Penganalisis: Malaysia boleh kehilangan pelaburan Barat jika guna teknologi 5G China
2024.11.12
Kuala Lumpur
Malaysia berisiko kehilangan pelaburan masa depan dalam sektor teknologi jika terlalu sejajar dan rapat dengan gergasi teknologi China, Huawei Technologies, yang dituduh oleh Amerika Syarikat dan sekutunya terlibat dalam pengintipan dan kecurian harta intelek, penganalisis memberi amaran.
Firma-firma Barat mungkin beranggapan Beijing mempunyai kelebihan yang tidak adil di pasaran teknologi Kuala Lumpur yang sedang berkembang, kata Asrul Hadi Abdullah Sani, rakan kongsi di perunding serantau ADA Asia Tenggara.
Kerjasama Malaysia dengan Huawei yang disenaraihitamkan AS untuk menubuhkan rangkaian 5G kedua negara itu "boleh dianggap memihak kepada kepentingan China," katanya.
“Kerajaan Malaysia mungkin melihat kerjasama dengan Huawei sebagai keputusan ekonomi yang pragmatik,” katanya kepada BenarNews.
“Namun, pelabur Barat mungkin mempunyai pandangan berbeza terutamanya beberapa negara termasuk AS, United Kingdom dan Jepun yang telah menyenaraihitamkan syarikat China itu dan melihatnya sebagai ancaman keselamatan.”
Selain itu, kerjasama dengan Huawei boleh mencetuskan ketidakpastian dalam kalangan pelabur antarabangsa, kata Farlina Said, penganalisis di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, iaitu sebuah badan pemikir penyelidikan.
“Memandangkan Malaysia berada dalam fasa memperkukuh ekonomi digital dan beberapa rancangan pembangunan ekonomi digital negara melibatkan kerjasama antarabangsa, [projek dengan Huawei] ini boleh mencipta persekitaran yang tidak mempunyai kepastian,” katanya kepada BenarNews.
Malaysia kekal sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan teknologi dan semikonduktor dengan menarik pelaburan lebih dari AS$20 billion dari gergasi teknologi termasuk Google, Microsoft, Nvidia, Oracle dan Infineon, sejak dua tahun lepas.
Hubungan Malaysia-China
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu dengan eksekutif Huawei di Beijing, China pada minggu lalu dengan membincangkan tentang teknologi "5.5G" syarikat itu serta aplikasi awan dan AI.
Beliau turut menyatakan komitmen Malaysia untuk mengintegrasikan teknologi China ketika memberitahu Presiden China Xi Jinping di Beijing bahawa; “Kami telah mengguna pakai dasar melibatkan teknologi 5G China dalam pembangunan negara.”
Anwar mengakui keputusan ini adalah sukar tetapi “sebagai negara yang merdeka, kami telah membuat keputusan yang terbaik untuk negara.”
Huawei dari China yang telah berkembang pesat di seluruh Asia Tenggara menandatangani perjanjian dengan operator telekomunikasi utama Malaysia seperti CelcomDigi, Maxis dan terbaru dengan U Mobile pada September lalu untuk meningkatkan perkhidmatan 5G di Malaysia.
Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut meningkatkan kebimbangan itu apabila ia telah memilih rakan tempatan Huawei, U Mobile pada 1 November lalu untuk melaksanakan pembangunan rangkaian kedua 5G di Malaysia.
Pemilihan syarikat itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemerhati industri tentang bagaimana ia boleh mengenepikan pesaing yang lebih mapan seperti CelcomDigi dan Maxis.
Syarikat telekomunikasi itu juga menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan ZTE dari China pada September untuk memperluas rangkaian 5G di kawasan luar bandar Malaysia, lapor media tempatan.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kiri) bertemu Presiden China Xi Jinping di Dewan Besar Rakyat di Beijing, China, 7 Nov. 2024. [China Daily/Reuters]
Kos lebih rendah
Disokong oleh pemegang saham berpengaruh termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar dari Malaysia selain pemilikan asing Temasek Holdings dari Singapura, U Mobile dalam satu kenyataan mempertahankan peranannya sepanjang 17 tahun beroperasi dalam bidang telekomunikasi dan berjanji untuk menawarkan perkhidmatan 5G pada kos yang lebih berpatutan.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan MCMC dan penyedia lain untuk menawarkan perkhidmatan 5G bertaraf dunia,” kata syarikat itu.
Pada Mei 2023, Malaysia mengumumkan langkah beralih kepada dwi sistem 5G setelah jaringan Digital Nasional Berhad (DNB) mencapai liputan 80 peratus populasi, pencapaian yang telah disahkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil baru-baru ini.
Sebelumnya, kontrak 5G nasional diberikan sepenuhnya kepada Ericsson dari Sweden tetapi pentadbiran Anwar telah mengkaji semula keputusan itu dan mempertimbangkan keputusan alternatif.
Anwar melihat rangkaian kedua sebagai penting untuk memenuhi permintaan jalur lebar yang kian meningkat dan menarik masuk lebih banyak pelaburan global di tengah ketegangan perdagangan AS-China yang makin memuncak.
Bagaimanapun, kenyataan Anwar pada September tahun lalu mengenai penglibatan Huawei dalam rangkaian 5G kedua menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemain industri.
“Kami di Malaysia… memutuskan bahawa sementara kita memperoleh yang terbaik dari Barat, kita juga harus mendapat manfaat dari yang terbaik di Timur,” katanya pada sidang kemuncak teknologi pada tahun lalu yang dihadiri oleh Presiden Huawei.
“Setelah perbincangan yang mendalam… kami membuat keputusan untuk membenarkan jaringan dwi rangkaian dan seterusnya keputusan untuk penglibatan lebih berkesan oleh Huawei.”
Kebimbangan pengintipan
AS telah melarang Huawei dari rangkaian 5G mereka dan negara-negara Eropah telah mengikut langkah itu ekoran kebimbangan mengenai pengintipan.
Peralatan Huawei yang dipasang berhampiran pangkalan tentera AS boleh memintas dan mengganggu komunikasi pertahanan sensitif termasuk berkaitan pengawasan terhadap penangkis nuklear negara itu, menurut penyiasat Persekutuan, lapor Reuters.
Pada 2022, kerajaan AS telah melarang aktiviti jualan dan import peralatan komunikasi baharu membabitkan lima syarikat China termasuk Huawei dan ZTE atas kebimbangan mengenai keselamatan negara.
Pada Mei 2023, AS dan Kesatuan Eropah mengeluarkan surat bersama yang jarang dikeluarkan kepada kerajaan Malaysia bagi mengingatkan tentang penglibatan Huawei.
Laporan Financial Times merujuk kepada surat yang bocor dari bekas Duta AS Brian McFeeters yang memberi amaran bahawa “membenarkan pembekal tidak dipercayai di mana-mana bahagian rangkaian juga akan mendedahkan infrastruktur Malaysia kepada risiko keselamatan negara.”
Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Ong Kian Ming yang menyuarakan kebimbangan itu menasihatkan bahawa ketelusan dalam pemberian kontrak 5G adalah penting.
“Saya tidak fikir pelantikan Huawei sebagai pembekal untuk rangkaian kedua 5G semestinya merosakkan keyakinan pelabur, asalkan pemberian kontrak itu terbuka dan telus dan jaringan DNB kekal dan berfungsi dengan baik,” katanya kepada BenarNews.
Pasukan komunikasi Huawei tidak memberi maklum balas kepada pertanyaan BenarNews melalui e-mel berkenaan kebimbangan keselamatan.
Cabaran dasar baharu Trump
Sementara itu, Collins Chong Yew Keat, pakar hal ehwal luar negara di Universiti Malaya berkata penggal kedua bagi presiden AS terpilih Donald Trump boleh membawa kepada dasar lebih tegas terhadap teknologi China di luar negara.
“Trump akan mempunyai kelonggaran dan pragmatisme lebih besar dalam menangani China yang mungkin tidak selalu bersifat hubungan perniagaan dan boleh juga lebih terus terang dan tegas,” katanya.
Ketika memberikan reaksi terhadap kebimbangan itu, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan yakin dengan “ekonomi yang sangat pelbagai” di Malaysia untuk mengekalkan pertumbuhan tanpa mengira perubahan dasar AS.
“Kami akan memerhati dasar baharu yang muncul dari AS dan kami berharap ia terus mendorong pertumbuhan ekonomi global,” katanya menurut agensi berita nasional Bernama.