Menteri Luar Malaysia Lihat Adanya Peralihan Dalam Justifikasi China Terhadap Tuntutan Meluas Laut China Selatan

Empat Sha" merupakan empat gugusan pulau di Laut China Selatan yang didakwa Beijing mempunyai "hak sejarahnya".
Staf BenarNews & Muzliza Mustafa
2022.01.18
Washington & Kuala Lumpur
Menteri Luar Malaysia Lihat Adanya Peralihan Dalam Justifikasi China Terhadap Tuntutan Meluas Laut China Selatan Peta ilustrasi menunjukkan kedudukan geografi Dongsha Qundao, Xisha Qundao, Zhongsha Qundao dan Nansha Qundao yang ketara luasnya, dengan Republik Rakyat China mendakwa ia adalah zon maritimnya.
[Ihsan Laporan Jabatan Negara AS bertajuk 'Limits in the Seas']

China nampaknya beralih daripada apa yang dipanggil "sembilan garis putus" kepada teori undang-undang yang baharu untuk menyokong tuntutan meluasnya di Laut China Selatan, walaupun penganalisis berkata alternatifnya itu juga bermasalah mengikut undang-undang antarabangsa.

Dalam ulasannya kepada pemberita pada minggu lalu, Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah berkata Beijing kini "kurang bercakap mengenai 'sembilan garis putus' sebaliknya lebih kerap merujuk kepada 'Empat Sha'." Beliau berkata peralihan itu turut disaksikan oleh anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan ia adalah ‘lebih serius’ daripada tuntutan lamanya.

“Empat Sha” atau Empat Gugusan Pasir, merupakan empat kumpulan pulau di Laut China Selatan yang didakwa Beijing mempunyai “hak bersejarah” negaranya. China menamakannya sebagai "Dongsha Qundao," "Xisha Qundao," "Zhongsha Qundao" dan "Nansha Qundao." Di peringkat antarabangsa, ia dikenali sebagai Kepulauan Pratas, Kepulauan Paracel, kawasan Tebing Macclesfield dan Kepulauan Spratly.

Konsep yang dibawanya mungkin kabur namun sembilan garis putus merupakan garisan berbentuk U yang mengelilingi sebahagian besar Laut China Selatan, yang digunakan China untuk menyempadankan kedaulatannya ke atas perairan tersebut.

Tribunal antarabangsa pada 2016 memutuskannya sebagai tidak sah dengan menyatakan bahawa China tidak mempunyai asas undang-undang terhadap garisan itu. Walaupun Beijing menolak keputusan tersebut, negara-negara lain telah menerimanya.

"Sembilan garis putus itu terbukti menjadi sasaran yang amat mudah bagi pengkritik tuntutan Laut China Selatan China," kata Julian Ku, seorang profesor di Pusat Pengajian Undang-undang Universiti Hofstra di Long Island, New York.

"Ia juga telah dipertimbangkan secara langsung dan ditolak oleh Tribunal Timbang Tara Laut China Selatan pada 2016."

"Teori Empat Sha China pula tidak dipertimbangkan secara langsung oleh tribunal yang mentadbir, walaupun ia juga sukar untuk disokong," kata Ku, sambil memberitahu: "Malah, ia adalah dakwaan yang kurang dramatik dan ia juga tidak berdasarkan dakwaan sejarah semata-mata."

'Perlahan-lahan muncul'

Bill Hayton, seorang wartawan yang beralih menjadi cendekiawan, yang menulis buku terkenal mengenai Laut China Selatan, berkata teori Empat Sha "muncul perlahan-lahan, diikuti dengan lonjakan selepas keputusan tribunal timbang tara."

"Empat Sha adalah cubaan untuk mewujudkan justifikasi seperti UNCLOS untuk mengawal Laut China Selatan dengan beberapa asas undang-undang," katanya. UNCLOS ialah akronim bagi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut.

"Tetapi, pihak lain masih menolaknya," kata Hayton.

Setiap kepulauan di Empat Sha merangkumi sebilangan besar ciri-ciri yang bertaburan dengan kebanyakannya tenggelam di bawah air. Beijing menegaskan bahawa ia perlu dikendalikan sebagai unit keseluruhan untuk tujuan kedaulatan dan hak maritim.

Zhongsha Qundao atau kawasan Tebing Macclesfield, sebenarnya berada di bawah air sepenuhnya dan bukanlah satu gugusan pulau, kata pakar.

Ku dari Universiti Hofstra berkata walaupun cubaan pertama oleh pegawai China untuk membangunkan Empat Sha sebagai teori undang-undang baharu telah direkodkan pada pertemuan tertutup dengan Pegawai Jabatan Negara AS pada 2017, namun "Empat Sha bukanlah perkara baharu dalam tuntutan China di Laut China Selatan."

Undang-undang Laut Wilayah dan Zon Berdekatan Republik Rakyat China, yang diterima pakai oleh China pada 1992, telah mengisytiharkan empat gugusan pulau itu. Ia juga disebut dalam kertas putih 2016 yang dikeluarkan oleh China yang mempertikaikan tuntutan Filipina semasa proses timbang tara Laut China Selatan.

“Jusifikasi undang-undang baharu China ini adalah tidak sah sama seperti tuntutan sembilan garis putus China tetapi ia lebih mengelirukan dan tidak mudah untuk dikritik,” kata Ku.

Satu laporan Jabatan Negara AS mengenai dakwaan China terhadap Laut China Selatan bertajuk ‘Limits in the Seas’ yang diterbitkan bulan ini, tidak menyebut tentang konsep Empat Sha itu. Tetapi, ia menganalisis tuntutan kedaulatan Republik Rakyat China (PRC) terhadap Dongsha, Xisha, Zhongsha dan Nansha. Ia menyimpulkan bahawa dakwaan kedaulatan China itu sebagai "melanggar undang-undang."

220118-MY-CH-SCS-Inside.jpeg

Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China Wang Yi di Beijing, 12 Sept. 2019. [Reuters]

Perubahan pendekatan?

Peralihan yang jelas daripada tuntutan sembilan garis putus kepada Empat Sha telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak yang turut mempunyai tuntutan di Laut China Selatan.

Malaysia adalah antara negara ASEAN yang tuntutan wilayahnya bertindih dengan China di Laut China Selatan, selain Brunei, Filipina dan Vietnam. Walaupun Indonesia tidak menganggap ia sebagai pihak dalam pertikaian Laut China Selatan, Beijing turut menuntut hak bersejarah di kawasan yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Indonesia.

Dalam jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh seorang wartawan, Menteri Luar Malaysia Saifuddin memberitahu pemberita pada Khamis lalu bahawa “mereka (China) telah berubah daripada kebanyakannya menggunakan naratif sembilan garis putus kepada Empat Sha. Saya dapat melihat beberapa perubahan dasar dalam cara pendekatan mereka terhadap Laut China Selatan.”

"Masih belum ketara sama ada [pendekatan] Empat Sha adalah lebih agresif atau sembilan garis putus [adalah] lebih agresif," kata Saifuddin.

Ku pula berkata beliau merasakan tuntutan Empat Sha tidak semestinya membawa kepada tindakan yang lebih agresif oleh China tetapi "ia memberikan satu lagi justifikasi sekiranya ia mahu mengambil tindakan agresif."

Sementara itu, Hayton melihat adanya potensi peningkatan di Laut China Selatan kerana konsep Empat Sha "telah memberi keyakinan baharu kepada China bahawa ia boleh mengemukakan kes yang munasabah."

"Kita telah melihat lebih banyak tindakan tegas baru-baru ini, seperti China mengganggu kawasan minyak dan gas di Malaysia dan Indonesia," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar China Wang Yi telah mengulangi bahawa negaranya tidak akan menggunakan kekuatannya untuk "membuli" jiran-jirannya yang lebih kecil. Beliau turut menekankan pentingnya untuk menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan secara aman.

“Dengan hanya menekankan tuntutan satu pihak dan memaksa kehendak sendiri kepada pihak yang lain bukanlah cara yang betul bagi mana-mana jiran untuk melayani satu sama lain dan ia bertentangan dengan falsafah masyarakat timur tentang bagaimana mereka harus bergaul dengan satu sama lain,” kata Wang pada forum secara maya yang dianjurkan oleh Kedutaan China di Filipina pada Isnin.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.