Malaysia Bertegas Dengan Tuntutan Langkauan Wilayah Laut China Selatannya

Nisha David & John Bechtel
2020.01.03
Putrajaya & Washington
200103-MY-CH-arbitration-620.jpg Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah bercakap kepada pemberita dengan berlatar belakangkan bendera Malaysia dan China, pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi di Beijing, 12 Sept, 2019.
(AP)

Malaysia tetap mempertahankan tuntutan penghujahannya terhadap lanjutan sempadannya di kawasan Pelantar Benua di Laut China Selatan, Menteri Luar Saifuddin Abdullah memberitahu pemberita pada Jumaat sambil mengakui yang kerajaan juga meyedari akan bantahan China berhubung tuntutan itu yang berpotensi boleh dibawa ke peringkat timbang tara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu [PBB].

Pentadbiran Putrajaya melalui pejabat Perwakilan Tetapnya ke PBB di New York telah menyerahkan dokumen penghujahan kepada PBB pada 12 Disember lalu dengan tuntutan lanjutan melangkaui 200 batu nautika di bahagian utara kepulauan Borneo Malaysia di Laut China Selatan yang kaya dengan mineral, demikian menurut dokumen penyerahan yang dilihat BeritaBenar.

Pada 2009, Malaysia menyertai Vietnam membuat permohonan yang sama kepada PBB melangkaui sempadan negara itu di Laut China Selatan, di kawasan antara Zon Ekonomi Eksklusif (EZZ) masing-masing.

"Kita memang jangka China akan membantah, tetapi ini tuntutan kita dan kita akan mengekalkan tuntutan tersebut," kata Saifuddin kepada media di Putrajaya.

"Satu, sememangnya ada pertikaian, sama seperti yang terdapat di kawasan-kawasan tertentu di Laut China Selatan, di mana akan tetap ada pertikaian. Kedua, untuk menamatkan pertikaian, dan yang jarang berlaku, adalah dengan merujuk kepada timbang tara."

Tidak lama selepas pemfailan penghujahan terbaru Malaysia di bawah Konvensyen PBB 1982 mengenai Undang-undang Laut (Unclos), China membantah, menggunakan bahasa yang sama yang digunakan sejak awal 2016 untuk menyatakan kesnya kepada PBB.

"China mempunyai perairan dalaman, wilayah laut dan zon bersebelahan berdasarkan Nanhai Zhudao," kata misi China dalam notanya kepada PBB, merujuk kepada kepulauannya di Laut China Selatan.

China mempunyai zon ekonomi eksklusif dan kawasan pelantar benua," kata kenyataan itu, menurut South China Morning Post. "China mempunyai hak sejarahnya di Laut China Selatan."

Kenyataan itu mencerminkan bahasa dalam kenyataan kerajaan China mengenai kedaulatan wilayah dan hak dan kepentingan maritimnya di Laut China Selatan yang diterbitkan pada 12 Julai 2016.

China mendakwa hampir semua Laut China Selatan, laluan air penting untuk perkapalan dan perdagangan antarabangsa, manakala Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan mempunyai tuntutan bertindih masing-masing kepada sebahagian daripada perairan yang dipertikaikan.

Pada tahun 2016, Mahkamah Tetap Timbangtara di The Hague memutuskan untuk memihak kepada Filipina ke atas China, dengan mengatakan tiada ada asas undang-undang bagi Beijing untuk menuntut hak-hak sejarah di perairan rantau itu.

Pada 20 Disember, Saifuddin mempersoalkan dakwaan China terhadap hampir kesemua wilayah di perairan itu.

“Ini adalah hak berdaulat kita untuk menuntut apa sahaja yang ada di kawasan perairan kita dan yang tidak dituntut oleh pihak lain," katanya pada masa itu. "Bagi China bahawa seluruh Laut China Selatan adalah milik mereka, saya rasa itu tidak masuk akal."

Pada Jumaat, Saifuddin semasa ditanya pemberita sama ada Malaysia gentar dengan sebarang tindak balas dari Beijing, seperti sekatan.

"Jika kita gentar atau bimbang, kita tidak akan mengemukakan tuntutan," katanya.

Tuntutan Malaysia hadir beberapa bulan selepas Saifuddin mengadakan lawatan ke Beijing, di mana beliau dan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, bersetuju untuk menubuhkan "mekanisme rundingan dua hala" untuk menyelesaikan perbezaan di Laut China Selatan. Semasa lawatannya pada September lepas, Saifuddin berkata beliau akan mempengerusikan panel dialog bersama dengan Wang, dengan berkata panel itu akan menggalakkan kerjasama maritim dan kestabilan serantau.

Sementara itu, seorang penganalisa yang mempunyai kaitan dengan sebuah universiti Jepun memberitahu Voice of America (VOA) bahawa Kuala Lumpur boleh mendapatkan bantuan daripada Beijing sambil memperluaskan kedudukannya di Laut China Selatan.

"Mereka melihat ini adalah tekanan yang benar-benar tegas terhadap China dan melihatnya sebagai ruang strategik yang berpotensi untuk mengeksploitasi lebih banyak bantuan kewangan, dan bantuan pembangunan dari China," kata Stephen Nagy, profesor bersekutu kanan pengajian politik dan antarabangsa di International Christian University di Tokyo.

"Mereka memberi tekanan pada masa yang tepat, memahami ianya selari dengan negara-negara di rantau itu dan bukannya menjadi orang luar," katanya kepada VOA, sambil menegaskan bahawa pesaing-pesaing China menentang pengembangannya di rantau itu dan, dalam beberapa kes, menerima bantuan ketenteraan dari Amerika Syarikat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.