Follow us

Pihak Berkuasa Malaysia Pintas Kapal Tangki Minyak China, Vietnam

Nisha David, Hadi Azmi & Roni Toldanes
Kuala Lumpur & Washington
2019-12-12
E-mel
Komen
Share
Kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sedang menjalankan rondaan di perairan di Pulau Langkawi, 2 April, 2018.
Kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sedang menjalankan rondaan di perairan di Pulau Langkawi, 2 April, 2018.
[AFP]

Dua buah kapal, yang baru-baru ini dipintas di perairan Malaysia, mungkin telah melanggar sekatan antarabangsa yang menyekat perdagangan minyak dengan Iran dan Korea Utara, demikian menurut laporan, meskipun pegawai Malaysia tidak menyatakan tentang sekatan itu dalam kenyataan umum berhubung insiden tersebut.

Pihak berkuasa maritim Malaysia telah membenarkan satu daripada  kapal tersebut iaitu kapal tangki minyak, yang diselia oleh sebuah syarikat perkapalan milik negara China, untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya, kata Kementerian Luar Negeri Malaysia pada Khamis.

"Sebagai maklum balas kepada pertanyaan media, Kementerian Luar Negeri ingin mengesahkan bahawa [Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia-APMM] pada 10 Disember 2019 telah memeriksa sebuah kapal asing, yang ditemukan berlabuh di luar pantai Pulau Pinang di perairan Malaysia," kata kementerian itu dalam kenyataan media pada Khamis.

"Pemeriksaan itu dijalankan selaras dengan prosedur operasi standard APMM," kata kenyataan itu. Ia turut menyatakan bahawa kapal dengan 25 kru itu kini dalam perjalanan ke destinasi seterusnya.

Kenyataan itu tidak menyatakan nama kapal Silvana III, tetapi seorang pegawai kementerian memberitahu BeritaBenar bahawa kenyataan itu merujuk kepada kapal China tersebut.

"Ya, kami merujuk kepada kapal yang sama seperti yang dilaporkan oleh media," kata pegawai itu, yang tidak mahu namanya disiarkan kerana tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Dalam catatan di laman sosial Facebook pihak berkuasa maritim Malaysia itu sebelum ini, ia menyatakan bahawa kapal yang sama dilihat berlabuh sekitar 40 batu nautika dari Kuala Kurau, di pantai barat negara itu pada 5 Disember lalu namun ia tidak menurunkan tangga kapal dan terus berlayar apabila pegawai agensi berkenaan menghampiri kapal berkenaan, menurut laporan.

Selepas memberi kerjasama, pegawai APMM mendapati bahawa kapal tersebut tidak mempunyai permit untuk berlabuh di rantau itu, demikian menurut arxmaritime.com, yang membuat liputan mengenai industri perkapalan.

Pengarah APMM Zon Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali, telah meminta pihak berkuasa maritim tempatan untuk mengesan dan merampas kapal itu kerana didapati melanggar undang-undang perkapalan negara, kata laporan tempatan.

Agensi maritim berkenaan menyiarkan kenyataan itu di laman Facebook pada Isnin namun telah menarik balik catatan berkenaan.

Seorang jurucakap APMM memberitahu BeritaBenar bahawa agensi tersebut telah mengeluarkan kenyataan terlalu awal di platform media sosial itu.

"Kejadian itu sebenarnya masih disiasat. Tetapi, memandangkan Kementerian Luar Negeri telah mengeluarkan kenyataan, ia sudah memadai," kata jurucakap itu.

"Kami tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lagi mengenai perkara tersebut."

Silvana III, yang sebelum ini dikenali sebagai Tian Ma Zuo, adalah sebuah kapal tangki minyak mentah yang dikendalikan oleh Kunlun Shipping Co Ltd, demikian menurut rekod yang diperoleh dari Equasis, sebuah laman web yang menyimpan rekod perjalanan kapal tangki dan kapal.

Pada 25 September lepas, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan terhadap Kunlun Shipping Co., yang mempunyai pejabat di Hong Kong tetapi beroperasi di luar ibu pejabatnya di Shanghai. Jabatan itu mendakwa syarikat berkenaan terlibat dalam pengangkutan minyak dari Iran, dan tidak mematuhi sekatan yang ditetapkan oleh Washington pada November 2018.

Senarai Risikan Lloyd’s, yang menyediakan data maritim global, menyatakan dalam laporan Jun 2019 bahawa Kunlun Shipping telah menggunakan armada lapan kapal untuk membawa Gas Petroleum Cair (LPG) untuk mengangkut bahan api hidrokarbon dan gas cair yang secara jelas melanggar sekatan AS ke atas eksport minyak Iran.

Beberapa laman web kini mengesan kapal melalui Sistem Pengenalan Automatik [AIS] kapal, yang menyampaikan isyarat kepada satelit dengan menyatakan kedudukan, laluan dan kelajuannya.

Tetapi, beberapa kapal yang terlibat dalam pelanggaran sekatan sering mematikan transponder AIS masing-masing di rantau Teluk Timur Tengah dan melakukan pemindahan dari kapal ke kapal di perairan Malaysia dan Maldives, kata laporan Senarai Risikan Lloyd's itu, yang memetik data risikan.

"Aliran LPG Iran-China telah melanggar sekatan AS ke atas eksport petrokimia Iran," katanya.

Kapal tangki Vietnam ditahan

Sementara itu, di selatan negeri Johor, pegawai-pegawai APMM memberitahu BeritaBenar pada Khamis bahawa agensi itu menahan sebuah kapal dagang Vietnam, Viet Tin 01, setelah ditemukan berlabuh di perairan Malaysia.

Kapal tangki minyak itu sebelum ini dikesan oleh sebuah laman web pemantau dalam talian berada berhampiran pelabuhan Korea Utara pada Februari.

"Kami telah menghubungi pemilik kapal dan meminta mereka datang untuk menuntutnya. Siasatan masih dijalankan," kata seorang jurucakap APMM yang enggan namanya disiarkan kerana tidak dibenarkan bercakap dengan media, kepada BeritaBenar pada Khamis.

Viet Tin 01, sebuah kapal tangki minyak berdaftar di Vietnam dengan pelabuhan utamanya ialah di Bandar Ho Chi Minh, mungkin telah melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [PBB] ke atas Korea Utara, demikian menurut ‘Maritime Exclusive’, sebuah platform berita dalam talian bagi industri perkapalan.

Laporan itu menyatakan bahawa kapal tersebut dikesan melalui AIS di pelabuhan Nampo ketika membawa 2,000 tan petrol baru-baru ini.

Perdagangan produk petroleum dengan Korea Utara secara umumnya dilarang di bawah sekatan antarabangsa berikutan ia berkaitan dengan program nuklear negara itu.

Resolusi Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan sekatan itu selepas Pyongyang menjalankan ujian nuklear bermula pada 2006. Amerika Syarikat dan sekutunya mengulangi gesaan perlunya dikenakan sekatan ke atas Korea Utara dalam usaha menghentikan program nuklearnya.

Pengarah APMM Johor Aminuddin Abdul Rashid berkata dalam kenyataan pada Isnin bahawa Pasukan Tindakan Khas agensi itu telah ditugaskan untuk memeriksa Viet Tin 01 selepas kapal tersebut ditemukan di luar pantai Kota Tinggi, timur laut negeri itu.

Semasa pemeriksaan itu, pihak berkuasa maritim menemukan seorang ketua jurutera kapal iaitu  warga Vietnam yang berusia 61 tahun, kata Aminuddin.

"Beliau memberitahu kami bahawa kapal itu telah hanyut dari posisi asal ia berlabuh," kata Aminuddin. "Sebelum kejadian itu berlaku, semua kru kapal tersebut termasuk kapten kapal telah kembali ke negara mereka."

Lihat Laman Penuh