Acara itu, Forum Ekonomi China Sedunia diadakan pada Isnin dan merupakan anjuran bersama Dewan Perniagaan Antarabangsa China (CCOIC), unit perniagaannya Majlis Promosi bagi Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT) dan badan pemikir yang berpangkalan di Malaysia iaitu Institut Strategi Antarabangsa (ISI).

Najib menyampaikan ucaptama tersebut dan media tempatan melaporkan bahawa beliau adalah tetamu kehormat pada majlis makan malam dan penyampaian anugerah itu.

Bagaimanapun, sabitan terhadap Najib adalah sebab mengapa beliau tidak sepatutnya diundang, kata penganalisis politik serantau Tunku Mohar Mokhtar.

“Memandangkan Najib telah disabitkan, mendapat undangan ke majlis seperti itu sememangnya adalah satu penghinaan kepada negara,” kata Tunku Mohar, seorang penganalisis politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews pada Khamis.

“Mereka bebas mengundang sesiapa sahaja. Namun mengundang Najib tidak memberikan imej yang baik kepada acara itu serta penganjurnya.”

Bekas Perdana Menteri itu telah disabitkan dengan kesalahan berkaitan kes 1MDB selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan jenayah termasuk pengubahan wang haram. Mahkamah Rayuan Malaysia telah mengekalkan sabitan itu selepas Najib merayu namun menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadapnya sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Najib juga dibicarakan dalam satu lagi kes yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, yang sedang berlangsung atau ditetapkan untuk pendengaran tahun depan.

BenarNews gagal menghubungi Pengerusi WCEF Cheah Chyuan Yong, yang sebelum ini memberitahu media tempatan Malaysiakini bahawa Najib diundang kerana komitmen beliau kepada hubungan dua hala Malaysia-China. Sabitan jenayah Najib tidak diambil kira oleh penganjur, kata Cheah.

Sementara itu, Iganatius pasti bahawa Beijing memberi kebenaran kepada tindakan mengundang Najib kerana antara organisasi yang menjadi hos ialah CCOIC, yang bersekutu dengan CCPIT. BenarNews tidak dapat mengesahkan bahawa ia adalah agensi rasmi negara itu namun laman sesawangnya menyebut bahawa ia telah ditubuhkan pada 1952 dan bertanggungjawab untuk “melaksanakan strategi pembangunan negara utama yang berkaitan dan mempromosi perdagangan asing, pelaburan dua hala serta menjalin kerjasama ekonomi dan teknologi.”

“WCEF, yang ditaja dan dibiaya oleh beberapa organisasi PRC, adalah sebuah platform penting bagi menonjolkan dan mempromosi Inisiatif Belt and Road (BRI) China. Tidak mungkin kedutaan PRC di sini akan membenarkan Najib diundang tanpa mendapat lampu hijau daripada Beijing,” kata Ignatius.

“Ia harus dilihat seperti yang tersurat – satu keputusan yang sudah dihitung oleh kerajaan Republik Rakyat China untuk memberikan penghormatan kepada seorang penjenayah yang telah disabitkan dengan kesalahan.”

Rasuah satu jenayah besar di China

Portal berita berbentuk siasatan Malaysia iaitu Edisi Siasat pula berkata China menjatuhkan hukuman berat ke atas mereka yang disabitkan dengan kesalahan rasuah dan aktiviti berkaitan.

“China adalah sebuah negara yang mempunyai hukuman berat dan tegas bagi kesalahan rasuah. Individu yang disabitkan dengan kesalahan jenyah di China tidak mempunyai pilihan kecuali berdepan hukuman mati,” tulis portal itu dalam satu ruang editorialnya pada Rabu.

Najib memiliki hubungan mesra dengan China, kata Mokhtar dan Ignatius serta seorang individu yang pernah menjadi bekas setiausaha politik bekas Perdana Menteri itu.

“Bukan satu rahsia bahawa semasa pemerintahannya, Najib amat mesra dengan China dengan banyak projek gergasi diberikan kepada syarikat berkepentingan China. Jadi, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila beliau diundang ke forum yang mempunyai kaitan dengan China,” kata Oh Ei Sun, kini felow kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Ignatius berkata undangan China itu kononnya mengandungi satu mesej yang jelas daripada Beijing.

“Najib kekal sebagai anak emas China. Mereka tidak menganggap sabitan beliau sebagai halangan untuk terus bekerjasama dengannya. Kepentingan strategik China mengatasi jenayah Najib,” kata bekas diplomat itu.

“Dengan memberikan platform antarabangsa kepadanya, China berharap dapat menebus dosa beliau dan membersihkan kesalahan jenayahnya.”

Semasa menjadi PM, Najib memeterai beberapa perjanjian dengan China termasuk bagi projek Lingkaran Rel Pantai Timur bernilai AS$12 bilion, yang merupakan sebahagian daripada program pembinaan infrastruktur global BRI Beijing.

Projek itu baru-baru ini disambung semula di bawah pentadbiran kerajaan pimpinan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO selepas ia ditangguhkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada 2018. Kerajaan Mahathir ketika itu berkata projek tersebut terlalu mahal dan tidak berdaya maju. Dua projek saluran paip gas yang disokong oleh China bagaimanapun telah dibatalkan kerana kos yang terlalu tinggi..

Najib adalah pemimpin kanan UMNO dan meskipun diselubungi sabitan jenayah, beliau amat aktif berkempen dalam pilihan raya negeri yang dimenangi UMNO dan ramai yang mengucapkan terima kasih kepadanya.

“Najib tidak kisah menjadikan dirinya lebih penting. Anda boleh menyifatkan beliau sebagai membuat penampilan semula di arena antarabangsa,” kata Oh.

Cynthia Gabriel, pengarah antirasuah NGO Center to Combat Corruption and Cronyism pula berkata penjenayah tidak sepatutnya terlibat dalam perjalanan Malaysia ke arah mencapai kejayaan ekonomi.

“Ketika bergegas ke arah keutamaan pasca pandemik dan pelaburan asing, janganlah kita lupa bahawa peraturan antirasuah perlu memainkan peranan penting dalam usaha mengejar kejayaan ekonomi. Penjenayah tidak seharusnya dilibatkan dalam kapasiti apa sekalipun,” menurutnya di laman Twitter.

Ignatius juga berkata prestasi Malaysia yang diterajui Najib adalah tidak begitu memberangsangkan.

“Jika Najib terus berkuasa, tidak mustahil Malaysia akan berakhir sebagai negara yang menjadi pelanggan PRC – dengan seorang pemimpin yang begitu berkompromi, negara yang amat terbeban dengan hutang kepada China dan semakin terhad dalam menentukan hala tujunya sendiri dalam hal ehwal antarabangsa,” katanya.

“Meskipun ia menjadi bencana yang tidak dapat dielak kepada Malaysia, ia sebaliknya merupakan satu kemajuan yang strategik ke Asia Tenggara bagi China.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh