Malaysia Terima ‘Keris’, Kapal Misi Pesisir Pertama Buatan China

Hadi Azmi & Nisha David
2019.12.31
Kuala Lumpur, Malaysia
191231-MY-CH-navy-ship1000.jpg Pegawai Malaysia dan China pada majlis penyerahan fizikal 'Keris', Kapal Littoral Mission Ship (LMS) yang pertama Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di Wuchuan Shipbuilding Industry Co. Ltd. Wucang Port, Qidong, Shanghai, China, 31 Disember, 2019.
[Ihsan Tentera Laut DiRaja Malaysia]

Malaysia kini memiliki aset pertahanan pertama buatan negara China apabila menerima sebuah Kapal Misi Pesisir [Littoral Mission Ship- LMS] yang dilaporkan bernilai RM300 juta buatan firma perkapalan negara tersebut dalam satu upacara di Shanghai pada Selasa.

Dalam satu kenyataan kepada media, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata penyerahan fizikal kapal LMS yang dinamakan ‘Keris’, telah berlangsung di firma Wuchuan Shipbuilding Industry Co, di Shanghai, China.

“Jawatankuasa Penerimaan Akhir (JKPA) yang dianggotai seramai empat orang wakil kerajaan Malaysia diketuai oleh Dato' Ahmad Husaini Abdul Rahman, Setiausaha Bahagian Perolehan, Kementerian Pertahanan telah melaksanakan pemeriksaan dokumentasi, fizikal dan turut mengikuti pelayaran demonstrasi keupayaan kapal,” kata kenyataan tersebut.

Kapal LMS Keris mula dibina di Wuchuan Shuangliu Manufacture Base pada 31 Julai 2018 itu merupakan kontrak perolehan empat buah kapal LMS bernilai RM1.048 bilion dimeterai antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) ditandatangani pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC).

“Projek perolehan ini merupakan aset pertahanan kapital yang pertama dari negara China. Keris dijadual untuk ditauliahkan di lokasi yang sama dalam satu upacara pentauliahan penuh istiadat dan tradisi TLDM pada 6 Januari 2020.

“Upacara ini akan disempurnakan oleh Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Laut,” hurai kenyataan tentera laut itu lagi.

Kontrak perolehan itu juga adalah merupakan salah satu daripada projek lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15to5 TLDM dan dimetrai di bawah kerajaan Barisan Nasional pimpinan bekas perdana menteri Najib Razak.

Program tersebut merupakan pelan modernisasi TLDM di mana angkatan laut itu akan mengurangkan kelas kapal-kapalnya daripada 15 kelas kapal kepada lima kelas bagi mengurangkan kos operasi.

Dalam satu wawacara bersama Defense IQ pada April 2017, Panglima Tentera Laut ketika itu Laksamana Ahmad Badaruddin Kamarulzaman dilaporkan berkata 18 buah kapal LMS akan menyertai armada angkatan tersebut.

“Littoral mission ships adalah kapal yang secara relatifnya lebih kecil, dan direka untuk pertempuran senyap di kawasan perairan berhampiran pantai dan kadangkala untuk bertempur dengan musuh yang lebih besar.

“Dengan kawasan pantai merentasi Laut Sulu di barat sehingga Lautan Hindi, kami perlukan empat platform littoral ini dibuat oleh China,” katanya pada ketika itu.

Dalam laporan BeritaBenar pada 23 Oktober 2018, projek LMS tersebut merupakan antara projek-projek kerjasama dengan Beijing yang terselamat daripada dihenti dan dikaji semula oleh kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Kapal kedua yang dinamakan Sundang dijadualkan untuk penyerahan pada April 2020 manakala kapal ketiga dan keempat dijadualkan untuk penyerahan pada pertengahan 2021.

Majlis menandatangani Sijil Penerimaan Akhir dan Sijil Penyerahan Fizikal 'Keris',  Kapal Littoral Mission Ship (LMS) yang pertama Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di Wuchuan Shipbuilding Industry Co. Ltd. Wucang Port, Qidong, Shanghai, China, 31 Disember, 2019. [Ihsan Tentera Laut DiRaja Malaysia]

Tindakan tepat oleh Malaysia

Bagi pakar keselamatan, Prof Ramli Dollah dari Universiti Malaysia Sabah pemilikan kapal baru itu adalah tepat pada masanya kerana sudah sampai masa bagi Malaysia negara beralih kepada kapal baru yang lebih moden.

Beliau turut berkata langkah itu mampu menjimatkan kos penyelengaraan kerana kapal LMS jauh lebih murah.

"Sebenarnya usaha untuk mendapatkan kapal perang seperti ini sudah lama diusahakan. Malahan persetujuan telah dibuat sejak 2017 lagi. Kapal ini bukan sahaja penting untuk keselamatan tetapi
juga berkait dengan prestij serta kemampuan negara mempertahankan kedaulatan maritimnya.

"Malah pemilikan ini juga merupakan salah satu usaha permodenan tentera laut. Sudah tiba masanya menggantikan kapal lama, dengan lagi apabila Malaysia berhadapan dengan beberapa isu maritim.

"Pemilikan kapal baru ini dari segi kos logiknya adalah lebih murah berbanding dgn mengurus kapal lama milik TLDM. Oleh itu tindakn Malaysia ini tepat," kata beliau sewaktu dihubungi BeritaBenar pada Selasa.

Hamzah Ahmad, seorang pakar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada Oktober lalu memberitahu BeritaBenar, permintaan terhadap kapal jenis itu berdasarkan keperluan semasa negara.

"LMS adalah kapal peronda tempur serba guna dan cepat. Ia lebih tangkas dan boleh bergerak pantas daripada kapal peronda tempur yang lain," katanya kepada BeritaBenar.

"Hampir semua negara mempunyai atau mendapatkan LMS dan di rantau ini, Singapura sudah mempunyai beberapa buah. Secara strategik, LMS akan menjadi aset tambahan kepada pasukan tentera laut Malaysia. "

Malaysia dan jiran-jirannya telah bergelut dengan perlanuan dan penculikan di sepanjang pantai, selain militan asing yang merempuh Laut Sulu ke selatan Filipina.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.